Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga SG maut dalam nahas tempat kerja rancang bina kerjaya baru, berkahwin bulan depan

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG maut dalam nahas tempat kerja rancang bina kerjaya baru, berkahwin bulan depan

(Gambar: Facebook / Ely Chow)

Diterbitkan : 30 Dec 2022 10:10AM Dikemas Kini : 30 Dec 2022 10:11AM
SINGAPURA: Hanya tinggal beberapa hari saja sebelum Encik Ely Chow menamatkan kontraknya sebagai seorang pekerja sambilan dan sedang bersiap sedia memulakan pekerjaan baru.

Mendiang juga merancang untuk melamar teman wanitanya dan mengahwininya pada Januari.

Namun sejurus selepas tiba di tempat kerja pada pagi Selasa (27 Dis), lelaki berusia 31 tahun itu dilanggar dan tersepit di bawah mesin yang tumbang semasa ia dipunggah oleh forklift.

Ini merupakan kemalangan maut di tempat kerja yang ke-45 di Singapura pada tahun ini.

Kakak Encik Chow, Ruth, memberitahu para wartawan bahawa keluarganya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai kemalangan itu selain dimaklumkan bahawa jentera yang sangat berat menghempap mendiang.

Sejurus selepas dimaklumkan oleh ibu mereka bahawa adik lelakinya terlibat dalam kemalangan yang serius, beliau menerima satu lagi panggilan yang memberitahu bahawa Encik Chow sudah meninggal dunia.

"Kami tidak sempat mengucapkan selamat tinggal," luah Cik Chow, 33 tahun.

Adik lelaki bongsu mereka, Encik Ethan Chow, 28 tahun berada di Genting bersama isterinya apabila beliau menerima berita mendukacitakan itu dan bergegas terbang pulang ke Singapura.

Adiknya itu sangat beremosi ketika diwawancara oleh para wartawan sedang beliau menceritakan bagaimana beliau sudah bersedia menjadi pengapit abangnya apabila Encik Ely Chow melamar teman wanitanya pada 2 Januari.

Pasangan itu merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada 2023 dan sudah mendapat flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Ghim Moh berhampiran kediaman keluarga Chow.

Keluarga mendiang sangat erat dan mereka sering bertemu. Encik Ely Chow tinggal bersama ibu bapanya sementara keluarga adik-beradiknya tinggal di flat berasingan di blok yang sama.

Sehari sebelum tragedi malang itu, Cik Chow berkata mendiang sempat membuat kuih bersama dengan dua anak perempuannya dan mereka makan tengah hari bersama. Beliau tidak menyangka ia adalah kali terakhir beliau akan melihatnya.

Menurut Cik Chow, mendiang memberitahunya bahawa beliau sudah mendapat "pekerjaan dengan gaji yang lebih baik" beberapa hari sebelum kemalangan tersebut.

Encik Ely Chow adalah pemegang diploma teknologi veterinari dan kemudian melanjutkan pengajiannya ke jurusan marin dan akuakultur di Universiti Tasmania.

Sebelum bekerja sambilan itu, beliau juga pernah bertugas di Lembaga Taman Negara (NParks) dan sebuah ladang ikan ternakan.

Ramai rakan dan bekas rakan kerjanya datang untuk menyampaikan takziah. Beliau seorang yang disenangi dan baik hati dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan, kata adik-beradik mendiang.

Mendiang juga bapa saudara yang penyayang yang akan membawa anak saudaranya berbasikal dan bermain kasut roda, kata Cik Chow.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan