Warga SG banjiri pusat derma dengan bantuan untuk mangsa gempa Turki, Syria

(Gambar: Louisa Tang/CNA)
SINGAPURA: Di sebuah bangunan perindustrian di MacPherson pada Khamis (9 Feb), masyarakat awam tiba dengan membawa pakaian sejuk, selimut, lampin, makanan bayi, produk kebersihan diri dan bekalan lain.
Ada juga yang bantu mengumpul dan mengaturkan barangan yang mulai memenuhi ruang masuk bangunan tersebut. Ramai tiba dengan beberapa kotak bekalan dalam kereta mereka - semuanya untuk mangsa gempa bumi yang melanda Turki dan Syria pada Isnin (6 Feb).
Gempa itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 21,051 orang, menjangkaui angka korban gempa bumi yang serupa pada 1999. Ribuan lagi dikhuatiri terperangkap dan cedera di bawah runtuhan.
Usaha menyelamat mangsa terjejas oleh suhu sejuk dan kemusnahan laluan pengangkutan.
Kedutaan Turki di Singapura sebelum ini merayu bantuan dari segi barangan seperti pakaian sejuk, khemah, tilam dan bekalan makanan agar diletakkan di premis mereka di Shenton Way pada Selasa malam (7 Feb).
Apabila warga Singapura memberi sumbangan luar biasa dalam tempoh sehari, kedutaan itu meminta agar sumbangan dihantarkan ke Jay Gee Melwani House di 10 Genting Lane, iaitu ibu pejabat The Black Hole Group.
Syarikat tersebut membuka tempatnya untuk menerima sumbangan sekitar tengah hari Khamis setelah kedutaan itu menjadi terlalu penuh.
Apabila Mediacorp tiba di tempat tersebut sekitar pukul 4.00 petang, ramai penyumbang dan sukarelawan berhimpun di ruang masuk bangunan tersebut. Kotak-kotak dan bungkusan turut diletakkan di bahagian tangga sehingga ruang masuk.
Para sukarelawan kemudian mengalihkan sumbangan ke ruang pejabat The Black Hole Group di tingkat enam, di mana ia disusun mengikut kategori untuk dihantarkan ke lapangan terbang.
Lori pengangkutan juga kerap keluar masuk, manakala ramai meletakkan kenderaan mereka di ruang terbuka atau stesen minyak berdekatan sebelum menuju ke bangunan tersebut dengan barangan mereka.
Mediacorp melihat dua pegawai polis yang membantu mengarahkan laluan trafik di luar bangunan berkenaan.
"Ini mungkin kelihatan banyak tetapi ia tidak mencukupi untuk mangsa (di Turki)," kata pengasas bersama The Black Hole Group, Encik Calvin Seah.
"Kami menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanya bagaimana mereka boleh membantu, sama ada mereka boleh menjadi sukarelawan, pukul berapa mereka boleh ke sini."
Namun pada Khamis malam, kedutaan Turki dalam satu hantaran ke Facebook menyatakan "ia membuat keputusan untuk menggantung sementara sebarang penerimaan sumbangan fizikal sehingga dimaklumkan kelak" disebabkan "jumlah sumbangan yang tinggi".
"Keputusan ini bertujuan untuk mencerminkan tekad kami untuk memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diterima dan sensitiviti kami untuk menghormati sifat murah hati yang dihulurkan rakan-rakan Singapura kami," tambah kedutaan tersebut.
"Kami amat berterima kasih atas sokongan anda buat Turki pada waktu yang sukar ini."
SUMBANGAN KEWANGAN TURUT DIALU-ALUKAN
Duta Turki ke Singapura Mehmet Burçin Gönenli memberitahu Mediacorp bahawa beliau "amat tersentuh" dengan sokongan luar biasa warga Singapura.
Katanya, kedutaan itu menerima "banyak barangan" pada Rabu (8 Feb) dan Khamis, dan kakitangan kedutaan dan sukarelawan sedang mengaturkannya.
Kedutaan Turki mengalak warga Singapura untuk membuat sumbangan kewangan buat masa ini disebabkan cabaran tenaga manusia dan logistik dalam memproseskan dan menghantar barangan ke Turki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.