Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wawancara khas bersama Menteri Masagos Zulkifli jelang setahun perang Israel-Hamas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2024 09:23PM Dikemas Kini : 03 Oct 2024 06:34PM
SINGAPURA: Konflik di Timur Tengah mungkin akan terus berlarutan dan rakyat Singapura diharap dapat teruskan tekad dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada para mangsa.

Dalam wawancara khas DETIK bersama Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengimbas kembali satu tahun sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas dan berkongsi pandangannya tentang respons Singapura.

SOALAN: Buat ketika ini, perasaan sedih, hampa, pilu, marah pasti terasa di sanubari masyarakat, masyarakat Islam dan juga masyarakat dunia keseluruhannya tapi perasaan ini saya rasa wajar kerana kalau melihat daripada kemusnahan dan kematian besar-besaran bagi pihak Encik Masagos sendiri. Apa yang Encik Masagos lihat?

Setahun setelah peperangan ini bermula, saya sejak memegang jawatan sebagai pemimpin politik sejak 2006 telah mendapat banyak peluang untuk berinteraksi dengan kepimpinan di Palestin, di Tebing Barat dan dapat memahami bahawa rakyat Palestin sangat mendambakan keamanan dan mereka berusaha betul-betul supaya Huraian Dua Negara yang diiktiraf itu dapat dijalankan demi keamanan yang mereka dambakan. Satu yang saya juga teringat daripada dialog saya dengan PM Palestin bahawa perjuangan mereka bukanlah perjuangan agama. Malah, beliau memberitahu kepada saya, jangan menjadikan ia perjuangan keagamaan kerana di Palestin, ramai juga masyarakat, rakyat yang beragama Kristian mahupun lebih ramai lagi yang beragama Islam. Saya fikir mereka itu adalah perjuangan nasional, mendapatkan kembali tanah yang mereka telah hilang. Saya juga boleh bersimpati dengan rakyat Singapura, Melayu/Islam yang merasakan kesedihan, 'frustration' tentang keadaan di sana kerana bukan hanya melihat sesuatu yang begitu besar. Impaknya dari segi kehilangan nyawa, harta dan sebagainya. Sesuatu yang saya fikir tidak pernah berlaku dalam hayat hidup seorang Muslim dalam zaman ini tetapi juga merasakan bahawa ada tidak keadilan yang berlaku kepada rakyat Palestin punca daripada persengketaan dan kedegilan, kepimpinan kedua-dua pihak itu.

SOALAN: Kita sama-sama akur akan kesedihan yang kita rasakan bersama ini. Namun dalam melihat konflik yang berpanjangan ini, sentimen ini harus terkendali supaya jangan sampai ia memudaratkan masyarakat kita sendiri. Jadi bagaimana perspektif ini yang berlaku di luar supaya tidak dibawa ke ke sini ke Singapura?

Kita harus terima hakikatnya bahawa sesuatu yang musibah yg begitu besar yang berlaku pada masyarakat Muslim terutamanya di Palestin yang masyarakat kita lebih kurang tahu tentang sejarahnya dan ada mengaitkannya dengan kebebasan Al-Aqsa yang sekarang diduduki oleh tentera Israel atau kerajaan Israel. Jadi sekaligus itu mendatangkan kemarahan, kesedihan dan saya peka bahawa masyarakat mahu meluahkan rasa marah, rasa kesedihan mereka tapi kita beruntung kerana kepimpinan agama terutamanya memberikan pesanan bahawa kita sebagai masyarakat Muslim, masyarakat Islam adalah masyarakat yang berakhlak yang harus berfikir panjang. Kalau mencadangkan satu aksi harus tahu bahawa ada kesan kesan jangka masa panjang. Jadi setelah berlakunya keganasan tersebut, pada awal-awal lagi, kepimpinan agama kita terutama Mufti Dr Nazirudin telah memberikan nasihat supaya bersabar dan melakukan yang kita mampu untuk matlamat yang baik. Matlamat yang baik saya fikir adalah pertama sekali bagaimana melakukan sesuatu yang mendatangkan keamanan bukan persengketaan yang lebih besar lagi. Kedua bagaimana kita meringankan beban mangsa mangsa yang tidak bersalah dan ketiga sekurang-kurangnya kita dapat meluahkan secara kerohanian melalui doa-doa yang kita lakukan sepanjang solat terutama waktu solat Jumaat. Dengan ini telah menenangkan masyarakat kita memberikan kita peluang untuk meluaskan lagi perbincangan itu bahawa ini bukan hanya sesuatu yang kita lakukan atas kesabaran atau akhlak mulia Muslim tapi sekaligus ia memberi kesan yang baik kepada keharmonian antara masyarakat kita dan masyarakat lain.

SOALAN: Jadi, jelang setahun ini kita lihat masyarakat Melayu/Islam Singapura dan juga masyarakat bukan Melayu/Islam itu berganding bahu membantu untuk meringankan beban mangsa di Palestin dan juga kita lihat kesan positif daripada kerjasama ini. Bagaimana lanjutan kerana konflik ini akan berpanjangan?

Jelas sekali sesuatu yang kita lakukan itu harus ada usaha yang boleh terus menerus bukan hanya dari reaksi sementara kerana kesedihan yang begitu besar. Seperti dikatakan tadi, ini adalah sesuatu yang akan berlalu akan berlaku mungkin begitu lama sekali dan mangsa yang mengalami kesusahan, kecederaan saya fikir akan terus berlaku. Jadi sebab itulah kita tidak berhenti untuk menjalankan pungutan derma melalui RLAF dan meluaskannya juga dengan kerjasama dengan badan-badan lain. Menandakan bahawa dengan kesudian pertubuhan lain, termasuk juga urusan-urusan yang bukan Melayu/Islam sama-sama menyumbang kerana ini adalah masalah kemanusiaan yang kita harus bantu dokong meringankan. Bukan hanya hari ini tapi selama mereka memerlukan. Saya juga gembira kerana pihak SAF mahu juga membantu dengan kos yang begitu tinggi menurunkan payung terjun di laut Palestin yang kalau selalunya payung terjun tersebut itu digunakan untuk menurunkan kenderaan seperti kereta kebal begitu besar sekali dan mahal tapi mereka sanggup mengorbankannya. Tidak apalah kita dapat menyampaikan bantuan tersebut kepada mereka kepada rakyat Palestin yang memerlukan. Jadi, kita lihat korporat-korporat, individu, negara dan sekaligus masyarakat Melayu Islam berganding bahu dalam hal ini dan adalah sesuatu kita harus banggakan. Setakat ini, $10 juta dikumpul oleh masyarakat Melayu/Islam telah diberikan kepada pihak Palestin melalui Jordan melalui badan badan seperti UNRWA dan sebagainya dan juga $7 juta telah pun diagihkan dan dalam masa terdekat, ada juga makanan dan perubatan yang telah disalurkan melalui UAE di Cyprus.

SOALAN: Kalau kita lihat reaksi sepanjang setahun dan sentimen yang diluahkan, saya kira sudah agak mereda. Ramai orang akur bahawa perkara ini rumit, rumit diplomasi antarabangsa, rumit kerana geopolitik Timur Tengah dan bagaimana sebagai seorang menteri di sini di Singapura menjelaskan bahawa kepentingan Singapura, kedudukan Singapura dalam isu ini juga harus mengambil kira sentimen daripada masyarakat ini.

Kalau masyarakat kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang pilihan reaksi yang mereka buat, begitu juga negara kita yang begitu sebenarnya kecil harus selalu memikirkan kepentingan negara kita dalam memilih reaksi reaksi yang perlu diluahkan tapi saya juga bersyukur kerana yang penting yang saya lihat adalah negara kita memilih reaksi yang berdasarkan pada prinsip-prinsip yang luhur. Umpamanya, di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, negara Singapura memilih untuk sama-sama mengundi bantahan kepada aksi pemerintah Israel dalam pengeboman yang mendatangkan kemusnahan yang begitu besar dan meragut nyawa para rakyat Palestin yang tidak berdosa hingga menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan. Baru-baru ini juga Singapura telah memprotes bersama-sama negara lain di mana pendudukan haram rakyat Israel dibenarkan dibiarkan di Tebing Barat hingga meluaskan lagi sengketa daripada Carikan Gaza ke Tebing Barat. [00:17:54:09] Ini menunjukkan bahawa dari awal lagi dan sudah lama Singapura pertama sekali mengiktiraf bahawa penyelesaian dua negara itu adalah penyelesaian yang akan mendatang keamanan. Selagi kedua-dua pihak mahu berusaha untuk keamanan tersebut dan mengiktiraf satu sama lain juga untuk dan juga memberikan jaminan untuk keselamatan dan juga keamanan satu sama lain.

SOALAN: Jadi dalam rangka kunjungan ke Timur Tengah baru-baru ini, Encik Masagos juga bertemu dengan beberapa rakan yang sama-sama ingin membantu. Apakah ini membuahkan hasil?  Bagaimana ke depan bagi Singapura?

Itu memang satu matlamat saya ke Jordan supaya dapat temui rakan-rakan baharu dan rakan kerja baharu dan kita bertemu dengan satu organisasi, sebuah GLC NGO yang telah lama menjalankan operasi menyampaikan makanan dan bantuan dan juga perubatan ke Gaza, lama sebelum konflik ini membesar. Cuma waktu ini mereka agak kekurangan laluan yang dapat diberikan oleh pihak Israel tapi mereka ada jalan yang diberikan jaminan ini dapat sampai kepada mangsa yang memerlukan. Sebab itulah RLAF sedang memeterai perjanjian dengan mereka supaya mereka dapat memberi jaminan bahawa semua bantuan yang dihasilkan daripada dana yang kita kumpul itu akan sampai kepada mangsa yang memerlukan.

SOALAN: Sepanjang setahun ini kita lihat keadaan menjadi lebih sukar dan konflik ini nampaknya akan meluas dan juga berpanjangan. Mungkin ada yang mula merasakan keletihan. Jangan sampai ini akan menjadikan seseorang itu putus harapan dan melihat nasib masyarakat Palestin. Jadi bagaimana?

Peristiwa ini menguji ketabahan dan kesungguhan masyarakat kita. Setiap kali berlakunya persengketaan di Timur Tengah antara Israel dengan pihak Palestin, saya lihat yang lebih ramai memberikan bantuan adalah di Timur Tengah sendiri. Saya fikir ini kali pertama kita memberikan bantuan yang begitu besar tapi saya harap kerana persengketaan ini tidak akan terus berlarutan dalam beberapa tahun ini. Saya harap tekad masyarakat itu berterusan untuk membantu dengan apa rezeki lebihan yang kita ada sementara kita juga harus membangun keperluan masyarakat kita dan insya-Allah saya yakin masyarakat kita adalah masyarakat yang berbesar hati, pemurah dan tahu bahawa dana yang mereka hulurkan itu haruslah diberikan kepada badan yang dipercayai supaya sampai kepada mereka yang memerlukan dan saya juga harap kita tidak berputus asa.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan