Skip to main content

Singapura

WGS lebih 'hijau', banyak 'diskaun' dalam usahanya pupuk cinta alam sekitar semasa sambutan tahun pertama

Jika anda ke Wisma Geylang Serai pada hujung minggu ini, jangan terlepas pandang melihat pelbagai usaha 'hijau' atau langkah-langkah yang berusaha menyelamatkan bumi kita.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda ke Wisma Geylang Serai pada hujung minggu ini, jangan terlepas pandang melihat pelbagai usaha 'hijau' atau langkah-langkah yang berusaha menyelamatkan bumi kita.

Mungkin hanya di WGS, anda akan melihat satu tempat duduk unik. Ia diperbuat daripada hanya paip plastik dan peti kayu yang dibuang oleh kilang-kilang perusahaan.

Meskipun diperbuat dari bahan-bahan yang diguna semula, ia menjadi perabot menarik yang melengkapi suasana santai di bazar 'Kita Satu' di Wisma Geylang Serai sempena sambutan ulang tahunnya yang pertama.

"Selalunya bahan-bahan yang kita rasa ‘tak perlu lagi, kita buang semuanya', boleh menjadi sesuatu yang baru. Kita kitar semula, cantikkan dia, cat semula... dah jadi sebuah sofa yang cantik," kata pengasas syarikat penganjuran 'pasar lambak' LalooLalang, Huda Ali.

Malah, tambah beliau, perabot yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan dikitar semula mendapat pujian kerana kelihatan 'hipster' walaupun tidak menelan kos tinggi untuk menghasilkannya.

"Jadi siapa yang berkunjung ke sini, boleh lihat dan mungkin mendapat inspirasi," kata Cik Huda lagi, yang juga merupakan seorang pelakon televisyen.

DISKAUN, INSENTIF MENARIK BAGI PENGUNJUNG

Bukan itu sahaja, dari 86 gerai di bazar 'Kita Satu', lebih 20 penjual menawarkan insentif menarik yang 'menguntungkan' jika anda menunjukkan amalan kitar semula.

Sebagai contoh, pengunjung yang membawa bekas makanan sendiri akan diberi diskaun antara 50 sen hingga $1.

Ada juga gerai yang memberikan sukatan makanan lebih banyak jika anda melakukan itu.

Pelbagai insentif menarik turut ditawarkan oleh gerai-gerai menjual barangan dan pakaian. Penjual pakaian muslimah 'Modest Galleria', misalnya, menawarkan potongan harga sehingga $10 jika anda membawa beg sendiri. Peniaga 'Floxha' pula menawarkan diskaun sebanyak 5 peratus.

Semua ini demi menyemai nilai cinta kepada alam sekitar - sesuatu yang WGS sokong selaku tuan rumah pelbagai acara yang dianjurkan di sana.

WGS AKTIF SOKONG ACARA PUPUK CINTA ALAM SEKITAR

Sebenarnya, usaha seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di WGS. Pusat sivik masyarakat dan kebudayaan Melayu itu sudah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sedemikian.

"Dalam tempoh tiga bulan lalu sahaja, WGS sudah menyokong tiga acara yang menerapkan mesej mesra alam," jelas Penolong Pengarah Program Bersepadu WGS, Muhammad Yunus Haroon.

"Antaranya adalah acara Pesta Keluarga Chichi Lala yang telah menerapkan mesej sifar sisa kepada keluarga dan khususnya kepada kanak-kanak kecil. Kami juga membangunkan pentas daripada barangan-barangan terpakai dalam acara Gala Laga bulan lalu," tambah beliau.

Sejak beberapa hari lalu juga, WGS menyediakan enam tong kitar semula baru yang lebih besar di sekitar bangunannya, bagi menggantikan tong-tong lama yang lebih kecil.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita