Skip to main content

Singapura

Warong Nasi Pariaman "mahu rehat dahulu", pelanggan beratur dari 6.30 pagi sebelum labuhkan tirai

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tepat jam 8 pagi (31 Jan), pintu utama Warong Nasi Pariaman di 738 North Bridge Road dibuka buat kali terakhirnya.

Dalam masa kurang lima jam, kesemua lauk habis terjual dengan barisan beratur panjang.

Menjangkakan barisan beratur panjang pada hari terakhir operasinya, lebih banyak lauk-pauk disediakan.
Related article image
(Gambar: Fatyn Abdul Samad)
PELANGGAN BERATUR SEJAK JAM 6.30 PAGI

Bagi merebut peluang untuk dapatkan hidangan di kedai tersebut pada hari terakhirnya, para pelanggan mula beratur seawal jam 6.30 pagi lagi.

Antara yang terawal datang ialah para pelanggan tetapnya.

"Saya dah mula beratur sejak 6.30 pagi dan saya orang yang pertamalah tadi. Sebab banyak kenangan di Warong Nasi Pariaman ini sejak saya kecil," kongsi pelanggan tetap Encik Widi Herman.

"Ibu serta arwah bapa saya membawa kami ke sini dan masa mereka kecil juga, mereka dibawa oleh arwah datuk dan nenek saya," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
Ada juga penduduk asal Kampung Gelam seperti Encik Fairuz Malsa yang kembali untuk menghidupkan nostalgia.

"Saya membesar di sini, jadi hampir setiap hari lepas habis sekolah, nenek saya akan bagi saya sedikit duit, dan saya akan jalan ke sini dan beli makanan, lepas itu bungkus balik makanan. Jadi hampir setiap hari macam itu sampai saya besar dan mula bekerja. Lepas saya sudah berkeluarga, kami akan datang setiap minggu, kadang-kadang sebulan sekali, dua kali sebulan dan makan di sini," kata Encik Fairuz.

Beliau datang lebih awal hari ini supaya tidak terlepas untuk merasakan hidangan kegemarannya.

"Saya agak kecewa kerana dua hari lepas, saya datang ke sini saya dan beratur selama dua jam setengah. Bila sampai giliran saya di depan gerai itu, saya ingin membuat pesanan tetapi semuanya sudah habis. Jadi sedih, hampa," kongsi Encik Fairuz kepada wartawan Hidir Ezat.

Kedai yang telah diasaskan sejak 1948 itu telah menjamu pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan generasi.

"Saya pernah makan di sini dengan datuk dan nenek saya. Jadi kami selalu makan di sini. Walaupun tempat ini tidaklah besar sangat dan tidak berhawa dingin, kami tetap menikmati masa kami di sini," kongsi Harris Danial.

"Saya datang sini sebenarnya sekali sebulan untuk beli ayam bakar. Ibu bapa saya biasanya akan beli lauk dan bawa balik, dan kami akan masak nasi di rumah dan menikmati masa di rumah bersama sebagai satu keluarga. Hari ini kami cuma nak dapatkannya buat kali terakhir sebelum ia ditutup,” tambahnya lagi.

“MAHU BEREHAT DULU”

Dengan sambutan luar biasa sejak pengumuman penutupannya, ramai yang tertanya-tanya jika ada rancangan untuk pembukaan semula kedai makan tersebut di tempat lain.
Related article image
Pemilik generasi kedua Warong Nasi Pariaman, Encik Abdul Munaf Isrin. (Gambar: Hidir Ezat)
Ditanya mengenai rancangan seterusnya, Encik Munaf berkata, “Buat masa ini, saya ingin berehat dulu dan lihat sokongan pelanggan kami. Kalau diberi peluang, kita akan sambung warisan pada masa hadapan.”

Sebelum ini, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim telah meminta rakan-rakan daripada pelbagai agensi Pemerintah untuk menghubungi pemilik restoran berkenaan bagi memahami bagaimana mereka boleh dibantu dalam merancang langkah seterusnya.

Dalam satu kenyataan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) siang tadi (31 Jan), agensi-agensi berkaitan telah menghubungi ahli keluarga Warong Nasi Pariaman untuk meneroka pelbagai pilihan sokongan bagi memberikan bantuan yang lebih besar.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita