Skip to main content

Singapura

Wawancara bersama Menteri Kanan Teo Chee Hean jelang persaraannya

Menteri Kanan Teo Chee Hean bulan lalu mengumumkan bahawa beliau akan bersara selepas 53 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, termasuk 33 tahun dalam bidang politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Wawancara bersama Menteri Kanan Teo Chee Hean jelang persaraannya

Menteri Kanan Teo Chee Hean bercakap kepada media pada 20 Mei 2025 menjelang persaraannya daripada arena politik. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Menteri Kanan Teo Chee Hean bulan lalu mengumumkan bahawa beliau akan bersara selepas 53 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, termasuk 33 tahun dalam bidang politik.

Dalam satu temu bual khas bersama media pada Selasa (20 Mei) menjelang persaraannya, Encik Teo berkata penyelarasan yang mantap dalam kalangan kementerian kekal penting sedang negara berdepan dengan isu rentas sektor seperti perubahan iklim dan keselamatan negara.

Tokoh berusia 70 tahun itu – yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara – turut mengimbas kembali perjalanan kerjayanya dalam bidang politik, termasuk tempoh di mana beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dari 1997 hingga 2003.

Sebelum menyertai politik pada 1992, beliau memainkan pelbagai peranan dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF) dan turut dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 1991.

Soalan: Sepanjang 33 tahun dalam bidang politik, apakah keputusan paling sukar yang pernah anda buat?

Jawapan: Tiada keputusan yang benar-benar mudah kerana kesemuanya perlu mengimbangi pelbagai faktor. Keputusan yang dibuat memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan kepentingan individu. Jadi anda perlu memahami dan mengambil kira perkara tersebut. Dan dalam politik Singapura, anda adalah Anggota Parlimen terlebih dahulu sebelum menjadi menteri, dan oleh itu anda tidak boleh hanya menggubal dasar tanpa memahami keperluan sebenar rakyat dan mempedulikan keperluan dan keprihatinan mereka.

Beberapa isu yang dapat kita tangani di Singapura, yang sukar ditangani oleh banyak negara lain adalah isu jangka panjang... jika kita tidak mengambil tindakan sekarang, atau tahun depan atau dalam dua tahun akan datang, kita akan kehilangan masa bertahun-tahun. Menjelang masa untuk berdepan dengan isu tersebut, kita mungkin sudah hilang empat atau lima tahun, kerana dasar seperti ini mengambil masa untuk membuahkan hasil dan capai tempoh kematangan. Pendidikan adalah salah satu contoh terbaik, dan saya menghabiskan sekitar enam hingga tujuh tahun dalam sektor pendidikan. Dan itu adalah antara tempoh yang paling memuaskan.

Antara perkara yang paling menggembirakan saya semasa di Kementerian Pendidikan adalah rombakan menyeluruh skim kerjaya guru. Selain gaji, kami juga perkenalkan laluan berbeza, laluan pengajaran, kepimpinan dan kepakaran, supaya kita dapat membangunkan guru secara lebih menyeluruh. Dalam proses itu juga, saya rasa kita berjaya meningkatkan status guru dalam masyarakat, dan itu adalah sangat penting untuk para guru dan sistem pendidikan kita secara menyeluruh.

Satu lagi pencapaian yang sangat saya banggakan ialah transformasi Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Idea asal datang daripada Dr Tay Eng Soon, yang mahu mengubah Lembaga Latihan Vokasional dan Industri (VITB) kepada ITE pasca-menengah. Jadi peralihan yang dilaksanakannya adalah sangat penting. Namun struktur pusat masih seperti sekolah vokasional menengah. Setiap satu dengan sekitar 1,500 pelajar, dan terdapat 10 hingga 12 pusat di seluruh Singapura. Jadi, kami membuat keputusan untuk membina kampus-kampus ITE dan memperkenalkan pendekatan pendidikan ITE yang berbeza bagi para pelajar.

Jadi, setiap kali saya melawat ITE Tengah, Timur atau Barat, saya rasa sangat gembira melihat pelajar menikmati kemudahan yang tersdia, yang membina harapan masa depan mereka. Dan itu sangat penting. Semua orang ada peluang.

Soalan: Dengan pengalaman luas anda yang merentasi pelbagai kementerian, bagaimana ia membentuk pandangan atau pendekatan anda terhadap tadbir urus dan kepimpinan?

Jawapan: Sebahagian daripadanya datang bukan sahaja daripada pengalaman dalam kementerian, tetapi juga daripada pengalaman saya sebelum ini dalam Tentera Laut. Ia merupakan sebuah organisasi yang sangat berpasukan. Jadi, sesetengah orang beranggapan bahawa apabila seseorang datang daripada angkatan tentera, mereka hanya tahu untuk memberi arahan dan semuanya akan dilaksanakan.

Ia bukan sedemikian dalam angkatan tentera kita kerana kita mempunyai angkatan tentera Perkhidmatan Negara dan juga angkatan simpanan ORNS (Perkhidmatan Negara sedia beroperasi). Anda tidak boleh sekadar mengarahkan meraka. Anda perlu bekerjasama, libatkan mereka dalam proses yang diperlukan, dan banyak meyakinkan mereka agar sesuatu dapat dilaksanakan, terutamanya dengan anggota kerahan – mereka mungkin lebih tua daripada anda, jadi anda perlu benar-benar bekerjasama dengan mereka. Terdapat banyak kemahiran hubungan sesama manusia dan pembinaan pasukan kepimpinan yang diperlukan.

Inilah antara ciri-ciri yang membezakan angkatan tentera kita dengan angkatan tentera profesional. Dan sebab perkara itu penting dalam ketenteraan adalah kerana anda perlu lakukan semua ini untuk memastikan kita terus mempunyai angkatan tentera yang kukuh serta warga Singapura yang komited kepada Perkhidmatan Negara dan pengerahan. Jika anda memperlakukan orang dengan buruk, sokongan terhadap Perkhidmatan Negara akan runtuh dengan serta-merta. Kita boleh lihat hal itu berlaku di sesetengah negara. Jadi perkara ini sangat penting. Dan apabila kita lihat orang yang keluar daripada angkatan tentera dan memasuki bidang lain, inilah antara perkara yang mereka bawa bersama mereka.

Pendekatan saya sentiasa untuk cuba memahami situasi, dengarkan apa yang mahu disampaikan orang lain, dan turun ke peringkat paling bawah, kepada individu terakhir yang menjalankan sesuatu perkhidmatan, dan fahami apa yang sedang dia lakukan, kerana jika anda tidak bantu dia melaksanakan tugas, kerja itu tidak akan selesai.

Contohnya ketika saya di MHA (Kementerian Ehwal Dalam Negeri), saya sangat mengambil berat tentang jenis kasut yang dipakai oleh para pegawai … Ini mungkin perkara asas, tetapi sangat penting, mereka perlu selesa kerana banyak masa dihabiskan berdiri. Alat komunikasi mereka, beban yang mereka perlu bawa, semua kelengkapan yang perlu dibawa, termasuk kamera badan yang dipakai – adakah ia akan menjadi terlalu panas dan menyebabkan tekanan haba? Perkara-perkara seperti ini sangat penting bagi individu di lapangan kerana ia membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih baik.

Jadi anda perlu faham cabaran yang mereka hadapi, dan jika anda boleh bantu mereka jalankan tugas dengan lebih baik, mereka akan lakukannya dengan lebih baik. Ini antara perkara yang saya cuba fahami dengan lebih mendalam. Saya lakukan sedemikian dalam SAF, dan juga bersama para guru.

Jadi, antara perkara yang paling menggembirakan saya ialah apabila saya dapat sediakan bilik guru yang sesuai, lengkap dengan ruang kerja masing-masing. Dahulu mereka berkongsi meja yang dipenuhi (dengan) timbunan barangan. Anda berikan mereka persekitaran kerja yang lebih baik.

Soalan: Adakah anda menggunakan pendekatan yang sama apabila diminta menangani isu-isu sensitif sepanjang tahun-tahun lalu, sama ada isu melibatkan Oxley Road atau insiden terbaharu berkaitan pendedahan nombor NRIC oleh BizFile?

Jawapan: Itu merupakan kategori isu yang berbeza sama sekali. Anda sedang membandingkan antara cara untuk menerajui sesebuah organisasi dengan cara bagi menangani isu-isu tertentu yang lain.

Isu-isu seperti ini, dari semasa ke semasa, PM (Perdana Menteri) - PM Hsien Loong – dan kemudiannya PM Lawrence (Wong), meminta saya menangani beberapa isu tersebut, kerana mereka merasakan bahawa saya boleh melihat perkara tersebut secara objektif, dan saya akan menanganinya dengan tegas tetapi adil … Jadi saya cuba lakukan yang terbaik, dan itu penting, kerana ia membentuk sebahagian daripada ketelusan dalam sesebuah organisasi.

Salah satu perkara paling penting dalam pemerintah adalah integriti dan kepercayaan rakyat bahawa pemerintah melakukan perkara yang betul. Maka, jika ada sesuatu berjalan dengan tidak betul, ia mesti ditangani.

Dan anda tahu, sebagai anggota parlimen juga – apabila kita semua dipilih masuk ke parlimen, perkara paling penting ialah kita jujur antara satu sama lain. Jika kita mahu berbahas, perbahasan itu mestilah berasaskan kebenaran dan kejujuran. Itu sangat penting, kerana jika tidak, apakah asas kepada perbahasan itu? Itulah sebabnya kebenaran, kejujuran dan integriti dalam parlimen apabila kita menyatakan sesuatu antara satu sama lain menjadi sangat penting.

Soalan: Berdasarkan pengalaman anda sendiri sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, apakah pandangan anda tentang kepentingan peranan tersebut pada masa hadapan? Dan adakah anda berfikir bahawa pasukan 4G bersedia untuk memikul tanggungjawab seperti itu?

Jawapan: Saya rasa jawapan kepada kedua-duanya adalah ya. Penyelarasan dalam kalangan kementerian sentiasa diperlukan, dan dalam sesetengah kes, keperluan itu lebih mendesak berbanding yang lain, kerana tiada isu yang benar-benar bersifat tunggal dan boleh ditangani oleh satu kementerian sahaja. Isu-isu yang ada biasanya merentasi beberapa bidang.

Contohnya, perumahan, kita mungkin anggap itu sebagai isu di bawah Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tetapi sebenarnya ia juga melibatkan perpecahan keluarga, di mana kedua-dua pihak yang berpisah memerlukan tempat tinggal. Itu merupakan isu sosial. Ia bukan sekadar isu perumahan. Dan jika ibu bapa dan anak tinggal bersama, kemudian berlaku pertelingkahan dan mereka mahu tinggal secara berasingan, itu juga menjadi isu sosial. Ia bukan sekadar isu sosial sahaja. Jadi, tiada sebarang isu yang benar-benar merupakan isu tunggal, yang melibatkan hanya satu kementerian atau satu agensi sahaja, dan bagi kebanyakan kes, kerjasama diperlukan.

Justeru, salah satu perkara yang saya sering perjuangkan adalah peranan penyelarasan yang lebih kukuh dan berkesan di Pejabat Perdana Menteri (PMO). Maka kita sekarang ada Kumpulan Strategi PMO, yang menghimpunkan beberapa isu utama rentas sektor yang perlu ditangani, seperti perubahan iklim, populasi – sebagai beberapa contoh.

Selain itu, kita juga ada keselamatan negara. Kita ada sekretariat keselamatan negara yang menangani isu-isu ini secara lebih menyeluruh dan membantu kementerian serta agensi melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Peranan tersebut memang diperlukan. Cara ia dilaksanakan - boleh berbeza-beza bergantung pada masa, tahap kepentingan setiap isu, dan juga individu yang melaksanakannya.

Soalan: Apabila anda bersara selepas lima dekad dalam perkhidmatan awam, apakah satu pengajaran utama yang anda pelajari dan ingin anda kongsikan dengan barisan pemimpin baharu ini?

Jawapan: Perpaduan adalah salah satu perkara paling penting – bekerjasama, itu kuncinya. Dan ini merupakan salah satu ciri yang kita miliki di Singapura, bekerjasama sebagai Kabinet, bekerjasama sebagai satu pasukan parlimen, bekerjasama dalam perkhidmatan awam, dan bekerjasama sebagai sebuah negara. Ini adalah kekuatan teras yang kita miliki. Ia adalah satu kelebihan sebagai negara kecil, dan inilah kekuatan utama yang membolehkan kita menghadapi dunia dengan yakin. Maksud saya, jika kita asyik bertengkar sesama sendiri pada setiap waktu, dari mana kita mahu cari tenaga untuk benar-benar meningkatkan kehidupan rakyat? Dan bagaimana kita mahu berdepan dengan dunia?

COVID-19 merupakan contoh yang sangat menarik. Kita sebenarnya menggunakan apa yang saya sifatkan sebagai tiga jenis “rizab”.

Kita sering fikir tentang rizab kewangan kita. Kita ada lima belanjawan. Timbalan Perdana Menteri (DPM) Heng Swee Keat, selaku Menteri Kewangan ketika itu, menggubal lima belanjawan dalam tempoh kira-kira setahun, dan kita berjaya menyokong rakyat Singapura, syarikat-syarikat, perniagaan kecil dan pekerja bebas menempuhi tempoh yang sangat kritikal itu. Dan kita melakukannya tanpa berhutang. Ia amat mengagumkan. Banyak negara lain juga melakukannya, tetapi akhirnya menanggung hutang yang jauh lebih besar. Dan kini kita lihat banyak negara yang sedang menghadapi kesan tersebut. Jadi, itu satu jenis rizab, iaitu rizab kewangan. Ia memang mudah untuk dibelanjakan, dan anda boleh terbabit dalam perang bidaan untuk menunjukkan siapa lebih bermurah hati untuk membelanjakan rizab. Tetapi itu sesuatu yang sangat berbahaya, dan sebab itulah pemerintah meletakkan kawalan tertentu, kawalan kendiri, dari segi bagaimana rizab itu boleh digunakan kerana ia memang sesuatu yang menggoda. Dan sudah tentu, walaupun anda mempunyai dua kunci, anda masih boleh membukanya, tetapi ia adalah sedikit lebih sukar untuk dilakukan. Jadi itulah salah satu jenis rizab.

Rizab yang lain sebenarnya terletak pada keupayaan organisasi kita. Semasa kita berdepan COVID, kita bergantung kepada syarikat, masyarakat sivil, perkhidmatan awam. Kita sangat bergantung kepada Persatuan Rakyat (PA) dan rangkaiannya dalam komuniti. Dan kita juga bergantung kepada apa yang kita anggap sebagai rizab kita – SAF dan Home Team, dan kita dapat bekerjasama dengan amat berkesan.

Satu lagi rizab yang kita manfaatkan adalah rizab sosial, iaitu semangat kemasyarakatan dimana rakyat saling menjaga antara satu sama lain. Ini adalah hasil usaha, seperti yang saya katakan, yang dibina oleh Persatuan Rakyat. Ia adalah satu rangkaian yang sangat berkesan dan banyak membantu rakyat. Kita edarkan pelitup muka, kita anjurkan latihan vaksinasi besar-besaran. Kita hantarkan makanan kepada mereka yang dikuarantin di rumah, tinggal sendirian, termasuk warga emas, dan kita saling menyokong satu sama lain.

Jadi apabila kita bercakap tentang rizab, inilah rizab yang telah kita bina sepanjang bertahun-tahun, dan inilah perkara yang harus kita terus perkukuhkan, bukan diperlekeh atau diabaikan. Ia amat penting bagi kita, dan ia menunjukkan bagaimana kita mampu mengharungi COVID bersama-sama.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita