Warga SG Maju Bersatu rai ulang tahun kemerdekaan negara ke-58
SINGAPURA: Maju Bersatu - 24,000 peserta Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang dengan penuh bersemangat dan bertenaga mengajak warga Singapura bersatu meraikan masa depan bersama sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-58.
Peluang menyaksikan sendiri NDP merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan setiap warga Singapura. 27,000 penonton berada di tempat bersejarah itu bagi menyaksikan pelbagai persembahan NDP yang bertemakan Maju Bersatu.
Maka itu tidak hairanlah jika ada yang sanggup menunggu berjam-jam sebelum NDP bermula.
Inilah kali pertama NDP diadakan di Padang selepas tahun 2019.
Ia juga kali pertama NDP diadakan di sana sejak Padang diisytiharkan sebagai sebuah Monumen Negara.
Selain itu, NDP kali ini adalah yang terakhir dihadiri Presiden Halimah Yacob sebagai Ketua Negara. Pada Mei lalu beliau mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Presiden selepas penggal enam tahunnya berakhir bulan depan.
Pemegang tiket NDP sudah mula beratur untuk masuk ke Padang seawal pukul 3.30 petang.
Ramai yang sanggup datang awal kerana sedar perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat.
Penanda juga dipasang bagi memaklumkan para penonton tentang pemeriksaan tersebut dan barang-barang yang dilarang.
"Proses untuk masuk agak senang dan teratur. Jadi kita tidak bertolak-tolak dan senang untuk bergerak ke hadapan," kata Cik Norziana Atan.
Seorang lagi pemegang tiket NDP yang datang awal ialah Encik Masih Yasin.
"Masa menunggu tidak lama sangat tetapi cuaca di sini sangat panas! Namun proses pemeriksaan lancar dan tidak melebihi 20 minit," kata beliau. Seperti Encik Masih, ramai yang membuat persiapan secukupnya bagi mengharungi cuaca panas terik yang sedang melanda negara ini sejak beberapa minggu lalu.
"Saya ada bawa krim pelindung suria, payung, baju hujan, takut hujan, bukan? Tetapi harap-harap tidak hujan," kata Cik Sarah Subor.
Cik Suhaizianti Talib pula berkata: "Saya ada anak kecil jadi saya bawa cemil-cemilan, makanan ringan. Bawakan dia cermin mata hitam dengan topi."
Tahun ini pemeriksaan keselamatan dijalankan lebih 2,000 pegawai yang dikerahkan di Padang dan di kawasan sekitarnya.

Persembahan tarian pelajar Sekolah Menengah Bedok View, Deyi, East Spring dan Maktab Rendah Victoria yang membuka tirai acara menyemarakkan lagi semangat penonton dengan diiringi pertunjukan pancaragam gabungan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).


Persembahan tatu tentera kumpulan uniform membuka tirai segmen acara perbarisan dan upacara istiadat.
1,700 peserta membentuk 34 kontinjen dari SAF, Home Team, kumpulan seragam serta kontinjen yang mewakili institusi sosial dan ekonomi.
Buat julung-julung kalinya juga, kontinjen Kawalan Kehormatan menampilkan kontinjen Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) SAF.

Upacara disempurnakan dengan istiadat Tabik Kehormat Presiden menerusi tembakan meriam 21 das serta pemeriksaan pegawai kawalan kehormatan.

Lebih 2,400 peserta menyertai segmen persembahan berwarna-warni itu yang menutup tirai dengan medley lagu Hari Kebangsaan seperti 'Stand up for Singapore' dan 'The Road Ahead'.

Lafaz Ikrar Negara dan nyanyian Lagu Kebangsaan bergema memecahkan keheningan malam di Padang membawa mesej: Maju Bersatu menuju masa depan bersama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.