Skip to main content

Singapura

WGS terajui Jawatankuasa SG60 Bersama sempena ulang tahun ke-60 negara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jan 2025 10:52PM Dikemas Kini : 26 Jan 2025 04:04PM
SINGAPURA: Satu kumpulan kerja ditubuhkan untuk mengatur sambutan acara-acara SG60 bagi masyarakat Melayu/Islam.

Demikian diumumkan Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli di majlis meraikan ulang tahun WGS yang ke-6 pada malam ini (Sabtu, 25 Jan).

"Dikenali sebagai SG60 Bersama, usaha ini memaparkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam bersatu-padu dalam meraikan pencapaian negara sepanjang enam dekad lalu dan menyusuri sumbangan orang Melayu dalam pembangunan Singapura,” tambah beliau.

Pelbagai acara menarik sedang dirancang untuk meraikan SG60, termasuk persembahan kebudayaan, pameran sejarah, dan forum komuniti.

Encik Masagos juga menggalakkan masyarakat Melayu/Islam untuk sama-sama menyokong usaha tersebut.

“Pelbagai acara bakal dianjurkan sepanjang tahun ini dan saya menggalakkan anda untuk tampil menyokong supaya kita sama-sama dapat menjayakan acara-acara ini.

"Bak kata pepatah, mendukung bersama, terbang tinggi bersama. Ayuh kita raikan perjalanan negara kita dan mendukung nilai-nilai murni kita bersama sebagai masyarakat yang bersatu padu demi kejayaan Singapura seterusnya. Mari bersama, sebagai Masyarakat Gemilang kita menyambut SG60 bersama rakan senegara kita!” ujar Encik Masagos.

Kumpulan kerja itu akan dipengerusikan oleh Penasihat Utama WGS, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dengan WGS bertindak sebagai sekretariat kumpulan kerja tersebut.

Anggota kumpulan ini terdiri daripada badan-badan Melayu/Islam, lembaga berkanun, dan kumpulan-kumpulan bantu diri.

"Kita mahu memberikan wadah untuk meluaskan dari segi keupayaan kita untuk berkongsi tentang SG60 ini ke seberapa ramai mungkin kepada masyarakat kita dan di mana kita juga mahu menyediakan wadah-wadah bagi mereka untuk mengadakan acara-acara yang tertentu dari segi individu dan juga badan badan dan juga agensi-agensi.

Kita telah mendapat beberapa inisiatif yang akan dilakarkan oleh badan-badan Melayu Islam dan saya rasa gembira kerana selepas kita berkongsi dengan badan badan Melayu/Islam dan juga individu-individu, mereka merasakan mereka hendak mainkan peranan Ini," Penasihat Utama WGS, Dr Muhammad Faishal Ibrahim kepada wartawan Nurhelmy Hakim.
Related article image
PERANAN WGS SEBAGAI NADI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dalam ucapannya juga, Encik Masagos berkata WGS memainkan peranan penting sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam sejak pembukaan rasminya pada tahun 2019.

“Bangunan WGS ini, sudah menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat Melayu/Islam kita bersama. Sejak pembukaan rasminya pada 2019, WGS menjadi nadi bagi masyarakat dan juga merupakan wadah penting dalam memupuk kerjasama yang lebih erat antara badan-badan Melayu/Islam.

"Sepanjang enam tahun ini, kita telah saksikan pelbagai perubahan dan peningkatan di persekitaran Geylang Serai. Syabas WGS di atas pencapaian ini! Semoga WGS terus menyinar dan maju ke hadapan agar tempat kebanggaan kita ini, menyerlah di persada dunia,” kata Encik Masagos.
Related article image
TEMA SAMBUTAN: ‘BUDAYA DISULAM’

Majlis yang berlangsung di Persada Budaya WGS itu meriah dengan pelbagai persembahan termasuk muzik, tarian, puisi, dan seni mempertahankan diri.

Tema sambutannya ‘Budaya Disulam’ melambangkan semangat sokongan komuniti serta menunjukkan bagaimana kemajuan seniman tempatan bergantung pada sokongan masyarakat.

Dalam ucapannya, Dr Faishal merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong WGS sepanjang enam tahun lalu

“Sepanjang perjalanan kami, WGS telah berpeluang untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai persatuan dan organisasi. Kami amat berterima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada anda semua. Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam penglibatan masyarakat yang berterusan merentasi pelbagai bidang - dari jangkauan sosial, inisiatif kebudayaan hinggalah ke program kesejahteraan,” kata beliau.

WGS, kata beliau, telah berkembang menjadi hab seni dan budaya yang penting.

“WGS telah menawarkan pelbagai program dan aktiviti yang menepati pelbagai cita rasa setiap lapisan masyarakat. Tahun lepas, WGS telah menganjurkan lebih daripada 150 program dan bekerjasama dengan lebih daripada 45 rakan kongsi termasuk agensi pemerintah, organisasi dan kumpulan seni,”kongsi Dr Faishal.

Sebagai contoh, program 'Muzikita – Gema Lagenda' menyediakan platform untuk pemuzik tempatan seperti H.A. Band, Mansoor Quartet, Nada Persona, dan banyak lagi.

Program 'Mutiara Tari' pula memberikan peluang kepada belia untuk menonjolkan bakat tarian tradisional mereka, hasil kerjasama dengan rakan kongsi seperti Sri Warisan.

Selain itu, program 'Senam-Senam Pasar' yang diadakan setiap hujung minggu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga mempereratkan hubungan antara peserta, terutama ‘Kakak-kakak dan Mak Cik-mak Cik’.
Related article image
RANCANGAN TERBAHARU

WGS juga mengalu-alukan kehadiran penyewa baharu seperti 'Campur', 'Saffrons', dan 'KopiCuts' untuk menarik minat golongan muda untuk mengunjungi WGS.

Ini selain menganjurkan lebih banyak lagi program baharu.

“Kami akan menjangkau golongan belia melalui program seperti Sayembara Bisikan Pena 2025, hasil kolaborasi pertama kami dengan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Pelajar akan mempersembahkan karya puisi asal mereka yang dibangunkan melalui siri bengkel,” ujar beliau.

Selain itu, WGS akan bekerjasama dengan Persatuan Pemuzik Tradisional Melayu Singapura untuk menganjurkan Rentas Seni – sebuah festival muzik yang menampilkan persembahan, bengkel, dan sesi interaktif yang menekankan kepentingan muzik tradisional Melayu dalam landskap budaya hari ini.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita