Warga SG terkandas di Jakarta akibat letusan Anak Krakatau ambil iktibar - dapatkan insurans, bawa ubat lebih
Encik Mohd Effendi dan keluarga tiba di Lapangan Terbang Changi pada Khamis (10 Sep). (Gambar: BERITA Mediacorp/Syafeera Sofian)
SINGAPURA: Warga Singapura yang terkandas di Jakarta selamat pulang ke tanah air sejak Rabu (9 Sept).
Meskipun Anak Krakatau meletus lagi pada awal pagi Rabu, ia tidak menjejas penerbangan yang dijadualkan setakat ini.
Antara warga Singapura yang sudah selamat kembali ke tanah air ialah Encik Mohd Effendi Mustafa dan keluarganya.
DUA KALI PENERBANGAN DIBATALKAN, KELUARGA WARGA SG SELAMAT PULANG KE TANAH AIR
Mereka sepatutnya pulang dari Jakarta pada Ahad (6 Sep) tetapi penerbangan mereka dibatalkan dua kali disebabkan letusan Anak Krakatau.
Setelah terkandas selama empat hari, Encik Effendi dan keluarganya selamat kembali ke tanah air pada pukul 7.50 pagi Khamis (10 Sep).
Mereka mendarat di Terimal 3 Lapangan Terbang Changi menerusi penerbangan Singapore Airlines SQ 951.
"Penerbangan kami pada pukul 5 pagi tadi tetapi kami ghairah untuk pulang (jadi) pukul 10 malam kami sampai di lapangan terbang," kata Encik Effendi.
Apa yang dirancang sebagai cuti keluarga selama 7 hari terpaksa dipanjangkan sehingga 11 hari apabila lapangan terbang utama Indonesia dan beberapa hab penerbangan lain ditutup selama beberapa hari.
KOS TAMBAHAN SEBANYAK S$1,200
Setelah mendapat tahu penerbangannya dijadualkan pada hari Khamis, Encik Effendi mengambil keputusan untuk Bandung.
"Kelmarin, kami memutuskan untuk tidak tinggal di Jakarta sebab pencemaran udara semakin teruk. Tekak pun dah mula rasa tak selesa. Jadi, hari itu kami terus dari lapangan terbang di Jakarta ke Bandung dengan menaiki kereta api, " kongsi Encik Effendi.
Secara keseluruhan, keluarga itu perlu membelanjakan tambahan S$1,200 untuk menampung tempat penginapan dan keperluan mereka bagi lanjutan percutian mereka itu, termasuk tiket kereta api ke kota Bandung.
Beliau turut mengambil beberapa iktibar daripada kejadian itu.
"Kita melancong ini kita harus merancang insurans perjalanan dan kita harus merancang ubat-ubatan, kita mesti (bawa) lebih, macam saya (bawa) lebih untuk tiga hari tetapi tidak cukup. Sebenarnya saya terlepas satu hari dan tidak makan (ubat). Jadi itulah, kita harus pastikan semuanya dibawa lebih, wang ringgit pun harus dibawa lebih," kata Encik Effendi.
Menurut laporan awal, sebanyak 340,000 penumpang terjejas akibat letusan Anak Krakatau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.