Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WGS catat rekod jayakan acara senaman tarian Melayu online terbesar S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wisma Geylang Serai sekali lagi menempa nama dalam Buku Rekod Singapura setelah ia berjaya menganjurkan acara senaman tarian Melayu online terbesar di Singapura pagi tadi (22 Jan).

Seramai 265 individu menyertai acara itu - 195 peserta menerusi Zoom sementara 70 lagi hadir secara fizikal di WGS.

Acara itu cukup unik. Para peserta dapat berzumba diiringi lagu-lagu malar segar. Gerak langkahnya pula adalah gerak tari tradisional Melayu!

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Menurut WGS, usaha ini dijayakan hasil kerjasamanya dengan Sri Warisan dan GlowCo Move, iaitu dua kumpulan yang masing-masing pakar dalam tarian Melayu dan zumba.

"Sempena ulang tahun WGS yang ketiga, kami ingin membuat sesuatu aktiviti yang dapat mencatatkan rekod. Akhirnya kami memutuskan untuk mencatat rekod bagi ‘Senaman Tarian Melayu dalam talian Terbesar’ yang bakal diiktirafkan di dalam Buku Rekod Singapura. Kami memilih senaman zumba dan tarian Melayu kerana ingin menerapkan elemen budaya disebabkan WGS adalah pusat sivik seni dan budaya," menurut WGS.
 



Acara bermula pada sekitar jam 10.00 pagi. Bagi acara yang berlangsung di WGS, kemeriahan acara itu dapat dilihat dan dirasakan dari persimpangan antara Geylang Serai dengan Joo Chiat Road lagi.

Ini kerana para peserta yang berada di WGS dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan melakukan senaman zumba di Persada Budaya sementara satu lagi di kawasan terbuka berdekatan laluan masuk ke WGS.

SLOT ZUMBA HABIS DITEMPAH SEMINGGU SEBELUM ACARA

70 slot yang dibuka kepada orang awam untuk menyertai acara itu secara fizikal juga begitu cepat terisi. Semua slot kosong habis ditempah sejak seminggu lalu.

"Kalau tak dapat sedih juga tapi dapat juga, Alhamdulillah," kongsi Cik Rohani yang merupakan antara yang bertuah mendapat tempat untuk mengikuti acara senaman tarian Melayu di WGS hari ini (22 Jan).

Cik Rohani (tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya. 

Rakan-rakan Cik Rohani juga dapat menyertainya di WGS. Inilah yang membuatkannya lebih bersemangat untuk melakukan perjalanan dari rumahnya di Sengkang ke Geylang Serai pada pagi hujung minggu ini.

"Saya suka zumba dari dulu. Kita biasa berzumba. Kalau zapin tadi ada kekok sikitlah tapi boleh ikut jugalah cara dia," tambah beliau sambil berkongsi pengalamannya.



Penduduk Geylang Serai bernama Encik Mazlan Muhammad ini pula mendaftarkan diri demi menunjukkan sokongannya terhadap usaha WGS itu.

"Wisma Geylang Serai adalah tempat untuk kita untuk sama-sama melestarikan budaya Melayu kita dan kalau tidak kita, siapa lagi? Jadi saya bangga bersama teman-teman dapat memecahkan rekod hari ini," luah Encik Mazlan.

"Saya mengalu-alukan acara seperti ini. (Saya harap) tiap-tiap kali WGS mengadakan acara seperti ini, orang-orang Melayu kita dapat sama-sama bersatu dan beramai-ramai memeriahkan suasana seperti ini," tambahnya lagi.



Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman, turut dilihat menari sambil memerah keringat di Persada Budaya WGS.

ACARA ZUMBA TARIAN MELAYU TARIK PESERTA PELBAGAI KAUM

Namun, yang lebih menarik lagi adalah, 'mat salleh' pun mendaftarkan diri bagi acara ini.

"Ia menyeronokkan dan ia menerapkan tarian Melayu yang sedang saya pelajari dan minati. Ini juga satu peluang untuk saya melakukannya bersama keluarga," kata Conor, seorang belia yang sedang aktif mengikuti program Sri Warisan di WGS.



Selain Conor, terdapat juga beberapa peserta Cina dan India yang turut serta.

Program anjuran WGS pagi tadi rasmi menjadi acara senaman tarian Melayu online terbesar di Singapura apabila pihak Buku Rekod Singapura menyampaikan sijil kepada Encik Fahmi pada kira-kira 11.10 pagi tadi.
 



WGS berharap, acara ini juga dapat mendorong masyarakat agar giat bersukan dan menjalani gaya hidup sihat.

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan