Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga SG bayar cukai lebih rendah berbanding warga negara lain, dedah DPM Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG bayar cukai lebih rendah berbanding warga negara lain, dedah DPM Lawrence Wong

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong berucap di Parlimen pada 24 Februari 2023.

Diterbitkan : 24 Feb 2023 07:01PM Dikemas Kini : 24 Feb 2023 07:17PM
SINGAPURA: Warga Singapura membayar cukai lebih rendah berbanding warga negara lain tetapi masih "menikmati perkhidmatan awam yang bermutu tinggi", menurut Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di Parlimen pada Jumaat (24 Feb).

Dalam ucapan penutupnya semasa membahaskan Belanjawan 2023, beliau turut menyifatkan kedudukan kewangan Singapura yang ketat sebagai "sememangnya satu realti" jangka sederhana - justeru Singapura perlu terus menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) buat kali kedua pada 2024.

"Menangguhkannya hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah pada masa akan datang dan meninggalkan kita dengan kekurangan sumber untuk menjaga jumlah warga emas yang semakin meningkat," kata Encik Wong yang juga adalah Menteri Kewangan.

Belanjawan 2023 diluluskan pada Jumaat (24 Feb) selepas tiga hari membahaskannya.

Encik Wong turut menarik perhatian, nisbah cukai dengan hasil dalam negeri kasar (GDP), iaitu 14 peratus adalah "jauh lebih rendah" berbanding sebahagian besar ekonomi maju yang lain.

"Beban cukai yang rendah memberi ganjaran kepada kerja keras dan keusahawanan dan membolehkan rakyat dan perniagaan kita untuk menabung sebahagian besar pendapatan mereka," katanya.

Encik Wong berkata demikian semasa memberikan responsnya kepada saranan-saranan yang dikemukakan oleh parti pembangkang Parti Pekerja (WP) agar Singapura menggunakan kaedah-kaedah alternatif untuk menambah pendapatan pemerintah dan tidak menaikkan GST.

Menyentuh tiga sumber pendapatan alternatif yang dicadangkan oleh parti-parti pembangkang di Parlimen - cukai kekayaan, cukai korporat dan hasil penjualan tanah - Encik Wong berkata, "hakikatnya, ia amat sukar untuk kaedah-kaedah sedemikian menggantikan GST".

"Dengan keperluan kita yang semakin bertambah, ia bukan tentang memilih antara GST dengan alternatif-alternatif tersebut," tambahnya.

"Berbeza dengan kepercayaan Parti Pekerja, kita memerlukan kesemuanya dan gabungan cukai pendapatan, pembelian dan aset untuk memastikan kedudukan kewangan awam di Singapura kekal stabil."

Misalnya, cukai kekayaan bersih yang disarankan oleh WP "amat menarik" pada dasarnya tetapi mencabar untuk melaksanakannya, kata Encik Wong.

"Banyak negara sudah mencuba tetapi tiada yang berupaya melaksanakannya dengan baik. Inilah sebabnya mengapa banyak negara tidak mengenakan cukai kekayaan bersih sejak beberapa tahun kebelakangan ini."

Mengenai cukai korporat, Encik Wong menekankan bahawa negara-negara lain memperkenalkan "subsidi yang luas" untuk mengukuhkan kelebihan daya saing masing-masing; dan persaingan bagi pelaburan sejagat akan menjadi semakin sengit.

"Kita mungkin tidak dapat berbelanja lebih besar daripada kuasa-kuasa besar tetapi kita sememangnya tidak mampu berpeluk tubuh saja," ujar Encik Wong.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan