Warong Nasi Pariaman gulung tikar 31 Jan
Pengumuman itu dibuat menerusi catatan media sosialnya pada Selasa (20 Jan).
Menurut catatan itu, hari terakhir perniagaannya ialah pada 31 Januari ini sebelum restoran itu ditutup buat selamanya.
Catatan di akaun Threads 'pariamannasipadang' berbunyi: "Assalamualaikum semua. Dengan rasa terima kasih yang tidak terhingga, kami ingin maklumkan bahawa Warong Nasi Pariaman akan berhenti berniaga pada 31 Januari 2026. Terima kasih atas sokongan, kasih sayang dan kenangan manis bersama kami selama ini."
Restoran itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebab mengapa perniagaannya dihentikan.
BERITA Mediacorp sudah menghubungi pihak restoran untuk mendapatkan komen
LATAR BELAKANG RINGKAS WARONG PARIAMAN
Warong Nasi Pariaman dipercayai adalah gerai nasi padang paling lama bertahan di Singapura. Ia merupakan perniagaan keluarga yang sudah bertapak di sini sejak 1948.
Warong Nasi Pariaman - iaitu nama sebuah bandar di Sumatra Barat - bermula sebagai sebuah warong di sudut Kandahar Street oleh seorang lelaki bernama Isrin.
Warong itu kekal di lokasi sama namun Isrin sudah bersara dan perniagaannya diambil alih oleh isteri, Rosnah, pada tahun 1992 dan anak-anaknya, menurut Perpustakaan Negara (NLB).
Resepi keluarga mereka dikatakan tidak pernah dikongsi dengan orang lain, sekali gus memelihara keaslian rasa hidangan.
Pada 1998, generasi kedua keluarga Isrin menyambung legasi warong itu.
Warong Nasi Pariaman tidak putus-putus dikunjungi pelanggan setiap hari, terutama sekali waktu solat Jumaat dengan lokasinya yang terletak bersebelahan Masjid Sultan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.