Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga Singapura di luar negara main peranan penting dalam membina imej Singapura - Presiden Tharman

Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu rakyat Singapura di Brunei pada malam Rabu (24 Jan) di satu majlis resepsi, semasa lawatan ke ibu kota Negara Brunei Darussalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Singapura di luar negara main peranan penting dalam membina imej Singapura - Presiden Tharman

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

BANDAR SERI BEGAWAN: Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu rakyat Singapura di Brunei pada malam Rabu (24 Jan) di satu majlis resepsi, semasa lawatan ke ibu kota Negara Brunei Darussalam.

Lawatan tiga hari itu atas undangan Sultan Hassanal Bolkiah dan bertepatan dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Singapura dan Brunei.

Gambar: MCI

Encik Tharman ditemani oleh isterinya, Cik Jane Ittogi Shanmugaratnam.

Beliau disertai Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman dan Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang dan Anggota Parlimen, Cik Mariam Jaafar dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Majlis resepsi di dewan Royal Berkshire di Bandar Seri Begawan itu dihadiri kira-kira 400 warga Singapura yang sudah lama tinggal, belajar, bekerja dan juga menjalankan perniagaan Brunei.
 

Gambar: MCI

Dalam ucapannya, Encik Tharman menarik perhatian kepada hubungan diplomatik erat yang terjalin antara kedua-dua negara serta sumbangan rakyat Singapura di sana.

"Anda semua memainkan peranan sangat penting di Brunei. Begitu juga bagi warga Singapura di luar negara yang lain. Ini penting dalam membina imej Singapura di luar negara, (dan) bagi anda di Brunei, untuk apa sahaja yang anda lakukan, sama ada dalam pekerjaan, menjalankan perniagaan, ataupun bersama keluarga di sini," kata Encik Tharman.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Cara kita berhubung dengan warga Brunei, cara kita berkelakuan, dan bagaimana kita meluaskan semangat Singapura di luar negara, adalah penting," kata Encik Tharman.

Antara yang hadir di resepsi itu ialah Encik Melhan Adam, Ketua Fakulti Bahasa Asia di Sekolah Antarabangsa Jerudong, yang menetap di Brunei sejak 2013.

"Saya dan isteri membuat keputusan untuk berpindah ke Brunei kerana kami inginkan pembaharuan bagi anak-anak kami, serta pengalaman yang berbeza di sebuah sekolah antarabangsa," kongsi Encik Melhan kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.

"Tarikan bekerja dan budaya di sebuah sekolah antarabangsa di Brunei juga amat menarik bagi diri saya. Alhamdulillah, anak-anak saya juga seronok bersekolah di sini. Namun demikian, saya rasa kami masih lagi ingin pulang ke Singapura dan Insya-Allah, keempat-empat anak saya pada masa akan datang akan melanjutkan pelajaran mereka di Singapura setelah tamat diploma mereka di sini," tambahnya.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Encik Melhan juga Presiden Persatuan Singapura di Brunei.

Persatuan itu aktif mengumpul dana untuk pertubuhan-pertubuhan seperti Yayasan Barah Kanak-Kanak di Brunei.

"Persatuan Singapura kami agak aktif dalam membantu badan-badan bukan Kerajaan di Brunei Darussalam dan kami baru sahaja memberikan sedikit sumbangan kepada dua badan bukan kerajaan. Salah satu ialah Smarter Brunei dan satu lagi ialah Yaska.

"Ini dengan harapan ia dapat membantu masyarakat tempatan, yang bergerak ke depan kami yang akan meneruskan lagi usaha untuk bekerjasama dengan masyarakat tempatan Brunei dan juga dengan sokongan masyarakat Singapura di Brunei Darussalam," kata Encik Melhan.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Seorang lagi warga Singapura yang hadir ialah Encik Chua Ming Jie, pengasas dan CEO EVYD Technology, sebuah syarikat Kesihatan Teknologi yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan Brunei untuk menubuhkan aplikasi BruHealth semasa pandemik COVID-19.

"BruHealth bermula sebagai aplikasi pengesanan kontak semasa COVID-19 dan ia telah berkembang menjadi aplikasi kesihatan nasional yang merangkumi beberapa perkhidmatan," kongsi Encik Chua.

"Jadi ciri pengurusan wabak terus ada sekiranya berlaku kecemasan. Selain itu, kami juga mempunyai ciri-ciri yang menyokong janji temu dalam talian untuk perkhidmatan dan untuk individu menilai rekod kesihatan mereka melalui rekod kesihatan pesakit mereka," tambahnya.

Atur cara lawatan Presiden Tharman termasuk sambutan istiadat di Istana Nurul Iman, pertemuan dua hala dengan Sultan Hassanal Bolkiah serta undangan ke Majlis Jamuan Negara oleh Sultan Hassanal dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Di samping itu, beliau akan melawat anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang menjalani latihan di sana.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan