Warga SG harus terus berwaspada, tidak biarkan konflik global jejas perpaduan, keharmonian kaum: Dr Faishal
Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (12 Ogos).
Beliau berkongsi mengenai sesi dialog yang diadakan pada Rabu (7 Ogos) bersama Masyarakat Melayu Islam .
Turut hadir di dialog itu ialah Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara, Rahayu Mahzam.
Menurut Dr Faishal, dialog yang dikendalikan oleh Penolong Profesor di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt itu memberikan peluang untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada landskap Singapura, termasuk ancaman radikalisasi terutamanya dalam kalangan belia, maklumat salah online, serta kesan konflik global yang berterusan, seperti perang Israel-Hamas.
"Saya berbesar hati kerana menerima banyak komen positif dan cadangan membina daripada peserta tentang bagaimana kita boleh bergerak bersama-sama dalam memerangi pengganasan dan ekstremisme," katanya, sambil menambah bahawa Singapura mengekalkan pendirian tidak bertoleransi terhadap perkara ini.
"Saya juga mengambil kesempatan untuk menerangkan bahawa Singapura mengekalkan pendirian tidak betoleransi terhadap usaha menggalak atau sokong fahaman pengganasan dan ekstremisme ganas."
Tegas Dr Faishal lagi keselamatan dan keamanan Singapura serta penduduknya sentiasa menjadi keutamaan.
"Kami harus terus berwaspada terhadap ancaman menjadi radisal secara sendiri yang sering berubah dan mengelak daripada mengimport politik asing serta membiarkan konflik global menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum di Singapura," kata Dr Faishal.
Justeru, beliau mengajak rakyat agar terus mengadakan dialog terbuka dan memanfaatkan kekuatan serta daya tahan bersama bagi menempuh masa depan yang lebih cerah untuk Singapura.
"Saya yakin, dengan bersatu padu, kita akan dapat mengatasi apa jua cabaran keselamatan sebagai sebuah negara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.