Warga S'pura miliki rumah di M'sia dalam ketidakpastian akibat sekatan sempadan
Sedang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia menjangkau tempoh enam bulan, rakyat Singapura yang mempunyai urusan di kedua-dua bahagian Koswe merayu kepada pihak berkuasa Malaysia supaya memberikan mereka kelonggaran untuk pulang dan menyelesaikan beberapa urusan peribadi.
(Gambar ihsan Encik Leung)
SINGAPURA: Sedang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia menjangkau tempoh enam bulan, rakyat Singapura yang mempunyai urusan di kedua-dua bahagian Koswe merayu kepada pihak berkuasa Malaysia supaya memberikan mereka kelonggaran untuk pulang dan menyelesaikan beberapa urusan peribadi.
Mediacorp bertemu dengan beberapa individu sedemikian dan mendapati bahawa mereka yang terjejas teruk adalah pemilik yang menjadikan kediaman di Malaysia sebagai tempat tinggal utama mereka dan sudah membuat komitmen bayaran bulanan tetap bagi khidmat yang mereka tidak boleh gunakan sekarang.
KOS TERUS BERTAMBAH
Salah seorang daripada mereka ialah Encik Randy Lee, seorang warga Singapura berusia 34 tahun dalam bidang perniagaan pelaburan, yang sedang menghadiri majlis perkahwinan di Singapura bersam isterinya apabila mereka mendapat tahu tentang penutupan sempadan tersebut. Mereka tidak boleh menempah tiket penerbangan pulang ke Pulau Pinang, tempat mereka menetap sejak dua tahun lalu sebelum sempadan ditutup, dan beliau akhirnya perlu membayar kos perbelanjaan untuk kediaman di Singapura dan Pulau Pinang.
Encik Lee berkata beliau perlu membayar kos bagi dua pembantu rumah - seorang untuk sebanyak RM1,500 (S$491) sebulan di Pulau Pinang dan seorang lagi untuk S$800 sebulan di Singapura - yang digajikan untuk menolong isterinya yang hamil dan sejak itu sudah pun melahirkan anak lelaki kedua mereka empat bulan lalu.
Sehingga September, Encik Lee perlu membayar bagi khidmat dua pusat jagaan kanak-kanak di kedua-dua negara.
Encik Lee terus membayar yuran bagi sebuah sekolah di Malaysia, iaitu sebanyak RM1,200 (S$393) sebulan selama lima bulan meskipun tidak dapat memanfaatkan khidmatnya kerana ia adalah sebuah sekolah popular dan ia mungkin sukar untuk mendapatkan tempat bagi anaknya lagi di sekolah itu jika beliau melepaskannya. Beliau juga memikirkan bahawa keluarganya mempunyai "peluang baik" untuk pulang kerana beliau percaya PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac adalah langkah sementara.
Dalam tempoh enam bulan lalu, seorang guru tuisyen privet berusia 48 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Hu, membuat bayaran sewa lebih daripada RM5,000 (S$1,637) bagi rumah hujung minggunya, sebuah kondominium di Johor Bahru.
Namun, beliau "menyerah" setelah Malaysia mengumumkan pada lewat Ogos bahawa sempadan akan terus ditutup sehingga hujung tahun ini, dan beliau kini sedang berpindah keluar dari unit itu dengan bantuan seorang teman warga Singapura di Johor, katanya kepada Mediacorp.
RUMAH-RUMAH TERABAI
Melihat isu itu dari sudut pandangan seberang Koswe pula ialah seorang pegawai pematuhan kanan yang bertugas di sebuah bank Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Leung.
Warga Singapura berusia 51 tahun itu yang terus menetap di Leisure Farm, sebuah projek kediaman berpagar di Iskandar Malaysia, kerana beliau boleh bekerja dari jarak jauh berkata bahawa tiga jiran terdekatnya yang merupakan rakyat Singapura belum pulang sejak pelaksanaan PKP.
Di rumah sebelah kanan, rumput di rumah jirannya sudah tumbuh menjalar sehingga ke paras dada. Di sebelah kiri pula, tayar kereta milik jirannya sudah pancit kerana ditinggalkan terlalu lama.
Seorang jiran yang tinggal di belakang rumahnya pula meminta tolong seorang lagi jiran untuk melepaskan sekitar 30 hingga 40 ekor ikan Koi di sekeliling kawasan rumahnya.
Sementara itu di Singapura, Encik Khaja Maideen, 47 tahun, yang bekerja sendiri, tertanya-tanya berapa tebal habuk dan najis cicak yang terkumpul di hartanahnya di Johor. Beliau hanya dapat memantaunya melalui sebuah kamera pengawasan.
Encik Gregory Low, seorang pengurus hartanah di Johor, mencadangkan supaya kedua-dua pemerintah mempertimbangkan untuk menetapkan kuota khusus bagi para pengunjung ini pulang ke rumah mereka di luar negara.
Warga Singapura berusia 39 tahun itu berkata: "Daripada menyekat permohonan, anda boleh pertimbangkan untuk membuka 15,000 atau 20,000 ruang, ia masih jumlah yang terkawal, dan para individu ini boleh menyelesaikan banyak masalah mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.