Skip to main content

Singapura

Warga SG gagal rayuan hukuman mati bagi kesalahan edar heroin yang disangka ganja

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG gagal rayuan hukuman mati bagi kesalahan edar heroin yang disangka ganja

Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 34.9 gram diamorphine atau heroin, gagal dalam rayuannya terhadap kesalahan dan hukumannya.

Shen Hanjie, 33 tahun, berhujah dalam permohonannya bahawa dia sentiasa percaya dadah di dalam bungkusan ditemui di bilik tidurnya di Marsiling, adalah ganja atau dipanggil "grass".

Dia juga berhujah bahawa dia tiada niat untuk mengedar dadah tersebut. Sebaliknya dia hanya mengambil dan menghantarnya.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang dikeluarkan pada Jumaat (1 Mac) tidak menemui kesilapan dalam keputusan hakim perbicaraan dan menolak rayuan Shen.

Menurut dokumen mahkamah, satu pasukan terdiri daripada 13 pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) pergi ke sebuah tempat meletak kereta di sebuah blok yang terletak di Marsiling, untuk mencari Shen pada 20 November 2018.

Ketika mereka ke unit rumahnya, pintu masuk rumah terbuka namun pintu biliknya dikunci.

Mereka menyerbu masuk ke dalam bilik tidur Shen dan memberkasnya, serta merampas puluhan paket bungkusan dadah.

Dalam beberapa kenyataan yang diberikan kepada penyiasat selepas penangkapannya, Shen mendakwa bahawa dia menyimpan dadah tersebut untuk seorang bernama Alan.

Shen berkata dia sudah mengenali Alan selama enam bulan sebelum dia diberkas, melalui seorang kenalan.

Selepas mereka berjumpa, Alan menghubungi Shen dan berkata bahawa terdapat "barang" yang akan tiba dari Johor Bahru, dan meminta Shen mengambil barang tersebut untuknya.

Shen mendakwa dia tidak mengetahui kandungan barang-barang tersebut, dan hanya sedar ia adalah dadah selepas membuka bungkusan itu.

Selepas itu, Shen mula menerima dadah untuk Alan. Shen mendakwa dia tidak menerima bayaran yang tetap sebagai ganjaran, namun meminta Alan kira-kira S$200 hingga S$300 sekiranya dia memerlukan wang.

Mahkamah menarik perhatian bahawa Shen mengaku dia akan menghantar dadah kepada individu lain yang diarahkan oleh Alan.

Shen juga tidak bekerja selama dua tahun sebelum diberkas, dan dibayar oleh Alan untuk mengedarkan dadah tersebut.

Terdapat bukti DNA yang menunjukkan Shen membungkus semula beberapa bungkusan dadah, dan terdapat bahan-bahan pembungkusan dadah seperti pembalut plastik, bungkusan kosong serta pita pelekat.

Barang tersebut menunjukkan bahawa dia terlibat dalam pengedaran dadah.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita