Warga SG, Malaysia lancar inisiatif kirim bantuan makanan ke Indonesia melalui aplikasi Grab
Semangat persaudaraan serumpun di rantau ini terserlah menyusuli rusuhan yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.
Petikan skrin pesanan di GrabFood yang dibuat oleh warga Malaysia, Singapura bagi pekerja penghantaran makanan di Indonesia. (Gambar: TikTok: @keyrol_asri, @sue.subir)
Tanpa mengira sempadan geografi, rakyat Malaysia dan juga di Singapura mengambil inisiatif untuk mengirimkan barang keperluan dan makanan menerusi aplikasi penghantaran makanan ke beberapa bandar utama di Indonesia.
Seorang warganet Indonesia @lrspusp menerusi video TikTok berkata tindakan rakyat Malaysia itu jelas menunjukkan semangat kejiranan serantau.
“Mereka memesan makanan untuk diberikan kepada pemandu Grab ataupun Gojek di Jakarta. Terima kasih banyak kepada rakyat Malaysia yang sudah sokong Indonesia,” katanya.
Demi menggalakkan lebih ramai orang menyertai inisiatif itu, ada bahkan berkongsi panduan bagaimana untuk membuat pesanan makanan dari kedai-kedai makanan di Indonesia, dari negara masing-masing.
Di Singapura, video panduan yang dihasilkan oleh pengguna TikTok Sue Subir ditonton lebih 15,000 kali.
Dalam catatan yang mengiringi video tersebut, beliau katakan bahawa beliau membuat pesanan makanan menerusi aplikasi GrabFood bagi menyokong wira pekerja penghantaran makanan di Indonesia.
"Di tengah-tengah bantahan dan pergolakan yang berlaku mengenai ketidaksamaan ekonomi dan keistimewaan parlimen, kerja harian mereka mengingatkan kita tentang daya tahan rakyat biasa dalam keadaan luar biasa," katanya.
"Bagi mereka yang kurang pasti apa untuk beli, saya sarankan anda beli barangan dapur kerana ia tahan lebih lama," kata pengguna TikTok @lattearen.
Sementara itu, seorang warganet Malaysia melalui akaun Facebook Mach Pi memaklumkan dia menyumbang Rp100,000 (S$7.81) sebagai solidariti untuk rakyat Indonesia.
“Saya pilih lokasi kota Surabaya kerana kota ini dekat pada hati saya. Kita boleh bantu pekerja ojek dengan salur ordered makanan atau keperluan isi rumah melalui apps Grab Food, hanya tukar lokasi ke Indonesia (bandar pilihan yang ada rusuhan, mereka sekarang susah mendapat job).
“Drop off boleh pilih masjid lobby terdekat dan remark ‘tidak perlu dihantar, buat mereka makan atau guna sendiri barangan itu’. I do my part, Malaysia ku makmur sejahtera, semoga jiran kita cepat sembuh daripada lukanya,” menurut akaun Facebook itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.