Warga tua 65 tahun dilanggar e-skuter, penunggang larikan diri
Seorang wanita warga tua mengalami luka pada bahagian hidungnya dan lebam-lebam pada bahagian pinggul dan kaki selepas dilanggar oleh penunggang e-skuter, menurut anak perempuannya yang merayu saksi kemalangan itu untuk tampil memberi keterangan.

Kecederaan-kecederaan yang dialami Cik Lee. (Gambar: Sharon Sim/Facebook)
SINGAPURA: Seorang wanita warga tua mengalami luka pada bahagian hidungnya dan lebam-lebam pada bahagian pinggul dan kaki selepas dilanggar oleh penunggang e-skuter, menurut anak perempuannya yang merayu saksi kemalangan itu untuk tampil memberi keterangan.
Insiden yang berlaku di Blok 538 Ang Mo Kio Avenue 5 petang semalam (17 Apr) itu menyebabkan kedua-dua penunggang dan Cik Lee, 65 tahun, terjatuh. Warga tua itu mengalami kecederaan, menurut catatan Facebook anak perempuannya, Cik Sharon Sim.
Ketika itu, Cik Lee baru turun lif untuk bertemu dengan suaminya, Encik Edwin Sim di kolong blok. Mereka berdua mahu menjemput cucu perempuan mereka pulang dari pusat jagaan kanak-kanak.
Namun, sebaik saja beliau keluar dari lif, sebuah e-skuter melanggarnya dari belakang, kata Cik Sim.
Lima pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang berada di tempat kejadian membelikannya plaster dari kedai berdekatan dan membantu Cik Lee.
"Ibu cuba menahan penunggang itu daripada melarikan diri tetapi dia sempat melarikan diri," kata Cik Sim dalam catatannya semalam. "Ayah mengejar penunggang itu dan kali terakhir melihat penunggang itu menghala ke persimpangan Avenue 3 di mana Balai Polis Ang Mo Kio ditempatkan."
Para pelajar ITE itu menanyakan sama ada Cik Lee ingin membuat aduan polis tetapi Cik Lee enggan berbuat demikian kerana mahu menjemput pulang cucu perempuannya, kata Cik Sim kepada Mediacorp yang menyifatkan para pelajar itu sebagai 'amat baik hati'.
Beliau masih 'terkejut' dengan insiden itu dan tekanan darahnya juga 'meningkat', kata Cik Sim yang hanya mengetahui tentang insiden itu apabila ibu bapanya mengambilnya dari kerja.
Cik Sim juga menulis dalam catatannya itu bahawa penunggang lelaki tersebut memakai topi keledar yang menutupi mukanya, kemeja-T berwarna merah dan hitam serta seluar jean. Menurutnya lagi, mereka sudahpun membuat aduan polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.