Skip to main content

Singapura

Warga SG terkait sindiket penipuan di Kemboja akan didakwa selepas diekstradisi dari Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
 Warga SG terkait sindiket penipuan di Kemboja akan didakwa selepas diekstradisi dari Thailand
(Gambar: SPF)
Diterbitkan : 05 Dec 2025 08:58AM Dikemas Kini : 05 Dec 2025 09:02AM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura berusia 32 tahun yang dikaitkan dengan sindiket penipuan yang berpangkalan di Kemboja akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (5 Dis) menyusuli penangkapannya di Bangkok dan diekstradisi dari Thailand.

Lee Jian Hao, Jayen, dipercayai merupakan ahli kumpulan jenayah terancang yang berpangkalan di Phnom Penh yang dipercayai menyasarkan mangsa warga Singapura dengan penipuan menyamar diri sebagai pegawai pemerintah, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (4 Dis).

Kumpulan jenayah itu dipercayai bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 438 kes sedemikian, yang melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$41 juta, tambah SPF dalam kenyataan medianya.

“Kumpulan jenayah terancang itu beroperasi dari sebuah kompleks penipuan di Phnom Penh, Kemboja, dan operasi mereka terjejas akibat operasi bersama oleh SPF dan Polis Nasional Kemboja pada 9 September,” menurut polis.

Pada Oktober, polis mendedahkan identiti 27 rakyat Singapura dan tujuh warga Malaysia yang dikehendaki kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Lee adalah salah seorang suspek.

Dia telah ditangkap oleh Polis Diraja Thailand dan diserahkan kepada SPF pada Khamis.

Lee akan didakwa pada Jumaat (5 Dis) dengan satu tuduhan memudahkan pelakuan kesalahan serius, bagi tujuan haram kumpulan jenayah terancang.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya.

Dua warga Singapura yang dikaitkan dengan sindiket itu telah didakwa pada 17 November.

Wayne Soh You Chen, 27 tahun, telah ditangkap di Phnom Penh manakala Brian Sie Eng Fa, 32, telah diberkas semasa serbuan di Khon Kaen, Thailand.

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun yang dikaitkan dengan sindiket yang sama telah didakwa pada 18 November.

Bernard Goh Yie Shen telah ditangkap oleh Polis Nasional Kemboja di ibu negara itu dan dihantar pulang ke Malaysia.

SPF berkata 24 suspek rakyat Singapura dan enam suspek warga Malaysia masih berleluasa.

Warga Singapura itu ialah: Ng Wei Liang, Andrew Tay Jing An, Finan Siow, Francis Tan Thuan Heng, Jonathan Pek Ser Siang, Lam Yong Yan, Leon Chia Tee Song, Lim Ee Siong, Wong Yao Zong, Clarence Ng Jun Rong, Dilwin Tay Meng Wei, Dinesh, Kiang Ju Wayne, Lam An Tuyen En Tuyen Bino Daniel, Lim Neam Phua Sheng Kai Audric, Poh Yang Ting, Sim Zong Yuan, Tan Darren, Tan Kai Siang, Tan Li Sen dan Xavier Kho Yong Jun.

Enam warga Malaysia itu ialah: Tang Soon Fai, Kang Liang Yee, Tang Soon Wah, Hoe Ming Wei, Pang Han Ee dan Yip Chee Hoe.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang keberadaan mereka boleh menghubungi talian hotline polis 1800-255-0000, atau +65 6255 0000 untuk pemanggil luar negara, atau menyerahkan maklumat secara online.

"Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan sepenuhnya," kata SPF.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita