Skip to main content

Singapura

WGS pelawa orang ramai hasilkan reka bentuk hiasan Penyalaan Lampu Hari Raya 2027

Buat julung-julung kalinya, Wisma Geylang Serai (WGS) mempelawa orang ramai untuk menghasilkan reka bentuk hiasan bagi Penyalaan Lampu Hari Raya 2027 di Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:
WGS pelawa orang ramai hasilkan reka bentuk hiasan Penyalaan Lampu Hari Raya 2027

Orang ramai berpeluang untuk mereka bentuk pemasangan lampu hiasan di sekitar kawasan Geylang Serai sempena Ramadan dan Hari Raya 2027. (Gambar: WGS)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 10:20AM
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Wisma Geylang Serai (WGS) mempelawa orang ramai untuk menghasilkan reka bentuk hiasan bagi Penyalaan Lampu Hari Raya 2027 di Geylang Serai.

Reka bentuk yang terpilih akan menjadi sebahagian daripada pemasangan lampu hiasan di sekitar kawasan Geylang Serai sempena Ramadan dan Hari Raya 2027.

Inisiatif itu mempelawa rakyat Singapura mengemukakan konsep reka bentuk asal mereka bertemakan 'Raya Bagi Saya'.

Ia juga bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk memainkan peranan secara langsung dalam membentuk salah satu sambutan perayaan paling ikonik di Singapura.

Selain itu, inisiatif berkenaan juga diharap dapat menggalak pelibatan masyarakat dan memupuk penghargaan kepada budaya.

Dalam menampilkan kreativiti mereka, para peserta turut digalak untuk menterjemahkan pengalaman peribadi mereka semasa menyambut Hari Raya. Ini merangkumi perjumpaan keluarga, adat perayaan serta amalan murni, semangat kebersamaan dan semangat kemasyarakatan.

SAMBUTAN LEBIH INKLUSIF, DIPACU MASYARAKAT

Dengan membuka proses reka bentuk kepada orang ramai buat kali pertama, WGS melahirkan harapan dapat mewujudkan sambutan yang "lebih inklusif dan dipacu masyarakat", sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada acara yang sudah menjadi ibarat simbol penting bagi musim perayaan tersebut.

Pengurus Besar WGS, Mokhtar Jaffar berkata: "Penyalaan Lampu Hari Raya sentiasa membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar hiasan perayaan. Ia melambangkan kisah, tradisi dan pengalaman bersama yang menyatukan masyarakat kita setiap tahun.

"Menerusi panggilan terbuka reka bentuk yang diadakan buat julung-julung kalinya ini, kami berharap dapat mempelawa setiap individu yang menganggap Singapura sebagai tanah air untuk menjadi sebahagian daripada kisah tersebut dengan berkongsi tafsiran masing-masing tentang makna Hari Raya."

"Kami mengalu-alukan pelbagai idea dan perspektif yang akan membantu membentuk sambutan tahun depan," tambah beliau.

PERLU HASILKAN DUA REKA BENTUK

Para peserta perlu mengemukakan dua reka bentuk Gerbang Utama dan satu reka bentuk Gerbang Sampingan menggunakan templat rasmi yang disediakan.

Penyertaan dibuka kepada semua tanpa mengira usia, latar belakang seni atau pengalaman dalam bidang reka bentuk.

Reka bentuk juga boleh dihasilkan menggunakan apa jua cara, termasuk ilustrasi digital, lukisan tangan atau media campuran.

Selain itu, para peserta juga perlu menyediakan penjelasan ringkas berhubung inspirasi di sebalik karya mereka.

Reka bentuk yang terpilih akan diadaptasikan menjadi pemasangan lampu hiasan di sekitar Geylang Serai sempena Penyalaan Lampu Hari Raya 2027.

Peserta yang terpilih juga akan menerima hadiah dan diundang untuk menghadiri majlis pelancaran Penyalaan Lampu Hari Raya pada 2027.

Penyertaan ditutup pada 19 Julai, pukul 11.59 malam.

Borang penyertaan dan templat reka bentuk boleh didapati menerusi pautan ini atau menerusi saluran rasmi WGS.
Sumber : BERITA Mediacorp/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita