Skip to main content

Singapura

Warga SG Amos Yee dibebaskan dengan parol dari penjara Amerika

Rakyat Singapura Amos Yee dibebaskan dari penjara Amerika Syarikat dengan parol pada Khamis (20 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG Amos Yee dibebaskan dengan parol dari penjara Amerika
Amos Yee dijatuhi hukuman penjara pada Disember 2021 selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki bahan-bahan yang mengeksploitasikan kanak-kanak. (Gambar: Jabatan Pemulihan Illinois)
Diterbitkan : 20 Nov 2025 10:37PM
  • Rakyat Singapura Amos Yee dibebaskan dari penjara Amerika Syarikat dengan parol pada Khamis (20 Nov).
  • Yee, kini berusia 27 tahun, menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Danville di Illinois selepas dijatuhi penjara selama enam tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat pada 2021 atas kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak dan melakukan perbuatan menjerat mangsa atau "grooming".
  • Yee dijatuhi hukuman pada 3 Disember 2021 selepas mengaku bersalah berhubung tindakan menjerat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara online dan memintanya untuk memberikan gambar-gambar di mana mangsa tidak mengenakan pakaian.
  • Sudah lebih lapan tahun sejak Yee diberikan suaka oleh mahkamah imigresen Amerika Syarikat, meskipun dibantah oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Rakyat Singapura Amos Yee dibebaskan dari penjara Amerika Syarikat dengan parol pada Khamis (20 Nov).

Yee, kini berusia 27 tahun, menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Danville di Illinois selepas dijatuhi penjara selama enam tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat pada 2021 atas kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak dan melakukan perbuatan menjerat mangsa atau "grooming".

Menurut rangkaian maklumat para mangsa, Yee dibebaskan pada 7 November sebelum ditahan semula dengan serta-merta.

Dia kemudian dibebaskan sekali lagi pada 20 November pada sekitar pukul 7.15 pagi (pukul 9.15 malam waktu Singapura).

Yee turut disenaraikan dalam daftar pesalah seksual, menurut semakan pada daftar pesalah Polis Negeri Illinois.

Ini bukan kali pertama dia dibebaskan dengan parol.

Pada Oktober 2023, Yee diberikan parol sedang dia menjalani hukuman penjara enam tahun, namun dia ditahan semula kira-kira sebulan kemudian kerana melanggar syarat-syarat parol.

Yee dijatuhi hukuman pada 3 Disember 2021 selepas mengaku bersalah berhubung tindakan menjerat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara online dan memintanya untuk memberikan gambar-gambar di mana mangsa tidak mengenakan pakaian.

16 lagi tuduhan lain digugurkan sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah Yee, dan hukuman penjaranya bermula dari tarikh penahanannya pada Oktober 2020.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa Yee, yang berusia 20 tahun ketika itu, berkenalan dengan mangsa pada Februari 2019.

Mereka menjalin hubungan secara online, dan Yee meminta mangsa menghantar gambar-gambar telanjang dalam perbualan berunsur seksual, meskipun dimaklumkan bahawa mangsa berusia 14 tahun.

Kejadian itu berlanjutan sehingga Julai 2019.

Mahkamah turut mendengar bahawa Yee menggunakan WhatsApp untuk menjerat mangsa dan kemudian menyebarkan sejumlah gambar yang diterima secara online.

Yee diberkas oleh marshal Amerika Syarikat di apartmennya di kawasan Norwood Park East, Chicago.

Sudah lebih lapan tahun sejak Yee diberikan suaka oleh mahkamah imigresen Amerika Syarikat, meskipun dibantah oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Pada 2015, Yee dipenjara di Singapura kerana menyinggung perasaan masyarakat Kristian melalui kata-katanya.

Setahun kemudian, dia sekali lagi dipenjara dan didenda atas kesalahan serupa, kali ini melibatkan komen mengenai penganut agama Kristian dan Islam.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita