Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga S’pura Mohd Ramlee dikenakan 85 tuduhan babitkan skandal penipuan haji

Dia sebelum ini diberkas polis pada Oktober 2018 setelah disyaki terbabit dalam kes itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 60 tahun, Mohd Ramlee Ab Samad didakwa di mahkamah hari ini (3 Ogos) atas 85 pertuduhan menipu membabitkan kes penipuan Haji yang berlaku pada 2018.

Dia sebelum ini diberkas polis pada Oktober 2018 setelah disyaki terbabit dalam kes itu.

Individu-individu yang dikatakan ditipunya menyerahkan pasport dan wang antara S$400 dengan $3,000 kepadanya, kerana diperdaya mempercayai bahawa mereka akan dapat menunaikan Haji pada harga lebih murah pada tahun 2018.

Menurut kertas pertuduhan, wang dan pasport itu kemudian diserahkan para mangsa kepada Fahrorazi Sohoi. Fahrorazi, sebelum ini pernah diiktiraf sebagai 'ustaz'.

Wang yang akhirnya dikumpulkan Mohd Ramlee daripada mangsa-mangsanya berjumlah S$98,844.

Daripada 85 pertuduhan itu, 69 kes adalah bagi pertuduhan lebih serius iaitu “menipu dan secara tidak jujur memperdayakan mangsanya supaya menyerahkan (bayaran, harta dan sebagainya)” - kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

16 pertuduhan melakukan penipuan pula dikenakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan tersebut dikatakan dilakukan pada tahun 2018.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, 20 pertuduhan diteruskan manakala baki 65 pertuduhan diambil dalam pertimbangan.

Mohd Ramlee kini dibebaskan dengan ikat jamin $30,000 dan akan kembali ke mahkamah pada 31 Ogos ini.

Dia adalah orang kedua didakwa di mahkamah bagi kes itu selepas Fahrorazi Sohoi.

SEJARAH KES 'HAJI VIP'

Pada Ogos 2018, Fahrorazi didakwa atas kesalahan menipu seorang lelaki yang membayar wang sebanyak S$1,550 kepadanya kerana percaya bahawa beliau akan dapat melaksanakan ibadah ‘Haji VIP’ di bawah undangan kedutaan Arab Saudi.

Ini setelah satu aduan dibuat ke atasnya oleh individu terbabit pada 15 Ogos 2018.

Menurut polis, secara keseluruhannya sekitar 80 orang dikatakan ditipu sehingga kehilangan hampir S$100,000 setelah menyedari mereka tidak mendapat sebarang pengesahan mengenai penerbangan mahupun visa bagi perjalanan Haji tersebut.

Pada 5 Oktober 2018, Mohamed Ramlee pula ditangkap bagi membantu siasatan. Namun dia dibebaskan selepas itu.

Semasa sesi-sesi sebutan kes Fahrorazi sebelum ini, peguamnya Mohamed Niroze Idroos kerap meminta agar sebahagian hasil siasatan ke atas Mohamed Ramlee dikongsi dengan pihaknya.

Namun tidak banyak perkembangan melibatkan Mohamed Ramlee didedahkan sehinggalah dia didakwa hari ini.

Pada Oktober tahun lalu Fahrorazi diberi pelepasan daripada tuduhan penipuan haji, tetapi tidak membawa kepada pembebasan dan masih boleh dipanggil kembali ke mahkamah jika muncul bukti-bukti baru. 

 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan