Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WFH bukan lagi aturan pilihan mulai 1 Jan; sehingga 50% pekerja dibenar kembali ke pejabat

Mulai 1 Januari 2022, 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah (WFH) akan dibenarkan untuk kembali ke pejabat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada hari ini (14 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
WFH bukan lagi aturan pilihan mulai 1 Jan; sehingga 50% pekerja dibenar kembali ke pejabat

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 06:19PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 06:22PM

SINGAPURA: Mulai 1 Januari 2022, 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah (WFH) akan dibenarkan untuk kembali ke pejabat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada hari ini (14 Dis).

Ini kerana langkah-langkah vaksinasi bagi tenaga kerja, yang diumumkan sebelum ini, akan berkuat kuasa pada hari yang sama. Ini bermakna Singapura berada "di kedudukan yang lebih baik untuk mengurangkan tekanan pada aturan kerja sedemikian", menurut MOH. Langkah-langkah ini termasuk membolehkan hanya pekerja yang sudah lengkap divaksin ataupun pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 kembali ke tempat kerja.

Bekerja dari rumah sudah menjadi aturan pilihan sejak bulan September apabila jumlah kes COVID-19 kembali meningkat di Singapura.

Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Encik Gan Kim Yong berkata pihak berkuasa sedia maklum bahawa aturan sedemikian "tidak ideal dan tidak dapat ditampung dalam jangka panjang, kerana interaksi fizikal antara satu sama lain amat penting untuk dinamik pasukan dan juga atas pertimbangan operasi yang lain".

Sungguhpun demikian, perhimpunan sosial di tempat kerja masih tidak dibenarkan demi "mengurangkan pergaulan dan risiko jangkitan", kata Encik Gan.

Menurut MOH, lebih banyak perincian akan didedahkan secara berasingan.

Pada masa yang sama, pengerusi bersama pasukan bertindak itu, Encik Lawrence Wong mengatakan bahawa pasukan tersebut sedang "menimbangkan" untuk menarik balik pengecualian terhadap pekerja yang belum divaksin untuk dibenarkan kembali ke tempat kerja tetapi dengan hasil negatif ujian COVID-19.

"Tentu sekali ia mempunyai kesan ke atas majikan dan juga pekerja. Oleh itu, kami sedang mengumpul maklum balas dan berunding dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak yang lain. Kami akan memberikan lebih banyak maklumat apabila aturan itu sudah dimuktamadkan kelak."

Selain itu, MOH turut mendedahkan bahawa had peserta bagi acara-acara berkaitan kerja akan dinaikkan melepasi paras 50 orang yang ditetapkan sekarang.

Namun, ini hanya bagi acara-acara di mana semua peserta terus memakai pelitup dan duduk sambil mematuhi jarak selamat antara satu lama lain, dedah MOH lagi. Semua peserta juga mesti mematuhi syarat-syarat dan peraturan Langkah-Langkah Pengurusan Selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS).

VDS DIPERLUASKAN

VDS juga akan diperluaskan mulai 1 Februari untuk merangkumi lebih banyak tempat.

Ini disebabkan oleh "keberkesanan vaksinasi dan suntikan dos penggalak" dalam perjuangan Singapura melawan varian baru Omicron, kata Encik Wong.

Mulai 1 Februari, langkah-langkah tersebut akan merangkumi kesemua kemudahan sukan tertutup, institusi pengajian tinggi (IHL), serta para tetamu riadah hotel, asrama dan juga apartmen privet.

"Namun, para pelajar IHL yang sedang menamatkan program pengajian NITEC/NITEC Lanjutan, Diploma atau Ijazah sepenuh masa akan dikecualikan daripada langkah-langkah VDS apabila memasuki institusi pengajian masing-masing," dedah MOH. Lebih banyak perincian akan didedahkan oleh agensi-agensi relevan.

Selain itu, mulai 1 Februari, semua acara, tanpa mengira saiz, mesti melaksanakan VDS sebelum dibenarkan untuk diteruskan, kata MOH.

Ini menandakan kawalan yang lebih ketat berbanding peraturan sekarang di mana hanya acara dengan lebih 50 peserta dikehendaki berbuat demikian.

MOH juga menggesa para individu yang belum lengkap divaksin dan baru pulih daripada jangkitan COVID-19 untuk mendapatkan satu dos vaksin mRNA sekurang-kurangnya tiga bulan selepas tarikh didiagnosis dengan jangkitan COVID-19.  

Sumber : CNA/NY/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan