Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Water BenderSg sasar kumpul lebih $30,000 sediakan air bersih kepada pelarian, penduduk miskin

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebuah pertubuhan kemanusiaan yang berdaftar di Singapura sedang mengumpul dana untuk membantu para penduduk miskin di Yaman dan Palestin serta pelarian yang terjejas oleh konflik di Myanmar dan Ukraine.

Water BenderSg menyasarkan kutipan dana sebanyak S$30,000 untuk menyediakan air minum yang bersih kepada para pelarian dan penduduk miskin di keempat-empat tempat itu.

Water BenderSg adalah sebuah pertubuhan bukan meraih untung yang berdaftar di Singapura. Ia mengumpul dana secara online melalui sumbangan ihsan orang ramai atau "crowdfunding" untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian dan penduduk miskin yang tidak mempunyai akses kepada air bersih.

Sewaktu projek pertama pertubuhan itu dijalankan pada Ramadan tahun lalu, ia berjaya mengumpul dana hampir S$35,000.

<p>Gambar:&nbsp;The WaterbenderSg</p>
<p>Gambar: The WaterbenderSg</p>

"Kami membantu sekitar 3,000 pelarian dan penduduk kampung. 2,000 daripadanya berada di Yaman dan Gaza, Palestin, manakala baki 1,000 tinggal di kampung luar bandar di Kemboja serta Bangladesh," dedah pengasas Water BenderSg Ismail Weiliang.

<p>Gambar:&nbsp;Rosli</p>

Encik Ismail, 28 tahun, adalah seorang jurutera awam yang terlibat dalam projek-projek daya tahan air menerusi huraian digital, inovatif dan mampan untuk memenuhi cabaran kritikal keselamatan air serta risiko banjir di Asia.

Tahun ini, pertubuhan itu menetapkan sasaran untuk mengumpul sebanyak S$30,000.

Sungguhpun demikian, beliau berharap kutipan dana tahun ini akan menjangkaui $$35,000 yang dikumpulkan pada tahun lalu.

Sumbangan dana itu akan diperuntukkan bagi membekalkan air minum yang bersih kepada kira-kira 3,000 pelarian serta penduduk miskin di Myanmar, Yaman, Palestin dan juga pelarian konflik di Ukraine.

Untuk projek kali ini, Water BenderSg bekerjasama dengan badan-badan kemanusiaan seperti Persatuan Palang Merah SIngapura, Wateroam, Global Ehsan Relief Singapore dan Food for Change Singapore.

Menurut Encik Ismail, jenis bantuan yang dihulurkan bergantung kepada cabaran logistik serta tahap keselamatan di tempat-tempat tersebut.

<p>Gambar:&nbsp;The WaterbenderSg</p>

"Setiap negara mempunyai keadaan yang berbeza-beza. Seperti di Gaza, Palestin, misalnya, yang dikenakan sekatan bantuan kemanusiaan. Bekalan tenaganya juga tidak konsisten. Maka itu, trak-trak air yang menghantar masuk air bersih tidak akan dapat dilaksanakan. Pam air pula tidak mencukupi."

"Cara terbaik adalah dengan menyediakan loji penyulingan air yang diletakkan di tempat-tempat selamat seperti masjid. Di Yaman, kami menghantar air menggunakan trak air dan menyediakan pam air untuk kawasan-kawasan pedalaman. Kami akan menghantar air botol ke Ukraine," jelas beliau.

Orang ramai boleh melungsuri lelaman www.thewaterbender.sg untuk menghulurkan sumbangan derma serta mendapatkan maklumat lanjut tentang inisiatif tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa