Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga SG masih pakai pelitup naik pengangkutan awam pada hari pertama peraturan dimansuhkan

Anggaran Waktu Membaca:
00:49 Min
Warga SG masih pakai pelitup naik pengangkutan awam pada hari pertama peraturan dimansuhkan
Diterbitkan : 13 Feb 2023 01:21PM Dikemas Kini : 13 Feb 2023 08:50PM

SINGAPURA: Pemakaian pelitup sudah tidak lagi diwajibkan semasa menaiki pengangkutan awam, tetapi sebahagian besar penumpang dilihat masih memakai pelitup semasa menaiki bas dan kereta api pada pagi Isnin (13 Feb). 

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) minggu lalu mengumumkan bahawa mulai Isnin, pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam selepas Singapura menurunkan tahap amaran COVID-19 ke paras yang terendah. 

Namun bagi peguam berusia 37 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ang, beliau memakai pelitup sepanjang perjalanannya menaiki MRT Laluan Utara-Selatan dari Ang Mo Kio ke tempat kerjanya di Raffles Place pada pagi Isnin. 

"Ramai orang dalam kereta api," katanya kepada Mediacorp. "Bagi saya, saya baru pulih, jadi saya ingin bertimbang rasa terhadap orang lain dan mengamalkan tanggungjawab sosial saya."

Beliau turut mendapati sekitar 90 hingga 95 peratus penumpang dalam kereta api itu turut memakai pelitup. 

"Saya mungkin tidak akan pakai pelitup lagi pada masa akan datang. Tetapi buat masa ini, sebagai satu langkah berjaga-jaga dan kerana ia berkesan, kenapa perlu berubah daripada sesuatu yang berkesan?" kata Encik Ang, sambil menambah bahawa kereta api dan bas lebih tertutup berbanding kawasan-kawasan tertutup lain. 

"Pada tempoh dua minggu akan datang ini, sekiranya jumlah kes meningkat lagi, baru kita tahu sama ada ia berkesan ataupun tidak." 

Ketika menunggu bas di Stesen MRT Dover untuk ke Bukit Merah, Cik Patricia Yap, seorang penolong peribadi, tidak memakai pelitup dan beliau juga tidak memakai pelitup semasa menaiki MRT ke Dover sebelum itu. 

"Ia baik kerana ia tidak menjejas solekan saya," katanya, sambil menambah bahawa kereta api yang dinaikinya pagi itu tidak terlalu sesak. 

"Masih ramai orang pakai pelitup, walaupun di tempat terbuka. Namun saya tidak pakai pelitup di tempat tertutup sejak peraturan itu dimansuhkan," kata Cik Yap yang sudah lama menantikan pemansuhan pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam. 

"Saya sudah terbiasa tidak pakai pelitup." 

Antara pukul 8.00 hingga 9.00 pagi di Laluan Timur-Barat, Mediacorp mendapati hanya segelintir penumpang dalam setiap gerabak yang tidak memakai pelitup. 

Di Laluan Circle dan Utara-Timur pula, ia kurang sesak tetapi Mediacorp mendapati kebanyakan penumpang masih memakai pelitup, dengan sesetengah daripada mereka memakai pelitup sebelum menaiki kereta api. 

Setelah meninggalkan kereta api atau stesen MRT, ramai penumpang menanggalkan pelitup mereka. 

Pesara Sim Choon Fook yang menaiki kereta api di Laluan Utara-Timur dari Stesen MRT Boon Keng Ke Chinatown, beliau memakai pelitup semasa menaiki kereta api tetapi segera menanggalkannya setelah turun dari kereta api. 

"Saya hampir lupa peraturan sudah ditarik balik hari ini sehingga saya terlihat beberapa orang yang tidak memakai pelitup dalam bas," katanya dalam bahasa Mandarin. 

Warga emas berusia 64 tahun itu berkata, beliau akan terus memakai pelitup dalam kereta api atau bas sekiranya ramai penumpang.

"Saya tidak tahu siapa dalam kereta api ini yang sakit dan batuk-batuk. Jadi, saya perlu melindungi diri saya." 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan