WhatsApp, Telegram dan khidmat kiriman mesej lain tertakluk kepada peraturan baharu antipenipuan di SG
Khidmat pemesejan online seperti WhatsApp dan Telegram tidak lama lagi perlu menjadikannya lebih sukar untuk para individu yang tidak dikenali menghubungi para pengguna sebagai sebahagian daripada langkah baharu antipenipuan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (18 Ogos).
- Pasukan Polis Singapura dan Pejabat OCHA memperkenalkan kod amalan baharu untuk khidmat kiriman mesej, media sosial, dan e-dagang bagi menangani penipuan online.
- Penyedia seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok, Carousell dan lain-lain diwajibkan melaksanakan langkah keselamatan tambahan sebelum tarikh akhir antara September 2026 hingga Januari 2027.
- Langkah termasuk persetujuan pengguna sebelum dimasukkan ke kumpulan, amaran risiko, pengesahan pengiklan, serta kawalan ketat terhadap iklan dan akses akaun.
- Penyedia yang gagal mematuhi boleh dikenakan denda sehingga S$10 juta, dengan maklumat lanjut akan diumumkan semasa bacaan kedua rang undang-undang pada September.
Langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada kod amalan baharu dan dipertingkat yang dikeluarkan Pejabat Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA) SPF bagi melindungi para pengguna daripada penipuan dan kegiatan siber yang berniat jahat.
Peraturan baharu tersebut akan mewajibkan penyedia khidmat online yang ditetapkan untuk melaksanakan langkah-langkah secara proaktif bagi membanteras penipuan dan kegiatan siber berniat jahat yang menjejas para pengguna di Singapura.
Keperluan berasingan akan turut dikenakan ke atas platform media sosial Facebook, Instagram dan TikTok. Perlindungan sedia ada bagi khidmat e-dagang seperti Carousell dan Facebook Marketplace akan turut dipertingkat.
KOD BAHARU BAGI KHIDMAT KIRIMAN MESEJ
Pada 2025, WhatsApp dan Telegram sahaja menyumbang sekitar 23 peratus daripada semua kes penipuan, menurut SPF.
Penipuan pelaburan menjadi antara kebimbangan utama di platform kiriman mesej, dengan para penipu mendekati mangsa menerusi akaun yang tidak dikenali sebelumnya untuk menawarkan produk pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, tambah SPF.
Kod bagi khidmat kiriman mesej itu akan dikenakan ke atas tujuh khidmat kiriman mesej dan persidangan online yang dinilai mempunyai risiko penipuan paling tinggi terhadap pengguna di Singapura.
Ia merangkumi WhatsApp, Telegram, WeChat, Apple iMessage, Apple FaceTime, Google Messages dan Google Meet.
Sebagai sebahagian daripada keperluan baharu, platform-platform tersebut perlu mendapatkan persetujuan pengguna sebelum mereka boleh dimasukkan ke dalam kumpulan sembang atau sesuatu saluran oleh individu yang tidak dikenali.
Platform-platform itu juga perlu memaparkan amaran mengikut konteks atau menyediakan penunjuk berhubung risiko yang dihadapi apabila pengguna menerima mesej atau panggilan daripada akaun yang tidak dikenali atau mencurigakan. Amaran tersebut mungkin merangkumi tarikh akaun tersebut diwujudkan dan negara asalnya, bagi membantu pengguna membuat keputusan dengan lebih baik sama ada untuk terus berinteraksi dan berkomunikasi dengan akaun tersebut atau sebaliknya.
Selain itu, platform-platform berkenaan juga perlu menyediakan pilihan kepada pengguna untuk senyapkan, menapis atau menyekat mesej atau panggilan daripada akaun atau nombor telefon yang tidak tersenarai dalam senarai kenalan mereka.
Tujuh perkhidmatan tersebut diberi tempoh sehingga 31 Januari 2027 untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi mematuhi kod khidmat kiriman mesej tersebut.
Satu lagi kebimbangan utama melibatkan platform kiriman mesej ialah penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah, dengan sekitar 18 peratus kes sedemikian berlaku di WhatsApp pada 2025, menurut SPF.
SPF turut mendapati platform seperti Google Meet digunakan bagi penipuan pancingan data yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis.
Untuk menangani perkara tersebut, kod bagi khidmat kiriman mesej akan memperkenalkan keperluan untuk mencegah penyamaran Pemerintah Singapura menerusi nama atau gambar profil.
Keperluan tersebut mesti dipenuhi menjelang 30 September 2026 memandangkan tindakan segera diperlukan untuk menangani penipuan sedemikian, menurut SPF.
KOD BAHARU BAGI MEDIA SOSIAL
Pejabat OCHA juga akan memperkenalkan kod baharu bagi Facebook, Instagram dan TikTok, yang dinilai mempunyai risiko penipuan paling tinggi dalam kalangan khidmat media sosial di Singapura.
Pada 2025, platform-platform tersebut menyumbang sekitar 30 peratus daripada keseluruhan kes penipuan, dengan Facebook sahaja menyumbang sekitar 18 peratus.
Menurut SPF, antara kebimbangan utama yang dihadapi ialah penggunaan iklan untuk menyasarkan mangsa yang berpotensi. Ia menambah bahawa platform media sosial meraih keuntungan daripada penerbitan iklan dan perlu memastikan kandungan tersebut tidak digunakan untuk membantu kegiatan jenayah.
Di bawah kod amalan media sosial, platform-platform tersebut perlu menghalang iklan daripada disiarkan kepada pengguna di Singapura jika terdapat sebab untuk mengesyaki ia digunakan untuk menjalankan penipuan.
Ini termasuk mengesan amalan seperti penyamaran URL, yang boleh digunakan untuk menyembunyikan alamat laman web sebenar yang dipautkan, serta kandungan lain yang mencurigakan.
Platform-platform juga perlu segera memadamkan iklan yang disyaki berkaitan penipuan dan boleh diakses para pengguna di Singapura, termasuk yang dilaporkan oleh pengguna.
Selain itu, platform-platform tersebut perlu mengesahkan identiti pengiklan dengan membuat semakan berdasarkan rekod yang dikeluarkan pemerintah sebelum membenarkan mereka menyiarkan iklan yang menyasarkan para pengguna di Singapura.
Mereka juga perlu menghalang iklan yang menawarkan khidmat atau produk kewangan kepada para pengguna di Singapura, kecuali pengiklan tersebut mempunyai lesen untuk menawarkannya di negara ini daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) atau pihak berkuasa lain yang berkenaan.
Ketiga-tiga platform media sosial itu perlu melaksanakan langkah-langkah tersebut untuk mematuhi kod berkenaan menjelang 31 Januari 2027.
Memandangkan kod baharu bagi khidmat kiriman mesej dan media sosial merangkumi keperluan berkaitan yang terkandung dalam Kod Khidmat Komunikasi Online sedia ada, Pejabat OCHA akan memansuhkan kod tersebut apabila kod baharu mula berkuat kuasa, menurut SPF.
KOD E-DAGANG DIPERTINGKAT
Kod amalan yang dipertingkat itu juga akan terpakai bagi tiga khidmat e-dagang, sebagai tambahan kepada keperluan sedia ada bagi pengesahan penjual dan perlindungan pembayaran yang diperkenalkan pada Jun 2024.
Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut - Carousell, Facebook Marketplace dan Facebook Business Pages - akan diwajibkan untuk memperkenalkan langkah persetujuan yang lebih ketat sebelum membenarkan para pengguna mengelog masuk menerusi peranti baharu atau yang tidak dikenali.
Kod yang dipertingkatkan itu juga akan mengguna pakai langkah perlindungan daripada Kod Media Sosial untuk melindungi para pengguna daripada penyalahgunaan iklan online oleh penipu, menurut SPF.
Ketiga-tiga khidmat tersebut perlu melaksanakan langkah yang ditetapkan menjelang 31 Januari 2027.
PENGUATKUASAAN
Jika penyedia khidmat online yang ditetapkan gagal mematuhi keperluan yang dikenakan, Pejabat OCHA boleh mengeluarkan notis pembetulan yang memerlukannya untuk menangani ketidakpatuhan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, menurut SPF.
Di bawah rangka kerja penalti OCHA sedia ada, kegagalan mematuhi notis pembetulan tanpa alasan munasabah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga S$1 juta.
Bagi kesalahan yang berterusan, platform tersebut boleh dikenakan denda tambahan sehingga S$100,000 setiap hari atau sebahagian daripada hari di mana kesalahan tersebut berterusan menyusuli sabitan.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri sudah mengusulkan pindaan undang-undang di parlimen pada Ogos untuk memperkukuh rangka kerja penalti OCHA.
Di bawah rangka kerja yang diusulkan, Pejabat OCHA boleh mengenakan denda kewangan sehingga S$10 juta bagi setiap ketidakpatuhan terhadap kod amalan atau arahan pelaksanaan.
Jika tidak, ia boleh mengarahkan platform tersebut untuk menangani ketidakpatuhan menerusi notis pembetulan atau perintah pematuhan.
Kegagalan mematuhi notis pembetulan atau perintah pematuhan tanpa alasan yang sah boleh dikenakan denda sehingga S$10 juta.
Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga S$300,000 boleh dikenakan bagi setiap hari atau sebahagian daripada hari di mana kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Butiran lanjut akan dikongsi semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Penipuan (Langkah Balas) dan Perkara Lain pada September, menurut SPF.
"Polis menggesa orang ramai supaya terus berwaspada terhadap ancaman jenayah online," menurut SPF. Ia menambah bahawa meskipun platform-platform berkenaan dijangka melakukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan keselamatan perkhidmatan mereka di bawah kod amalan tersebut, para pengguna harus terus mengambil langkah berjaga-jaga ketika berinteraksi dan melakukan urus niaga online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.