Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga S'pura "serbu" bazar raya di JB

Ramai warga Singapura ke seberang tambak semasa cuti panjang hujung minggu ini. (15 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ramai warga Singapura ke seberang tambak semasa cuti panjang hujung minggu ini. (15 Apr).

Selain pergi bercuti, ramai juga yang membanjiri gedung-gedung membeli-belah dan bazar Ramadan di Johor Bahru untuk mendapatkan keperluan Hari Raya.

Apabila kru BERITAmediacorp tiba di Angsana Mall sekitar 11 pagi, keadaan sudah mulai sibuk meskipun baru sejam dibuka.

Selain butik dan kedai-kedai, terdapat juga kira-kira 100 gerai di tingkat satu pusat beli-belah itu yang menawarkan pelbagai jenis pakaian dan hiasan Hari Raya.

Angsana Mall merupakan salah satu 'persinggahan wajib' warga Singapura sejak dari dulu lagi.

Ramai pengunjung Singapura yang ditemui ghairah untuk membeli belah di situ.

Antaranya ialah pasangan ibu dan anak, Encik Rayden Yuzz dan Cik Rosnani Yusi.

"Sudah dua tahun kami tidak menjejakkan kaki ke Johor Bahru. Kami ingin tahu apakah jenis trend-trend terkini di Johor Bahru, apakah pakaian baru di Malaysia," kata Encik Rayden.

"Apabila sekatan perjalanan Covid-19 dilonggarkan, kami sekeluarga terus membuat perancangan untuk membeli-belah di Angsana. Kami sudah habiskan masa sejam di tingkat satu!," seloroh Cik Rosnani.

Harga barangan yang sangat berpatutan, nilai mata wang Singapura yang tinggi, ditambah pula dengan beraneka barangan yang dijual menjadi antara tarikan utama.

"Bazar di Singapura terhad. Kami pergi ke semua tiga bazar yang kita tahu. Di Malaysia, Angsana Mall menawarkan barang-barang pada harga yang berpatutan," kata Cik Nur Sarinah Mohd yang juga mencari permaidani, kuih muih serta pakaian Hari Raya.

"Rindu kerana sudah dua tahun tidak masuk ke Johor Bahru. Lagipun tidak jauhkan? Juga tiada masalah. Alhamdulillah, perjalanan lancar," kata suri rumah Cik Maznah Mohd.

TAMBAH STOK DAN GAYA FESYEN UNTUK MENARIK PEMBELI S'PURA

Antara pekedai yang menyambut baik kedatangan warga Singapura ialah Butik Stevia Flora yang sudah bertapak di Angsana Mall sejak 10 tahun lalu.

40 peratus pelanggan butik yang menjual pakaian tradisional Melayu itu adalah warga Singapura.

Pemiliknya Encik Zairi Shahrudin berkata perniagaannya terjejas teruk sepanjang dua tahun sempadan ditutup.

Kini beliau sudah lebih bersedia untuk Ramadan tahun ini.

Encik Zairi telah menyewa dua gerai di pusat beli-belah itu dan membawa masuk lebih banyak stok dan busana mengikut citarasa pelanggan Singapura.

Ini meskipun pada awalnya beliau kurang pasti bila sempadan dibuka semula.

"Walaupun kesuntukan masa, kami menambah stok dan rekaan baju-baju yang mengikut citarasa pelanggan dari Singapura. Orang Singapura suka baju-baju yang penuh dengan lace dan nampak mewah. Kita cuba dapatkan stok-stok baju yang macam itulah," kata Encik Zairi.

Encik Zairi yakin perniagaannya dapat bangkit semula daripada kesan pandemik dan menjangkakan keuntungan antara 30 hingga 40 peratus.

"Kita nampak kesan positif. Ramai sekali warga Singapura yang melawat butik dan gerai-gerai kami," kata Encik Zairi.

BAZAR RAMADAN UNTUK BELI JUADAH BERBUKA PUASA

Selain pakaian, ramai pengunjung Singapura juga kelihatan memborong pelbagai jenis kuih-muih Hari Raya. Harganya sangat berpatutan iaitu sekitar RM16 (S$5) hingga RM20 ($6.40) sebotol.

Kawasan tempat letak kereta bersebelahan pusat membeli-belah Angsana Mall juga tidak kurang sibuk.

Terdapat sebuah Bazar Ramadan yang mempunyai sebanyak 56 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Walaupun dibuka pada pukul 3 petang dan boleh disifatkan 'masih awal', orang ramai sudahpun masuk untuk membeli juadah berbuka.

Antaranya yang datang awal ialah cef selebriti tempatan, Cef Bob.

"Suasananya sangat berbeza sekali. Bazar Ramadan di sini banyak ketengahkan makanan-makanan kampung yang tidak terdapat di Singapura," kata Cef Bob.

Bagi memberi kemudahan kepada pengunjung berbuka puasa, sebuah ruang makan yang boleh memuatkan seramai 200 orang turut disediakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan