Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga SG perlu dilengkapi kemahiran dalam permintaan di tengah pasaran buruh tidak menentu, kata Tan See Leng

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Terdapat keperluan mendesak untuk melengkapkan warga Singapura dengan kemahiran yang diperlukan bagi bersaing di peringkat global. Ini sedang kitaran ekonomi semakin singkat dan keadaan pasaran kian tidak menentu membawa kejutan lebih kerap pada pekerjaan.

Ini berlaku ketika dunia menghadapi keadaan semakin tidak menentu, yang timbul akibat ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Rabu (2 Nov).

"Kami harus melabur dengan ketara dalam warga tempatan kami sendiri untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran," kata Dr Tan, sambil menambah bahawa Singapura juga harus menarik firma global terkemuka serta bakat asing terbaik dari luar negara untuk mengisi jurang-jurang yang ada sekarang. 

Usaha tiga pihak yang bersepadu diperlukan untuk memastikan para pekerja tidak ketinggalan, kata Dr Tan semasa News Tonight di Saluran 5. 

BANTU PEKERJA AGAR TIDAK KETINGGALAN

Para pekerja harus bertanggungjawab ke atas perjalanan kerjaya mereka sendiri, termasuk mempunyai keinginan untuk memperbaharui kemahiran mereka dan mengikuti perkembangan terkini, ujar Dr Tan. 

Perniagaan juga digalakkan untuk memberi tumpuan kepada pelan transformasi jangka panjang, termasuk memanfaatkan inovasi dan mendakapi pendigitalan dalam proses kerjanya supaya lebih berdaya bingkas terhadap perubahan. 

Perniagaan juga perlu melabur dalam tenaga kerjayanya, kata Dr Tan, supaya pekerja boleh mengekalkan kemahirannya dalam bidang yang diceburi. 

“Kami menggesa syarikat-syarikat agar benar-benar mempertimbangkan untuk mempelbagaikan tenaga kerja bukan penduduknya, memberi tumpuan kepada membangunkan teras Singapura dan... memastikan bahawa (rakyat kita) mendapat kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran."

Dalam pada itu, Pemerintah boleh membantu syarikat-syarikat untuk memahami trend industri, mengenal pasti bidang pertumbuhan baru dan meramalkan gangguan yang berpotensi berlaku, tambah Dr Tan. 

MEWUJUDKAN PEKERJAAN BAIK BUAT WARGA SG

Dr Tan berkata membangunkan sebuah ekonomi yang kukuh adalah penting untuk mewujudkan pekerjaan baik bagi warga Singapura. 

Sepanjang tahun-tahun lalu, Singapura sudahpun mengenal pasti sektor-sektor yang mempunyai harapan seperti teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI). 

Singapura juga sedang meneroka cara-cara bagi menghulurkan sokongan kepada golongan penganggur tetapi matlamatnya adalah untuk membantu seberapa ramai daripada mereka yang boleh untuk kembali mendapatkan pekerjaan.

Pasaran buruh Singapura terus bertambah baik pada suku ketiga 2022, menurut anggaran yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 Oktober. 

Pengambilan pekerja secara keseluruhan, tidak termasuk pembantu rumah hijrahan, meningkat sebanyak 75,600 pada suku ketiga.

Namun, kadar pengangguran dan pemberhentian kerja juga naik pada suku ketiga. 

Setelah merosot ke paras terendah dalam enam tahun pada Ogos 2022, kadar pengangguran naik sedikit pada September kepada dua peratus secara keseluruhan, 2.9 peratus bagi penduduk dan 3.1 peratus bagi rakyat Singapura. Kadar berkenaan kekal dalam lingkungan sebelum COVID-19, menurut MOM. 

Walaupun lebih ramai pekerja diberhentikan kerja, jumlahnya lebih rendah berbanding purata suku tahunan sebelum pandemik.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan