Skip to main content

Singapura

WHO beri amaran varian baru COVID-19 XBB1.5; haruskah kita bimbang?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Varian baru COVID-19 yang merebak dengan cepat di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa bahagian Eropah mencetuskan kebimbangan tentang lonjakan kes baru COVID-19.

Namun para pakar berkata meskipun varian itu lebih mudah berjangkit, ia nampaknya tidak menyebabkan penyakit lebih teruk.

Varian COVID Omicron XBB1.5 merupakan "subvarian paling mudah menular pernah dikesan sejauh ini," menurut pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (4 Jan).

Namun, tiada petunjuk bahawa ia menyebabkan penyakit lebih teruk daripada versi Omicron sebelumnya, kata ahli penyakit berjangkit Dr Maria Van Kerkhove, ketua teknikal COVID-19 WHO.

Para saintis sedang terus mengumpul data dan meneliti varian XBB1.5, namun kebimbangan utama akan hanya muncul jika subvarian itu berubah dari cara ia berjangkit menyebabkan penularan meluas dan gejala lebih serius, kata pakar.

"Saya tidak rasa kita perlu terlalu bimbang setakat ini kerana kita tidak mempunyai sebarang bukti bahawa varian ini lebih teruk," kata Profesor Ravindra Gupta dari Universiti Cambridge.

XBB1.5 lebih mudah berjangkit disebabkan mutasi yang membolehkan virus itu melekat pada sel manusia dan bertambah dengan mudah.

Mutasi pada XBB1.5 meningkatkan keupayaan virus itu untuk melekat lebih kuat pada sel manusia dan menyerangnya, kata Prof Gupta kepada saluran radio Mediacorp CNA938 pada Khamis.

WHO belum lagi mempunyai sebarang data kukuh tentang kesan kemudaratan XBB1.5. Pakar percaya simptomnya serupa dengan varian Omicron yang lain.

Mereka yang dijangkiti boleh menjangkakan gejala termasuk selesama, sakit tekak, batuk, sakit kepala dan demam, kata Prof Gupta.

Kit ujian biasa seperti kit Ujian Pantas Antigen (ART) boleh mengesan XBB1.5 sebagai sebahagian daripada keluarga virus COVID-19 dan menghasilkan keputusan positif, katanya.

Meskipun kebanyakan penduduk tidak perlu bimbang dengan varian terbaru itu, cirinya yang mudah berjangkiti dikhuatiri menjejas kumpulan berisiko, kata Prof Gupta.

Ini termasuk warga emas, mereka yang mempunyai penyakit, dan mereka yang tidak layak untuk divaksinasi.

Individu yang menjalani rawatan atau mengambil ubat yang melemahkan sistem imun mereka, seperti kemoterapi, juga berisiko lebih tinggi.

Malangnya, XBB1.5, yang dijangka merebak ke seluruh dunia, akan memberi peluang kepada virus itu melalui mutasi lagi, kata Prof Gupta.

Terdapat juga peluang lebih tinggi bagi varian baru timbul daripada individu yang mempunyai jangkitan kronik yang mungkin lemah sistem imun mereka dan mengambil masa lebih lama atau tidak dapat pulih.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita