Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga SG terkait dengan bidaan beli Newcastle United didakwa dengan lagi 58 tuduhan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang bekas pengarah Novena Global Healthcare Group (NGHG) pada Rabu (24 Jan) dikenakan 58 tuduhan baharu melibatkan penipuan, pemalsuan dan pengubahan wang haram.

Nelson Loh Ne-Loon kini menghadapi 60 tuduhan secara keseluruhannya, termasuk dua tuduhan pemalsuan yang dilakukan pada Disember 2022.

Loh sebelum ini mendapat perhatian ramai pada 2020 apabila dia menjadi sebahagian daripada kumpulan pelabur yang ingin membeli kelab Liga Perdana England (EPL) Newcastle United.

Perjanjian itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Seorang bekas pekerja kumpulan penjagaan kesihatan yang bekerja rapat dengan Loh, Michael Wong Soon Yuh, didakwa atas 12 tuduhan melibatkan kesalahan serupa, menurut polis pada Rabu (24 Jan).

Kedua-dua warga Singapura itu, kedua-duanya berusia 44 tahun, meninggalkan Singapura pada awal September 2020. Tetapi tidak lama selepas meninggalkan negara ini, polis menerima aduan bahawa tandatangan firma perakaunan Ernst & Young telah dipalsukan pada beberapa penyata kewangan NGHG.

Mereka berdua dipercayai memalsukan penyata kewangan NGHG yang telah diaudit pada 2019 dan menggunakan penyata tersebut untuk mendapatkan pinjaman bank berjumlah S$18 juta, menurut polis ketika itu.

Waran tangkap dan notis merah Interpol telah dikeluarkan terhadap kedua-dua lelaki tersebut.

Menurut polis, mereka berdua dibawa pulang ke Singapura pada Disember 2022 dengan kerjasama dan bantuan daripada rakan-rakan sejawatan mereka di China.

Mereka masing-masing didakwa dengan dua tuduhan melakukan pemalsuan.

Sebagai sebahagian daripada tuduhan-tuduhan baharu, Loh dan Wong dituduh bersubahat untuk memalsukan penyata kewangan yang telah diaudit NGHG, Novena Global Healthcare serta syarikat pengedaran wain dan minuman Giron.

Mereka juga dipercayai menipu enam bank untuk mendapatkan pinjaman kira-kira S$51.9 juta dan AS$12.7 juta.

Loh berdepan dengan 48 tuduhan memindahkan harta yang merupakan faedah daripada perbuatan jenayah, berjumlah kira-kira S$29 juta dan AS$12.2 juta.

Wong pula menghadapi empat tuduhan serupa, berjumlah kira-kira S$19 juta.
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan