Skip to main content

Singapura

Waspada! Penipuan pancingan data libatkan iklan bagasi baharu guna logo SIA, kata polis

Anggaran Waktu Membaca:
Waspada! Penipuan pancingan data libatkan iklan bagasi baharu guna logo SIA, kata polis

Gambar: SPF

Diterbitkan : 07 Dec 2023 11:51PM Dikemas Kini : 07 Dec 2023 11:56PM
SINGAPURA: Polis pada Khamis (7 Dis) mengeluarkan amaran mengenai penipuan pancingan data baharu, melibatkan iklan Facebook yang menawarkan bagasi murah.

Iklan atau hantaran Facebook itu menawarkan bagasi pada harga serendah S$2 daripada "Singapore Airlines Travel". Akaun tersebut bahkan, menggunakan logo syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) sebagai gambar profil mereka.

Sejak November, 14 orang telah menjadi mangsa penipuan sedemikian, dengan sekurang-kurangnya S$799 hangus.

Selepas mengklik iklan atau hantaran Facebook itu untuk membeli bagasi tersebut, mangsa akan dirujuk ke laman pancingan data dan diminta memberikan butiran mereka, seperti nama, alamat emel dan butiran kad pembayaran mereka.

Butiran kad kredit mereka kemudian akan disalahgunakan oleh penipu.

"Mangsa akan hanya menyedari mereka ditipu selepas dimaklumkan mengenainya atau mendapati terdapat transaksi yang tidak disahkan dalam kenyataan kad mereka," kata polis.

Polis menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan aplikasi ScamShield dan pengesahan dua faktor bagi transaksi bank.

"Perhatikan tanda-tanda bagi laman pancingan data dan jika tawaran itu terlalu bagus untuk dipercayai, berkemungkinan memang tidak boleh dipercayai, jadi semak dengan syarikat di laman rasminya jika tawaran sedemikian tersedia," kata polis.

"Jika berasa ragu, jangan kongsi maklumat peribadi dan butiran kad pembayaran anda dengan sesiapa."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA menyatakan pihaknya sedia maklum mengenai sebuah akaun Facebook, yang menyamar sebagai syarikat penerbangan itu dan menerbitkan iklan palsu.

Ia menambah bahawa halaman Facebook itu telah dipadamkan.

Jurucakap itu menegaskan bahawa laman serta akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai SIA, akan dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk dipadamkan.

SIA sudahpun memuat naik makluman mengenai kes penipuan itu di laman Facebooknya.

Jurucakap tersebut menasihatkan pelanggan supaya hanya menggunakan laman dan aplikasi mudah alih SIA yang disahkan untuk transaksi yang berkaitan dengan syarikat penerbangan itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita