Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'The Wedding Asia 2022' rancakkan kembali perniagaan syarikat khidmat perkahwinan

Apabila jumlah tetamu dihadkan bagi majlis-majlis perkahwinan akibat COVID-19, ramai mempelai yang memilih khidmat penstriman secara langsung atau 'livestream'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila jumlah tetamu dihadkan bagi majlis-majlis perkahwinan akibat COVID-19, ramai mempelai yang memilih khidmat penstriman secara langsung atau 'livestream'.

Itulah antara khidmat popular yang ditawarkan syarikat fotografi dan videografi Studio Five Weddings.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Jadi sesiapa yang tidak dapat datang ke majlis perkahwinan atau resepsi, mereka boleh dapat menyaksikannya secara online. Jadi sekurang-kurangnya mereka dapat rasakan seperti sebahagian daripada majlis tersebut," kata Cik Farhanah Nazura, seorang penerbit di syarikat tersebut.

Namun, dengan sehingga lebih 1,000 tetamu kini dibenarkan, syarikatnya menyaksikan permintaan sedemikian sudahpun berkurangan.

"Sebilangan mereka masih juga meminta khidmat penstriman secara langsung. Bergantung sama ada mereka ada saudara mara di Malaysia yang tidak boleh datang, mereka masih membuat penstriman secara langsung dengan kami," tambah Cik Farhanah.

Dengan situasi pandemik yang bertambah baik, syarikatnya lega kerana sudah boleh mengembalikan khidmat reruai foto atau 'photobooth' yang kembali popular dalam kalangan para pelanggan.

Ini satu petanda baik bagi perniagaan tersebut yang menyaksikan peningkatan selepas terjejas akibat pandemik. 

Ia dirancakkan lagi dengan adanya pameran pengantin 'The Wedding Asia 2022' yang kembali diadakan sejak pandemik melanda. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pada hari pertamanya sahaja, Cik Farhana sudah mendapat tempahan sebanyak 30 peratus daripada apa yang disasarkan.

"Dengan mengadakan pameran Wedding Asia ini kembali, kami sebenarnya rasa sangat gembira kerana dapat bersemuka dengan para pasangan dan mengenali mereka dengan lebih baik," jelasnya.

MUSLIM DELIGHTS KEKALKAN HARGA LAMA BAGI PAMERAN INI

Sentimen serupa turut dikongsi syarikat penyedia tempat majlis dan perkhidmatan perkahwinan, Muslim Delights.

Untuk hari pertama pameran sahaja, syarikat itu juga sudahpun mencapai sebanyak 30 peratus sasaran tempahannya.

"Acara 'The Wedding Asia' ini beri platform sehenti untuk bakal-bakal mempelai meninjau-ninjau dan lagi satu untuk peniaga-peniaga, ia memberikan pendedahan yang baik kerana orang datang. Saya rasa pendedahan itu akan lebih berbanding jika mereka kena pergi dari satu lokasi ke satu lokasi," kata Pengasasnya, Cik Hafidah Daud.

Selain wadah pemasaran yang baik, syarikat-syarikat khidmat perkahwinan juga menawarkan pelbagai pakej istimewa. 

Bagi Muslim Delights, mereka akan sertakan pakaian pengantin yang bernilai antara S$3,400 - S$3,800 dalam pakej tanpa kos tambahan dan mengekalkan harga pakej seperti sebelum pandemik. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Namun selepas pameran itu, pihaknya terpaksa menaikkan harga sebanyak 30 peratus untuk menampung kos-kos operasi yang meningkat.

"Ekspo kali ini adalah kali terakhir mereka (pelanggan) dapat harga yang amat rendah dari Muslim Delights. Selepas ini, dukacitanya, kami harus menaikkan harga sebab dah naik tinggi. 

"Satu lagi, kami akan menyerap GST 7 peratus kalau mereka menandatanganinya di ekspo sekarang," kata Cik Hafidah.

SEHINGGA 3,000 PENGUNJUNG SEHARI, LEBIH TINGGI BERBANDING SEBELUM PANDEMIK

Acara 'The Wedding Asia 2022' adalah pameran pengantin yang menampilkan lebih 150 gerai menawarkan segala khidmat dan keperluan di bawah satu bumbung.

Menurut penganjurnya, MegaXpress International Pte Ltd, pameran yang berlangsung selama tiga hari dari 16 hingga 18 Sept itu adalah usaha strategik untuk menampilkan para peniaga dalam sektor perkahwinan.

"Mereka adalah salah satu pemain industri kita yang terjejas oleh pandemik. Sebenarnya ekspo atau sesebuah pameran itu adalah wadah yang baik untuk mereka kongsikan produk mereka, perkhidmatan mereka. Jadi dengan memasuki pameran ini, mereka dapat menonjolkan lagi perkhidmatan mereka kepada pelanggan-pelanggan mereka," kata Pengurus Projek Kanan, Encik Mohammad Fadzlin Mohd Yusof. 

Menurut Encik Fadzlin, untuk hari pertamanya sahaja, sehingga 3,000 pengunjung dicatatkan - satu rekod berbanding pameran pengantin yang kali terakhir diadakan pada Januari 2020.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami menjangka lebih kurang 10,000 - 12,000 pengunjung untuk membanjiri ekspo kami untuk 3 hari ini. Kalau dibandingkan dengan pameran perkahwinan kami sebelum COVID-19, saya rasa ini adalah salah satu pameran yang boleh dikatakan berjaya," tambahnya.

MUDAH BUAT PERBANDINGAN - SEMUA DI SATU LOKASI

Antara pasangan yang mengalu-alukan penganjuran semula pameran itu ialah Encik Anson Ong dan Cik Nurul Fitriyanee Azmee. 

Mereka berhajat untuk mencari khidmat tempat, katering dan fotografi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Encik Ong berkata: "Berbanding membuat kajian untuk tiga aspek itu, kami dapat melihat dan langsung memilih kerana semuanya di sini. Kami tidak perlu pergi ke lokasi-lokasi berbeza untuk memilih."

Bagi pasangan Encik Andry Riandy dan Cik Noorazeelah Harith, mereka masih mahu meninjau-ninjau pelbagai pilihan yang ada, sebelum memutuskan untuk memilih sesebuah syarikat perkahwinan.

Namun, mereka mengutamakan tempat bagi majlis mereka terlebih dahulu yang dijadual berlangsung Jun depan.

"Memandangkan pandemik bertambah reda, kami merancang untuk mengadakan majlis dengan lebih 1,000 orang. Jadi kami perlu mendapatkan tempat dahulu sebelum membuat yang lain-lain," kata Encik Andry.

Di samping pameran barangan pengantin, acara itu turut menampilkan kehadiran artis-artis terkenal dari Malaysia seperti Siti Nordiana dan Tya Arifin yang turut sama menjual produk masing-masing di samping menghiburkan peminat.

Acara 'The Wedding Asia 2022' berlangsung di Dewan 5A Singapore Expo, 10 pagi hingga 10 malam Ahad ini (18 Sep).

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan