Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wisata di SG hampir capai paras sebelum pandemik namun minat tempatan merosot

Anggaran Waktu Membaca:
Wisata di SG hampir capai paras sebelum pandemik namun minat tempatan merosot

(Gambar:CNA/Low Zoey)

Diterbitkan : 05 Dec 2022 04:15PM Dikemas Kini : 05 Dec 2022 04:16PM
SINGAPURA: Syarikat pelancongan menyatakan jumlah peserta yang mendaftar untuk mengikuti program lawatan tempatan mencecah hampir 90 peratus daripada tahap sebelum pandemik.

Pelancong asing membentuk sebahagian besar tempahan tersebut.

Sebaliknya, jumlah warga Singapura pula semakin merosot dengan lebih ramai warga tempatan melancong ke luar negara untuk bercuti menyusuli penarikan sekatan perjalanan COVID-19 dan pembukaan semula sempadan.

"Perniagaan hampir mencapai tahap sebelum pandemik," kata Encik Robin Loh, pengasas Let's Go Tour Singapore.

"Buat masa ini, saya boleh katakan hampir 100 peratus adalah pelancong luar negara. Saya rasa warga tempatan memilih untuk melancong keluar dari Singapura kerana banyak negara kini sudah membuka semula sempadan."

Meskipun jumlah warga tempatan yang berdaftar berkurangan, pengendali pelancongan menyatakan ia diimbangi dengan kemasukan mendadak pelancong sejak Singapura membuka semula sempadan.

Let's Go Tour Singapore juga mencatat peningkatan dari segi kumpulan besar pelancong khususnya untuk tempahan perniagaan dengan firma-firma mengadakan aktiviti korporat serantau di Singapura.

MINAT WARGA TEMPATAN SEMASA PANDEMIK

Ketika COVID-19 menjejas sektor pelancongan dua tahun lalu, satu kelebihannya adalah ia meningkatkan minat warga tempatan dalam pelancongan tempatan, menurut pengendali.

Ini didorong pula dengan pengagihan Baucar Teroka Semula Singapura (SRV), inisiatif semasa pandemik untuk merangsang sektor pelancongan dengan penyertaan warga tempatan.
"Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kami sangat bergantung kepada pelancong tempatan kerana mereka memastikan perniagaan masih beroperasi," kata Encik Jason Loe, Pengasas Tribe Tours.

Menurut STB pada Januari, 2.6 juta urus niaga dicatatkan berjumlah S$300 juta untuk mengikuti lawatan dan kunjungan ke daya tarikan. Ia terdiri daripada kira-kira S$180 juta dalam bentuk baucar dan sekitar S$120 juta dalam bentuk bayaran sendiri.

Pandemik COVID-19 turut memaksa syariakt pelancongan untuk memikirkan semula strategi perniagaan dan mengubahsuai program mereka untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura.

SASARAN TERUS PIKAT WARGA TEMPATAN

Meskipun minat tempatan semakin berkurangan,banyak program lawatan yang direka semasa pandemik untuk warga Singapura masih lagi berjalan dengan baik, kata syarikat pelancongan.

Justeru, ia sedang berusaha untuk memikat lebih banyak warga tempatan dengan memikirkan cara yang kreatif termasuk lawatan yang diiringi dengan topik yang lebih menarik, bengkel khusus dan elemen interaktif.

Encik Loe daripada Tribe Tours berkata pengendali tempatan sedang mencipta lebih banyak pengalaman berbeza untuk mengekalkan minat pelancong tempatan dan asing.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan