Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WGS berhasil kumpul 600 baju Melayu & 300 baju kurung bagi ceriakan sambutan Aidilfitri keluarga memerlukan

Wisma Geylang Serai (WGS) melancarkan program Baju Kurung Amal untuk membawa keceriaan kepada keluarga-keluarga memerlukan dengan pemberian busana baru untuk menyerikan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wisma Geylang Serai (WGS) melancarkan program Baju Kurung Amal untuk membawa keceriaan kepada keluarga-keluarga memerlukan dengan pemberian busana baru untuk menyerikan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kenyataan medianya, WGS merakamkan penghargaannya kepada Encik Syed Tahir Alhaddad dari ST Collection dan Cik Lee dari Peniwern atas sumbangan mereka.

ST Collection mendermakan sekitar 600 pasang baju Melayu untuk penerima lelaki dan kanak-kanak lelaki manakala Peniwern pula menyumbangkan 300 pasang baju kurung untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Selain itu, Peniwern juga menyumbang 100 kotak mengandungi 50 pelitup kepada setiap keluarga yang menerima bantuan.

Usaha WGS itu turut menerima sokongan padu Persatuan Muhammadiyah yang menyumbang tenaga kerja sukarela untuk mengagihkan baju kurung kepada para penerima bantuan dari 22 hingga 24 April ini.

Rakan-rakan Kurnia@WGS turut menyingsing lengan pada Rabu (14 Apr) untuk membungkus baju-baju yang dikumpul.

Yang menariknya, para penerima juga dipelawa memasuki sebuah 'kedai' untuk memilih baju raya bagi keluarga masing-masing. Ini bagi membolehkan mereka untuk menikmati pengalaman seolah-olah sedang membeli-belah sempena musim perayaan.

Projek Baju Kurung Amal menggantikan acara Ketupat-thon yang diadakan pada 2019 di mana para peserta berbilang kaum berkumpul untuk menganyam ketupat dan menjualnya untuk mengumpul dana yang kemudian disalurkan kepada badan-badan amal tempatan.

Acara besar-besaran itu terpaksa ditiadakan pada tahun lalu disebabkan oleh langkah pemutusan rantaian jangkitan dan pada Ramadan tahun ini pula bagi mematuhi peraturan COVID-19 yang dikuatkuasakan sekarang.

Baju Kurung Amal adalah sebahagian daripada Kempen Ramadan dan Raya 2021 WGS yang menyajikan pelbagai program dan kegiatan online.

Ini termasuk persembahan muzik artis-artis Melayu tempatan seperti Ramli Sarip, Iskandar Ismail dan Farhan Shah dalam acara Dari Persada Budaya, himpunan sketsa bulan Ramadan 'Komedi Bongkar Periuk' yang dilakonkan oleh Suhaimi Yusof dan 'Jom Buat Kek' - rancangan memasak 'live' oleh SisterCookies.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan