Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wisma Geylang Serai sudah 95% siap! Dibuka bulan Mei ini sempena Ramadan

Hab warisan kebudayaan pertama negara, Wisma Geylang Serai, sudah 95 peratus siap dan dijangka membuka pintunya kepada orang ramai pada minggu kedua Mei nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hab warisan kebudayaan pertama negara, Wisma Geylang Serai, sudah 95 peratus siap dan dijangka membuka pintunya kepada orang ramai pada minggu kedua Mei nanti.

Pembukaannya bertepatan dengan penganjuran bazar Geylang Serai sempena Ramadan.

Perkembangan terkini itu dikongsi Datuk Bandar CDC Tenggara Dr Maliki Osman dalam satu taklimat media hari ini (9 Feb).

Sebuah Jawatankuasa Penasihat baru, juga ditubuhkan untuk menyelia keseluruhan projek agar hasilnya dekat di hati masyarakat tempatan khususnya kaum Melayu.

Berdiri megah di tengah-tengah kawasan Geylang Serai, bangunan empat tingkat itu menjanjikan pengalaman bermutu bagi setiap lapisan usia.

Wisma Geylang Serai, atau WGS, merupakan sebuah projek yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan tujuh tahun lalu.

Fasa pembangunan dimulakan pada 2015 di bawah pemantauan Panel Penasihat Wisma yang memberi panduan kepada Jawatankuasa Penasihat Program Wisma Geylang Serai (PAC) berkaitan atur cara.

PAC dipengerusikan Menteri Kanan Negara bagi Pertahanan dan Ehwal Luar, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, Dr Maliki Osman.

Naib pengerusinya pula adalah Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi Geyalng Serai, Profesor Madya Fatimah Abdul Lateef.

PUSAT BERSEPADU MEMENUHI KEPERLUAN MASYARAKAT

Seperti pusat bersepadu yang lain, WGS turut menawarkan pelbagai jenis khidmat - dari tajaka ke pusat-pusat keluarga dan jagaan warga senja serta kemudahan sukan.

Ini di samping memperuntukkan kedai-kedai runcit yang membentuk 20 peratus daripada pelan lantai.

Namun istimewanya lagi, pejabat-pejabat pertubuhan Melayu/Islam turut dimuatkan di situ bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Matlamatnya, menjadi sebuah pusat sehenti dengan ketersambungan yang meningkat bagi memudahkan perjalanan orang ramai.

Jambatan pejalan kaki di aras dua WGS bukan sahaja menghubungkannya dengan pasar Geylang Serai tetapi juga ke bangunan yang lain dan seterusnya hinggalah ke stesen MRT Paya Lebar.

Terdapat juga banyak ruang kosong di sekitar bangunan WGS - sebuah konsep yang disengajakan untuk menggalak orang ramai menganjurkan kegiatan-kegiatan masyarakat terutama acara-acara seni yang kaya dengan adat, budaya dan warisan Melayu.

Semua itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat kemelayuan seperti yang dipaparkan dalam galeri warisan Melayu - sebuah ruang bagi orang ramai kunjungi di aras satu.

"Ini semua ruang-ruang dan kegiatan-kegiatan serta perkhidmatan yang akan diberikan masyarakat kita. Kita harap, ini dapat dimanfaatkan oleh anggota masyarakat kita," kata Dr Maliki.

"Dengan ini, saya harap, visi Wisma Geylang Serai ini untuk menjadi nadi masyarakat kita akan dapat kita capai bersama dan kita harap dapat terus menerima maklum balas daripada anggota masyarakat untuk sama-sama kita menjayakan Wisma Geylang Serai ini," ujar beliau.

CHAN CHUN SING BERI SOKONGAN KEPADA DR MALIKI DIRIKAN PROJEK

Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO)yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat Chan Chun Sing, juga turun padang untuk meninjau-ninjau hab tersebut sambil memberi sokongan kepada Dr Maliki di atas pelaksanaan projeknya.

"Saya gembira melihat kemajuan yang telah dicapai projek yang diterajui Dr Maliki ini. Saya yakin dengan kepimpinan Dr Maliki, Wisma Geylang Serai akan menjadi hab budaya masyarakat untuk semua orang Singapura terutama sekali masyarakat Melayu.

"Saya juga harap masyarakat Melayu akan terus bekerja rapat dengan Dr Maliki dan menyediakan program-program yang menarik bagi Wisma Geylang Serai," kata Encik Chan.

Kerja-kerja pembangunan WGS dijadualkan selesai sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

Selain bazar Ramadan yang pertama di WGS, orang ramai juga boleh menantikan penganjuran Bulan Bahasa serta pementasan seni tahunan Gentarasa oleh Persatuan Rakyat (PA) di tapak baru tersebut tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan