Skip to main content

Singapura

Warga SG jadi satu-satunya pemilik rumah sembelih kambing di Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG jadi satu-satunya pemilik rumah sembelih kambing di Australia

(Gambar: Syed Ghazaly Syed Agil)

AUSTRALIA: Dr Syed Ghazaly Syed Agil, kini menjadi satu-satunya anak watan Singapura yang memiliki rumah sembelih kambing di Barat Australia. 

Menurut Dr Syed Ghazaly, hanya ada empat rumah sembelih dengan pelesenan Halal di Australia Barat sebelum ini. 

'

Rumah sembelih di bandar Geraldton itu, jelas Dr Ghazaly, akan memulakan operasi seawal-awalnya pada bulan depan. 

Pemilikan rumah sembelih oleh seorang anak Melayu Singapura itu juga memastikan ada rantaian bekalan daging ‘halal’ dari mula hingga akhir bagi para pelanggan Melayu/Islam. 

KENAPA AMBIL KEPUTUSAN MILIKI RUMAH SEMBELIH DI AUSTRALIA?

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Alqudsi Properties itu menjelaskan bahawa proses membeli sebuah rumah sembelihnya itu bermula pada 2017. 

“Saya mempunyai ladang ternakan kambing di Queensland, Timur Australia. Dari dahulu lagi, saya sudah cuba untuk menggunakan khidmat sembelih kambing dari rumah-rumah sembelih lain di Australia dan dieksport, tetapi menggunakan jenama saya. Namun ia tidak pernah diterima, kerana pada akhirnya, kata putus adalah daripada mereka (para pemilik rumah-rumah sembelih),” kata Dr Syed Ghazali. 

“Kalau mereka terima untuk eksport menggunakan jenama saya pun, harga yang ditetapkan dinaikkan. Ini bukan sesuatu yang baik buat jangka masa panjang,” jelas beliau. 

'

Hal itu bermaksud bahawa penjualan daging kambing selalunya terhad kepada para pembeli di Australia sahaja. 

Selain itu, beliau juga dapat menjalankan ibadat seperti Aqiqah hanya pada skala kecil. 

Namun, situasi tersebut akan berubah memandangkan Dr Syed Ghazaly kini sudah memiliki sebuah rumah sembelih sendiri. 

“Sekarang saya sudah memiliki rumah penyembelihan ini, saya boleh mengawal harga daging dan khidmat. Saya juga boleh mengutamakan para pelanggan Melayu/Islam juga untuk eksport,” kata Dr Syed Ghazaly. 

KEUPAYAAN UNTUK MENYEMBELIH SEHINGGA 2,500 KAMBING SEHARI

Dr Syed Ghazaly menjelaskan bahawa pembelian rumah sembelih itu juga termasuk dengan ladang membesarkan kambing-kambing. 

Kedua-dua kawasan itu bertempat di atas tanah sebesar 77 ekar. 

'

Dr Syed Ghazaly mendedahkan bahawa harga yang perlu beliau bayar untuk mendapatkan rumah sembelih dan ladang membesarkan kambing-kambing itu adalah  AUD$3.4 juta. 

Menurut beliau, rumah sembelih Al-Q Meats itu boleh menyempurnakan penyembelihan sehingga 2,500 ekor kambing sehari. 

Ladang kambing Al-Q Meats juga boleh menempatkan sekurang-kurangnya 30,000 ekor kambing pada setiap masa. 

“Kumpulan kambing pertama akan masuk ke ladang syarikatnya seawal-awalnya pada bulan November,” kata Dr Syed Ghazaly. 

Bagi menjalankan operasi di Al-Q Meats pula, Dr Ghazaly mengatakan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya 45 orang pekerja sehari. 

'

Rumah sembelih Al-Q Meats akan beroperasi menggunakan mesin-mesin canggih termasuk mesin menyiat kulit kambing. 

“Menggunakan mesin-mesin sebegitu akan dapat mengurangkan keperluan kakitangan. Ia juga akan membuat proses penyembelihan lebih cepat,” kata Dr Syed Ghazaly. 

UTAMAKAN SINGAPURA, UTAMAKAN PELANGGAN ISLAM

Dr Syed Ghazaly juga menjelaskan bahawa beliau juga dalam proses mendapatkan lesen bagi memastikan bahawa daging kambing dari rumah sembelih miliknya akan dapat dieksport ke negara-negara lain. 

Menurut beliau, hanya ada empat rumah sembelih yang mempunyai lesen Halal di kawasan Barat Australia sekarang ini. 

'

Namun, para pemilik rumah-rumah sembelih itu bukan dari Singapura dan merupakan warga negara lain seperti Itali dan China. 

Dengan pemilikan rumah sembelih itu, Dr Syed Ghazaly juga merasakan beliau akan dapat menyumbang kepada tahap jaminan makanan di Singapura khususnya. 

Dr Syed Ghazaly berkata: “Jika ada apa-apa yang berlaku di Singapura mengenai bekalan daging, syarikat saya ini boleh menyumbang dengan membekalkan daging-daging ke sana dahulu.”

“Itulah antara tujuan utama kami - untuk membekalkan daging-daging ke Singapura bila ada permintaan dan keadaan memerlukan,” tambah beliau lagi.


Selain Singapura, syarikat Al-Q Meats juga akan membekalkan daging ke negara-negara lain termasuk Malaysia, Brunei dan Dubai pada tahap permulaan. 

RANCANGAN HARI RAYA HAJI 2024

Dr Syed Ghazaly menjelaskan bahawa harga pakej kambing korban sewaktu Hari Raya Haji selalunya lebih tinggi berbanding hari-hari biasa. 

“Kadangkala, harga khidmat kambing korban boleh naik 50 peratus sewaktu Hari Raya Haji,” ujar beliau. 

Namun, sebagai seorang pemilik rumah sembelih yang baru di Barat Australia itu, satu perancangan yang sudah ditetapkan beliau adalah untuk memastikan harga tidak akan naik.

'

“Harga pakej paling mahal yang mungkin boleh kita tetapkan adalah sekitar S$280. Kita akan secara sedaya upaya cuba untuk menjalankan ibadah korban tanpa kenaikan harga,” ujar Dr Syed Ghazaly. 

Beliau mengatakan bahawa ini sesuatu yang boleh beliau lakukan kerana segala proses akan diselia oleh syarikat beliau sendiri. 

Sebagai permulaan, rumah sembelih Al-Q Meats akan hanya menjalankan proses sembelih ke atas 1,000 ekor kambing setiap hari. 

Enam bulan dari sekarang, operasi menyembelih kambing boleh meningkat kepada 2,500 ekor kambing setiap hari. 

Pada bulan Ramadan tahun depan, yang akan jatuh pada bulan Jun, syarikat itu akan menggandakan jumlahnya kepada 5,000 ekor kambing setiap hari. 

RANCANGAN EKSPORT JANGKA MASA PANJANG SYARIKAT ALQUDSI

Menurut Dr Syed Ghazaly, sekitar 396,000 kilogram daging kambing akan dieksport ke luar negara setiap bulan pada enam bulan pertama rumah sembelih Al-Q Meats beroperasi. 

“Selepas enam bulan pertama, kami menyasarkan untuk mengeksport sekitar 1.3 juta kilogram daging kambing ke luar negara setiap bulan. Setiap kambing boleh menyediakan sekitar 18 kilogram daging,” kata Dr  Ghazaly. 

Beliau juga mendedahkan bahawa beliau ada rancangan untuk meluaskan rangkaian eksport daging dari rumah sembelihnya. 

Beliau menyasarkan untuk eksport ke Amerika Syarikat, negara-negara Timur Tengah dan China pada masa depan. 

“Di ladang membesarkan kambing-kambing itu, semuanya terjaga termasuk pemakanan. Di sini juga, kita akan dapat menjalankan proses pembiakan kambing-kambing,” ujar Dr Syed Ghazaly. 

Menurut beliau, dengan pemilikan rumah sembelih itu, beliau akan dapat meluaskan ‘projek’ untuk memperkenalkan masyarakat luar negara, untuk mencuba daging kambing yang ‘premium’. 

Misalnya, di ladang membesarkan kambing-kambing itu, beliau mengatakan  akan ada proses pembiakan menerusi baka kacukan. 

“Dengan adanya pembiakan sebegini, akan tercipta mutu dan rasa daging yang berlainan daripada daging kambing biasa. Ini kerana segala pemakanan akan dapat kita kawal secara dalaman,” kata beliau. 

Encik Ghazaly berkata ada permintaan oleh para pelanggan dari Korea Selatan dan Jepun bagi jenis daging kambing sebegitu.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita