Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WGS atur 5 program percuma sempena Bulan Bahasa; bakal lancar buku tentang Geylang Serai

Sempena Bulan Bahasa, Wisma Geylang Serai hari ini (9 Sep) melancarkan lima program percuma yang bertujuan memupuk rasa cinta terhadap budaya dan bahasa Melayu dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena Bulan Bahasa, Wisma Geylang Serai hari ini (9 Sep) melancarkan lima program percuma yang bertujuan memupuk rasa cinta terhadap budaya dan bahasa Melayu dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Selain menganjurkan bengkel dan persembahan, WGS akan melancarkan sebuah buku yang merakamkan detik-detik bersejarah Geylang Serai.

Buku bertajuk "Geylang Serai dalam Terowong Masa" itu malah akan menampilkan gambar-gambar lama Geylang Serai yang belum pernah diterbitkan untuk tatapan orang ramai.

Tidak banyak perincian didedahkan sejauh ini mengenai buku itu, namun ia akan dilancarkan pada 26 September nanti.

Mengulas mengenai pelbagai program dan kegiatan Bulan Bahasa di WGS pula, Penasihat Utama WGS, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata:

"Kita ingin menambahkan kepelbagaian (kepada usaha) oleh badan-badan yang lain. Walaupun bilangan masyarakat Melayu yang berdwibasa dalam Bahasa Inggeris dan Melayu tetap tinggi, usaha untuk melestarikan Bahasa, Budaya dan Kesusateraan Melayu harus diteruskan, lebih lagi bagi generasi muda kita,"

Pengurus Besar WGS, Encik Nur Effendi dalam sidang media pada Khamis (9 Sep) pula menambah, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan WGS "selari dengan fokus, untuk menggalak penyertaan seisi keluarga dan menggalak masyarakat Melayu mencintai bahasa, budaya dan warisan Melayu."

Barisan program anjuran WGS sudahpun mula dijalankan sejak Sabtu (4 Sep) dan akan berlangsung sehingga 10 Oktober ini.

Berikut perincian 5 program anjuran WGS sempena Bulan Bahasa 2021:

1. CERITA@GEYLANG SERAI

Pada Jun lalu, Wisma Geylang Serai meminta orang ramai berkongsi gambar-gambar yang dahulu dipetik di sekitar kawasan Geylang Serai. Lebih 20 orang tampil untuk berbuat demikian dan setiap gambar yang dikongsi mempunyai kisah tersendiri.

Kini gambar-gambar itu akan menjadi sebahagian daripada buku pertama yang diterbitkan WGS.

Pelancaran buku mengenai Geylang Serai akan berlangsung pada 26 September, dari 1.30 hingga 3.30 petang di Wisma Geylang Serai.

Usaha ini juga hasil kerjasama antara WGS dengan Creative Malay Arts & Culture.

2. BENGKEL BANGSAWAN UNTUK KANAK-KANAK

Menerusi bengkel yang diadakan secara fizikal ini, para peserta berusia antara 7 hingga 12 tahun diberi pendedahan kepada enam elemen teras seni tradisional Bangsawan Singapura, iaitu bahasa, nada, lenggok, adab, gerak dan deria.

(Gambar: WGS)

Ini akan mereka pelajari dalam tiga sesi berbeza sebelum akhirnya diberi peluang untuk membuat persembahan pada Ahad (12 Sep).

Ibu bapa boleh menemani anak mereka sepanjang sesi latihan dijalankan.

3. SAMUDERA SENI

Anda juga boleh menonton satu pementasan bertajuk 'Samudera Seni' secara percuma di laman Facebook dan YouTube WGS.

Pementasan itu dihasilkan dan ditulis oleh penulis veteran Nadiputra yang baru-baru ini dijulang dengan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai.

"Saya terapkan peribahasa pada setiap adengan supaya masyarakat Melayu kenal peribahasa-peribahasa yang mungkin tidak diungkapkan setiap hari. Misalnya, ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi," kata Encik Nadiputra.

(Gambar: NHB)

Samudera Seni turut merangkumi pelbagai intipati seni halus dan kesusasteraan Melayu melalui muzik, puisi, sajak, tarian dan seni visual.

"Saya fahamkan kepada mereka yang terlibat ini bukan soal hiburan atau konsert semata-mata. Tetapi Samudera Seni - samudera itu adalah lautan seni, yang kalau mata kasar kita lihat, tidak ada apa-apa pada dasarnya. Kalau dicungkil di dalamnya, macam-macam khazanah laut yang dapat. Begitu juga dengan seni budaya Melayu," tambah Nadiputra.

Lebih menarik lagi, Dr Faishal akan membuat penampilan khas dalam pementasan ini. Tayangan perdana Samudera Seni akan berlangsung pada 2 Oktober, 8.00 malam.

4. ALUNAN NUSANTARA

Persembahan muzik ini pula menonjolkan ciri keharmonian pelbagai persembahan seni seperti dari Orkestra Sri Temasek, Wayang Kulit oleh Ethnic Shadows, Silat oleh Pencak Bawean Dhuen.

Penyanyi Rozie Rahim akan turut membuat penampilan istimewa dalam persembahan muzik yang akan disiarkan di laman media sosial WGS pada 3 Oktober, 8.00 malam.

5. JOM BELAJAR @ WGS - BUDAYA MELAYU

Para peserta program ini akan dapat mendengar perkongsian Cikgu Djohan Abdul Rahman yang bakal mengupas dengan lebih mendalam tentang warisan dan budaya Melayu.

Kesemuanya empat sesi diatur dari 18 September hingga 18 Disember. Penyertaan dibuka kepada sehingga 50 penyerta bagi setiap sesi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan