Waspada campur tangan asing cuba goyah sistem keadilan S'pura

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Rabu (9 Mac)
SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim pada Rabu (9 Mac) memberi amaran terhadap campur tangan asing oleh negara-negara dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) lain yang cuba untuk merapuhkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Singapura terhadap sistem keadilan jenayah.
Beliau memberi respons kepada soalan yang diajukan oleh Encik Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) di Parlimen mengenai permohonan mahkamah yang difailkan pada Ogos tahun lalu oleh 17 banduan yang dijatuhi hukuman mati.
Permohonan itu meminta pengesahan bahawa Peguam Negara telah bertindak "sewenang-wenangnya", mendiskriminasikan mereka sebagai "individu beretnik Melayu" dan "menjangkaui bidang kuasanya serta bertindak menyalahi undang-undang", kata Dr Faishal.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka pada Disember selepas mendapati dakwaan-dakwaan itu "tidak berasas" dan bahawa permohonan tersebut adalah satu "penyalahgunaan proses mahkamah".
Banduan-banduan itu tidak membuat rayuan terhadap penolakan permohonan mereka.
RENTETAN PERISTIWA
Apabila permohonan tersebut difailkan, peguam plaintif memuat naik ke media sosial dan memberikan penghargaan kepada "peguam England" atas pertolongan beliau dalam permohonan itu, kata Dr Faishal.
Beliau menarik perhatian peguam England itu dikatakan mempunyai kaitan dengan NGO yang berpangkalan di London.
Sebelum kes itu dibicarakan di mahkamah, butiran afidavit plaintif sudah dimuat naik secara online di sebuah laman berita Malaysia bahkan sebelum ia dikemukakan sebagai bukti di mahkamah, kata Dr Faishal.
Ini adalah pencabulan terhadap arahan amalan Mahkamah Agung, tambah beliau.
"Afidavit itu membuat tuduhan palsu sepenuhnya tetapi bersifat sensasi, direka untuk menarik perhatian. Biasanya, jika perkara itu berterusan, dakwaan tersebut akan terbukti palsu. Namun, afidavit dimuatnaikkan sebelum itu," kata Dr Faishal.
“Seluruh rentetan peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku; meletakkan dakwaan palsu dalam afidavit dan kemudian membocorkannya ke luar negara, nampaknya merupakan satu percubaan untuk melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah, membangkitkan perasaan tidak disenangi dalam masyarakat berbilang kaum kita dengan menggunakan orang asing.”
"Kami harus memupuk kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Singapura mengenai campur tangan asing," tekan Dr Faishal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.