Skip to main content

Singapura

Warga S'pura lebih terbuka cari jodoh online, namun 40% bujang tidak pernah keluar 'dating'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah individu yang bersikap terbuka untuk mencari jodoh menerusi wadah online dan aplikasi telefon naik sekitar dua kali ganda sejak 10 tahun lalu. Namun, sebahagian besar responden bujang tidak pernah keluar 'dating', menurut tinjauan yang dijalankan baru-baru ini. 

Tinjauan Perkahwinan dan Keibubapaan 2021 yang melibatkan lebih 5,800 warga Singapura berusia antara 21 hingga 45 tahun, juga mendapati bahawa kurang kenalan atau peluang untuk bertemu teman istimewa adalah antara sebab-sebab utama mereka tidak berpacaran. 

Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), sebuah unit di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang menjalankan tinjauan tersebut dan menerbitkan hasil dapatannya pada Isnin (10 Okt), menyifatkan jumlah responden bujang yang tidak pernah berpacaran "agak besar".

Tinjauan yang dijalankan dari Februari hingga Jun tahun lalu itu, juga mendapati bahawa walaupun berkenalan menerusi teman dan rakan sekerja adalah antara cara paling selesa bagi responden bujang menemui bakal pasangan, peratusan responden yang berbuat sedemikian merosot pada tahun-tahun kebelakangan ini. 

Tinjauan Perkahwinan dan Keibubapaan yang pertama dijalankan pada 2004, dan kemudian pada 2007, 2012, 2016. Tinjuan terbaru dijalankan pada 2021.

Responden ditanya tentang pelbagai isu mengenai aspirasi perkahwinan dan keibubapaan mereka, keprihatinan tentang mempunyai anak serta cara mereka keluar dating.

Profesor Paulin Straughan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Dr Mathew Mathews dari Institut Kajian Dasar dilantik sebagai konsultan kajian sejak tinjauan yang dijalankan pada 2012. 

Kedua-duanya memberitahu Mediacorp bahawa sikap lebih terbuka untuk mencari jodoh online disaksikan sebelum pandemik COVID-19, sejajar dengan populariti media sosial dan wadah online yang semakin meningkat, meskipun sekatan pandemik berhubung perjumpaaan secara fizikal mungkin membuat pendekatan seumpama itu lebih digunakan. 

Kata Dr Matthews, "Memandangkan Singapura mengalami beberapa sekatan sosial sepanjang pandemik, peluang untuk membuat kenalan baru dan mencari pasangan agak berkurangan." Aplikasi cari jodoh bantu mengisi jurang itu, tambahnya. 

MEREKA YANG TIDAK PERNAH BERPACARAN 

Sekitar 50 peratus responden tidak pernah berkahwin dan daripada jumlah itu, separuh daripada mereka tidak menjalin hubungan dengan sesiapa pada waktu tinjauan dilakukan. 

Kira-kira 40 peratus responden yang tidak berpasangan ketika tinjauan itu dijalankan, tidak pernah keluar dating sebelum ini. 

Antara sebab-sebab utama yang diberikan adalah kurang kenalan (58 peratus), tidak banyak peluang untuk bertemu rakan istimewa (57 peratus) dan mereka serahkan soal cari jodoh kepada takdir (48 peratus). 

Sekitar 40 peratus mendapati sukar untuk menjalin hubungan romantik, dan peratusan yang sama juga menyatakan mereka ingin memberi tumpuan kepada kerjaya atau pelajaran mereka. 

LEBIH RAMAI TEMU TEMAN ISTIMEWA ONLINE

Kira-kira 30 peratus responden menemui teman istimewa mereka menerusi wadah online, naik berbanding tujuh peratus pada 2012. 

Berbanding tinjauan-tinjauan yang dijalankan sebelum ini, jumlah responden yang menemui pasangan mereka di sekolah atau menerusi kawan merosot kepada 20 peratus pada 2021 daripada 30 peratus pada 2012. 

Mereka yang menemui teman lelaki atau wanita di tempat kerja juga merosot kepada 16 peratus pada 2021 berbanding 21 peratus pada 2012.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita