'WElepak!' ajak belia bincang; pupuk minat terhadap seni dan budaya Melayu
Budaya 'lepak' lazimnya dianggap sebagai kegiatan yang membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.
SINGAPURA: Budaya 'lepak' lazimnya dianggap sebagai kegiatan yang membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.
Namun, inisiatif 'WElepak!' anjuran pertubuhan seni VARIASI Performing Arts merubah tanggapan negatif itu.
'WElepak!' adalah usaha terbaharu oleh pertubuhan seni itu untuk menggalak masyarakat, terutama golongan belia untuk bersembang bersama sambil membincangkan tentang isu-isu kesenian dan budaya.
Para peserta yang terdiri daripada 34 pemimpin pelajar dari badan pelajar, Kegiatan Ko-Kurikular (CCA), penggiat seni dan artis muda menyertai sesi di ruang Matchbox by Mothership pada Jumaat (7 Jun).
Mereka saling berkongsi pandangan tentang pembangunan seni dan budaya Melayu Singapura.
"Daripada segi sesi bicara sedemikian, kami dapat tahu cabaran-cabaran yang mereka lalui. Mungkin daripada segi bahan-bahan untuk memberitahu tentang seni dan warisan budaya kita. Adakah mereka lakukan ini betul ke tidak," kata Pengerusi Variasi, Raja Hamzah Raja Zulkifli.
(Facebook/Raja Hamzah)
Antara yang dikemukakan dalam sesi selama dua jam itu adalah bagaimana untuk menarik minat golongan muda serta cara-cara untuk menyemarakkan lagi dunia seni dan budaya Melayu tempatan.
Melalui perbincangan tersebut, ia diharap lebih ramai anak muda akan tampil untuk menyokong usaha-usaha kesenian.
"Apa yang mereka kemukakan adalah bagaimana mereka boleh menerapkan seni budaya ini terutamanya mengikut citarasa terkini, anak-anak muda kerana mereka juga ingin kekalkan seni tradisi lama atau warisan budaya nenek moyang kita terutama tadi dalam segi perbincangan," tambah Raja Hamzah.
Antara peserta yang meraih manfaat daripada sesi tersebut ialah mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Arfan Faisal.
Beliau teruja dapat bertukar-tukar pandangan dengan para peserta berbilang usia dan latar belakang.
"Saya bukan dari latar belakang seni. Tetapi saya tetap orang Melayu. Jadi saya dapat tahu daripada mereka apa masalah-masalah mereka yang mungkin mereka mengalami. Dengan itu saya boleh mungkin tolong berbincang apa yang kami boleh buat untuk lebih meriahkan, lebih membesarkan seni dan budaya di Singapura," kata Arfan.
Selain dapat membina rangkaian, sesi sedemikian juga kata Arfan, meningkatkan lagi minatnya dalam seni dan budaya Melayu.
"Pada masa dulu, saya tidak mahu jadi orang Melayu. Saya lebih suka budaya lain. Tetapi lama kelamaan bila saya dapat tahu, bila saya dapat fahami budaya dan seni Melayu saya, saya rasa ia amat menarik. Dengan itu saya ingin memberitahu semua, kalau boleh cuba untuk memahami warisan, seni dan lama kelamaan kita boleh jatuh cinta dengan budaya Melayu," tambahnya.
Turut berkongsi pandangan serupa ialah peserta dari Politeknik Nanyang, Nur Aleeya Mulyana.
"Kami harus memastikan budaya Melayu kita tidak berubah, yang asli dan kami tidak harus berubah mengikut peredaran dunia ini kerana kami mewarisi budaya Melayu daripada nenek moyang kita," ujarnya.
DANA S$600 UNTUK ANJUR PROGRAM SENI
VARIASI turut berkongsi usaha-usaha baharu untuk menggalak penglibatan lebih ramai belia dalam kegiatan kesenian.
Antaranya ialah dana 'ACE Seed Fund' berjumlah sehingga $600 yang boleh dimanfaatkan para pelajar dan kumpulan-kumpulan kecil ^untuk menganjurkan program-program seni dan masyarakat.
Sebuah lagi program dipanggil 'PasARTS' juga diumumkan bagi menggalak usaha-usaha keusahawanan sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.