Warong Pak Sapari, Bahrakath Mutton Soup diiktiraf Bib Gourmand Michelin 2023

Gerai makanan 'Selamat Datang Warong Pak Sapari' dan 'Bahrakath Mutton Soup' terletak di Pusat Makanan Adam Road. (Gambar: Facebook/Warong Pak Sapari, chefquak.com)
BERITAmediacorp: Gerai makanan 'Warong Pak Sapari' dan 'Bahrakath Mutton Soup' adalah antara 19 tempat makanan baru yang diiktiraf dalam senarai Bib Gourmand Panduan Michelin 2023.
Senarai Bib Gourmand adalah panduan dari Perancis, yang mengiktiraf para penjaja dan restoran yang menawarkan makanan bermutu pada harga berpatutan.
Tahun ini, sebanyak 79 tempat makanan disenaraikan dalam Bib Gourmand Panduan Michelin Singapura, naik dari 67 tempat makanan pada 2022.
Demikian menurut kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Khamis (15 Jun).
Pengarah Antarabangsa Panduan Michelin, Encik Gwendal Poullennec berkata: "Pasukan pemeriksaan telah menyaksikan bilangan memberangsangkan gerai penjaja yang menawarkan pelbagai hidangan lazat dari pelbagai kaum, masing-masing dengan resipi mereka tersendiri."
"Selain rasanya, gerai-gerai ini juga merupakan warisan budaya, yang membantu mengukuhkan kedudukan sajian Singapura kepada para penduduk tempatan dan pelancong," tambah beliau.
PENGIKTIRAFAN SULUNG BIB GOURMAND BAGI GERAI ' WARONG PAK SAPARI'
Gerai Warong Pak Sapari merupakan salah satu daripada 79 gerai penjaja diiktiraf dalam senarai yang berprestij itu baru-baru ini.
Terletak di Pusat Makanan Adam Road, gerai tersebut dikenali dengan hidangan mi soto serta mi rebus.
Menurut kenyataan media, hidangan di gerai tersebut menerapkan rasa sajian asli Malaysia.
Perniagaan keluarga itu kini dikendalikan oleh pemilik generasi ketiga.
4 RESTORAN HALAL DISENARAIKAN DALAM PANDUAN MICHELIN TAHUN INI
Satu lagi gerai yang juga pertama kali disertakan dalam senarai tahun ini ialah Bahrakath Mutton Soup, yang juga terletak di Pusat Makanan Adam Road.
Ia terkenal dengan hidangan sup kambing, yang mula dijual sejak 1973.
Selain kedua-dua gerai di pusat penjaja itu, restoran Hjh Maimunah dan Bismillah Briyani turut disenaraikan dalam Bib Gourmand sekali lagi buat tahun ini, yang mana kedua-duanya pernah disertakan dalam senarai berprestij tersebut sebelum ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.