Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wartawan asing didenda S$6,500; kerja bebas tanpa pas kerja sah

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan asing didenda S$6,500; kerja bebas tanpa pas kerja sah

Gambar: TODAY/Raj Nadarajan

Diterbitkan : 18 May 2022 02:25PM Dikemas Kini : 18 May 2022 02:30PM

SINGAPURA: Seorang wartawan asing didenda S$6,500 pada Selasa (17 Mei) kerana melakukan kerja bebas tanpa pas kerja yang sah.

Calum Arthur Alistair Stuart, 36 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA).

Satu lagi tuduhan serupa turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Dua pihak yang mendapatkan khidmatnya - Refinitiv Asia dan karyawan media, Muhammad Firdianshah Salimat, masing-masing didenda S$5,500 dan S$4,000.

Stuart, warga Britain, mengahwini seorang rakyat Singapura pada 2014 dan memegang pas lawatan jangka panjang semasa melakukan kesalahan tersebut pada 2015 dan 2016.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerima maklumat mengenai kesalahan Stuart, yang dipercayai bekerja secara haram, pada September 2019 lalu menjalankan siasatan.

Stuart mengaku melakukan kerja bebas penerbitan televisyen dan video untuk Refinitiv - yang dikenali sebagai Thomson Reuters ketika itu - sekalipun dia tidak memegang pas kerja yang sah.

Dia dibayar sekitar $30,000 bagi kerja-kerja yang dilakukan sepanjang tempoh lebih enam bulan dari 25 November 2015 sehingga 8 Julai 2016, kecuali untuk tempoh tiga minggu pada Jun 2016.

Mahkamah diberitahu bahawa Stuart ditawarkan peranan sebagai penolong penerbit dengan berita perniagaan Refinitiv pada Ogos 2015. Dia bersetuju dengan tawaran itu tetapi tidak menandatangani kontrak kerja tersebut.

Syarikat berkenaan kemudian memohon pas pekerjaan bagi pihak Stuart, namun permohonan tersebut ditolak pada 9 September 2015.

Syarikat itu selanjutnya memohon surat persetujuan untuk membolehkan Stuart bekerja dengan syarikat tersebut pada 23 November 2015 dan permohonan itu ditolak pada 23 Disember 2015.

Sekitar 25 November 2015, sementara menunggu permohonan itu diluluskan, Refinitiv menawarkan kerja bebas kepada Stuart dengan kadar S$4,500 sebulan.

Stuart menerima tawaran tersebut sekalipun dia tahu bahawa dia dilarang daripada mendapatkan sebarang perkerjaan tanpa pas kerja yang sah.

Pihak pendakwa mengusulkan denda antara S$7,000 hingga S$8,000, sambil berhujah bahawa walaupun Stuart tidak mengambil langkah untuk bekerja secara haram, dia menerima tawaran itu hanya dua hari selepas syarikat itu mengemukakan permohonan tersebut.

Stuart juga meraih keuntungan "ketara" daripada pekerjaan haram itu, tegas pegawai pendakwa Kementerian Tenaga Manusia, Houston Johannus.

Peguam bela Stuart, Remy Choo berkata kesalahan utama anak guamnya adalah kegagalannya untuk memeriksa status permohonannya dan peguam bela itu dan tidak bersetuju jumlah yang diperolehi oleh anak guamnya ada kaitan dengan hukuman terhadapnya.

Bagi pihak Refinitiv, syarikat itu mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan Stuart untuk melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa pas kerja yang sah.

Firdianshah, 30 tahun, turut mengaku bersalah atas satu tuduhan berpakat dengan Stuart untuk menggajikan warga asing tanpa pas kerja yang sah.

Hukuman bagi warga asing yang bekerja bebas tanpa pas kerja yang sah dan bersubahat untuk melakukan kesalahan tersebut adalah hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama.

Hukuman penjara itu akan dinaikkan antara sebulan dengan dua tahun dan denda sehingga S$20,00 bagi pesalah berulang.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan