Skip to main content

Singapura

Warga SG, Haniff Abdul Razak, terima Anugerah Pelbagai Budaya Queensland

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG, Haniff Abdul Razak, terima Anugerah Pelbagai Budaya Queensland

Warga Singapura, Haniff Abdul Razak, 77 tahun, menerima Anugerah Pelbagai Budaya Queensland (Gambar: Haniff Abdul Razak)

SINGAPURA: Sewaktu bermastautin ke Twoowomba, Queensland lebih dua dekad lalu, Encik Haniff Abdul Razak menyaksikan kerencaman kaum, budaya dan agama yang lebih daripada yang dialaminya di Singapura.

Di bandar Toowoomba sendiri, penduduknya terdiri daripada 80 etnik, kepercayaan dan budaya yang berbeza.

Antaranya penduduk berasal daripada Jerman, Malaysia, Singapura, Nepal, Korea, Afghanistan, Syria, Sudan, Sri Lanka dan China.

Budaya penduduknya juga berbeza kerana menurut Encik Haniff, mereka lebih lantang bersuara

Sebelum berhijrah ke Australia, Encik Haniff, 77 tahun bertugas sebagai seorang pengantara agama di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Beliau juga antara pegawai MUIS ketika itu yang bertanggungjawab bagi penubuhan Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah.

Berbekalkan pengalamannya itu dan sedar akan pentingnya untuk memupuk persefahaman dan menjalinkan hubungan yang harmoni dengan penduduk berbilang agama dan kaum di Queensland, Encik Haniff terdorong untuk menubuhkan sebuah pusat untuk menangani isu-isu sensitif berkaitan dengan agama.
(Gambar: Multi-Faith Multicultural Centre Toowoomba/Facebook)
"Isu-isu berkaitan dengan agama ini adalah sesuatu yang sangat sensitif jadi ia penting untuk adalah sesi berdialog dan ruang yang selamat supaya orang ramai boleh lebih memahami perbezaan agama meraikan persamaan dalam agama masing-masing," kata Encik Haniff kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Usaha untuk menubuhkan 'Pusat Pelbagai Agama dan Budaya' pada 2010 di Twoowoomba, Queensland itu turut didorong oleh seorang sami yang dikenalinya di sana, Profesor Master Chin Kung yang juga mempunyai visi untuk menjadikan Toowoomba sebagai bandar yang damai dan harmoni.

TERIMA ANUGERAH PELBAGAI BUDAYA QUEENSLAND

Usaha dan kegigihannya untuk memperjuangkan keharmonian di bandar itu menarik perhatian sebuah masyarakat penganut Kristian yang mencalonkan beliau untuk menerima Anugerah Pelbagai Budaya Queensland yang diberikan oleh pemerintah Queensland.

Anugerah Pelbagai Budaya Queensland mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang seorang individu dan pertubuhan yang berusaha untuk membina sebuah masyarakat berbilang budaya yang inklusif melalui pembelajaran, perayaan dan inisiatif individu atau kumpulan itu.
(Gambar: Multi-Faith Multicultural Centre Toowoomba/Facebook)

"Sebenarnya saya terperanjat apabila menerima anugerah ini kerana saya dicalonkan oleh sebuah masyarakat beragama Kristian untuk menerima anugerah ini. Saya rasa sangat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat," ujar Encik Haniff.

PUSAT PELBAGAI AGAMA DAN BUDAYA TWOWOOMBA, QUEENSLAND

Encik Haniff kini menggalas jawatan sebagai Pengarah dan Penyelaras di 'Pusat Pelbagai Agama dan Budaya' itu.

Beliau terus memainkan peranan penting untuk memperjuangkan keharmonian pelbagai agama dan budaya di Toowoomba.

Encik Haniff bertanggungjawab untuk menjalankan pelbagai inisiatif masyarakat, menganjurkan forum-forum agama, program pendidikan dan seminar yang menghimpunkan rakyat dari pelbagai latar belakang.

Ini termasuk projek 'Scriptures 360' iaitu kompilasi kitab suci daripada sepuluh agama, penubuhan kumpulan kerja antara agama, menganjurkan persidangan keamanan antarabangsa dan juga siri radio yang mempromosikan keharmonian agama dan sosial.

(Gambar: Multi-Faith Multicultural Centre Toowoomba/Facebook)
"Setiap Jumaat dan Ahad, kami ada sebuah siri radio yang dinamakan 'Voices of Faith' yang sudah diadakan selama sembilan tahun. Selama 30 minit, kami memberi peluang kepada tetamu kami untuk berkongsi tentang agama mereka namun mereka masih harus mengikut garis panduan yang diberikan," kata Encik Haniff.

Seterusnya, beliau merancang untuk menerbitkan sebuah saluran 'podcast' pada Oktober ini.
(Gambar: Multi-Faith Multicultural Centre Toowoomba/Facebook)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita