Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wira masyarakat gembleng tenaga, suntik keceriaan kepada penduduk menjelang Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Selain badan-badan kebajikan, kumpulan relawan juga aktif menganjurkan pelbagai inisiatif bagi menyokong golongan yang memerlukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Selain mengeratkan silaturahim antara para penduduk, usaha seperti menyediakan bahan masakan dan baju raya itu diharap dapat membawa keceriaan pada musim perayaan.

BUKA 'BUTIK' BAJU RAYA DI KOLONG BLOK

Suasana di 'butik' bawah kolong blok 162 Yishun Street 11 pada Khamis (6 April) riuh dengan ramai orang datang memilih baju-baju raya terpakai yang boleh digayakan semasa Syawal nanti.

Kebanyakan daripada mereka merupakan penduduk di flat sewa blok itu.

Baju-baju tradisional Melayu tersusun indah di atas rak-rak yang diperbuat sendiri daripada kayu hasil kreatif seorang relawan.

Antara pakaian lain yang boleh didapatkan di situ termasuk telekung, sejadah dan baju rumah yang baru dan lama. Para penduduk juga dibenarkan untuk mengambil seberapa banyak baju yang diperlukan tanpa sebarang had.

Inisiatif yang dinamakan "Friends of Charity" itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang buat para penduduk di situ.

"Dahulu saya pun tinggal di blok sini juga, jadi saya nampak ada kekurangan dalam kawasan ini, dari itu saya punya relawan semua bercadang untuk dapatkan baju-baju raya untuk yang memerlukan. Daripada Facebook daripada situ para penderma akan hantar baju-baju itu di sini," kata Penyelaras Projek, Rosnawati Hassim.
Ini merupakan edisi kedua Projek "Friends of Charity" dilancarkan atas usaha kendiri para relawan.

Para penganjur memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa acara tahun ini lebih lancar kerana mereka sudah pelajari daripada kesilapan tahun lepas dengan maklum balas yang diterima oleh penduduk.

Ini termasuk menyusun baju mengikut saiz dan gaya pakaian bagi memudahkan mereka untuk memilih.
Inisiatif yang disebarkan sendiri oleh para relawan melalui akaun media sosial Facebook mereka itu meraih pujian dan sokongan penduduk di merata Singapura.

Malah penduduk dari sejauh Jurong East, Bukit Batok dan Lavender juga datang untuk menyumbang baju-baju tradisional mereka kepada penganjur.

Di samping itu, para relawan juga merancang untuk meluaskan lagi rangkaian penderma dan mengadakan ruang yang lebih besar pada tahun akan datang.

"Kami harap dapat membantu orang memberikan harapan untuk menyambut hari raya akan datang. Insya-Allah kami akan lancarkan projek ini setiap tahun dengan harapan akan raih lebih banyak penderma yang akan tampil ke hadapan untuk sumbangkan baju-baju yang lebih berkualiti," kata Perancang Projek "Friends of Charity", Fiza Fikri.
SEDIAKAN BAHAN MASAKAN PERCUMA

Tidak jauh dari Yishun, semangat kemasyarakatan turut hangat terasa di Blok 364A Sembawang Crescent.

Dinamakan "Sembawang Blessing Corner", ruang itu menyediakan bahan masakan, buku-buku pendidikan dan baju terpakai mahupun yang baru buat penduduk flat sewa di kawasan berkenaan.

Para penduduk juga boleh menikmati bubur Ramadan sumbangan Jamil Catering yang akan diagihkan setiap Sabtu di ruang itu.

Inisiatif bersama pasukan rangkaian Yishun Health dan penduduk kawasan Sembawang Crescent itu dimulakan semasa kemuncak pandemik.
"Kebanyakan mereka adalah dari berpendapatan rendah dan kami menyedari ketakjaminan makanan adalah masalah utama di kalangan masyarakat kami. Jadi daripada situlah kita dapat inspirasi," kata Pengasas Bersama Projek, Azaree Atan.

Bersamaan dengan pertubuhan "Sembawang Blessing Corner" ini, rangkaian Yishun Health juga mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma buat penduduk Singapura di kawasan itu setiap Jumaat.

Bagi Encik Azaree dan pasukannya, usaha dari masyarakat untuk masyarakat ini lebih bermakna dan dapat mengeratkan jalinan sesama mereka.

Beliau turut mengongsikan kepada BERITAMediacorp bahawa perancangan projek itu memakan masa enam bulan. Namun, usaha itu berbaloi kerana dapat membawa keceriaan kepada jiran-jirannya di kawasan itu.

"Kami percaya dengan penglibatan dan sambutan masyarakat ruang ini akan lebih berhubung dan interaktif untuk masyarakat belajar dan mengambil berat antara satu sama lain dan benar-benar melambangkan semangat kampong yang membina, masyarakat yang lebih aktif, sihat dan bahagia," tambah beliau.

Mereka juga berharap dapat anjurkan sambutan perayaan di ruang berkenaan bagi masyarakat berbilang kaum dan agama saling hargai satu sama lain.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan