Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga Nigeria dijel 3 tahun; terlibat dalam pengubahan wang haram jutaan dolar

Seorang lelaki warga Nigeria yang terbabit dengan skim penipuan Citibank di New York City dipenjara dan didenda oleh mahkamah Singapura pada Khamis (16 Mei) berhubung pengubahan wang haram dan kesalahan lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Nigeria dijel 3 tahun; terlibat dalam pengubahan wang haram jutaan dolar

Penduduk Tetap Singapura warga Nigeria, Amos Paul Gabriel, dijatuhi hukuman penjara dan didenda atas kesalahan pengubahan wang haram. (Gambar: Paul Gabriel Amos/Facebook)

Diterbitkan : 17 May 2019 11:01AM Dikemas Kini : 17 May 2019 11:03AM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Nigeria yang terbabit dengan skim penipuan Citibank di New York City dipenjara dan didenda oleh mahkamah Singapura pada Khamis (16 Mei) berhubung pengubahan wang haram dan kesalahan lain.

Amos Paul Gabriel, penduduk tetap Singapura berusia 47 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan didenda S$4,200. Dia juga mengaku bersalah memandu tanpa lesen dan dikenakan larangan memandu selama setahun.

Kes pengubahan wang haram menjadi tajuk hangat pada 2009 apabila Amos didapati bersalah di New York atas tuduhan licik untuk mencuri daripada akaun Bank Habsyah (NBE) di Citibank.

Pada 2008, Amos bersama rakan-rakan subahatnya menyerahkan dokumen palsu yang sudah ditandatangani kepada Citibank yang menyerupai tandatangan pegawai-pegawai di NBE - bank pusat Habsyah.

Citibank memindahkan AS$27.2 juta (S$37.2 juta) ke beberapa akaun sebelum penipuan itu terbongkar.

SKIM PENGUBAHAN WANG HARAM DIRANCANG DENGAN TELITI

Butiran mengenai skim pengubahan wang haram yang rumit itu dibentangkan di Mahkamah Negara Singapura.

Amos - yang mengahwini seorang wanita rakyat Singapura - menerima panggilan daripada rakannya dari Nigeria, Robert Umohette, pada 2008, meminta beliau menyediakan akaun bank untuk memindahkan wang hasil penipuan itu.

Amos tidak menggunakan akaun syarikatnya namun sebaliknya, beliau berbincang dengan rakannya di Australia bernama Mohammad Sohail - juga dikenali sebagai Malik - dan mereka bersetuju untuk menggunakan akaun bank syarikat Malik bagi menerima wang tersebut. Ini dengan syarat agar Amos akan mendapat sebahagian daripada wang penipuan itu sebagai komisen, kata Timbalan Pendakwa Raya Kelvin Kow dan Shamini Joseph.

Sejumlah AS$27.2 juta (S$37.3 juta) dipindahkan menerusi Citibank dari akaun korporat NE ke akaun-akaun di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, China, Hong Kong dan Korea sebagai sebahagian daripada skim pengubahan wang haram lebih luas.

Daripada jumlah tersebut, AS$1.8 juta (S$2.4 juta) dipindahkan ke akaun Malik. Amos kemudian meminta Malik memindahkan AS$669,509 (S$918,988) ke sebuah akaun di Singapura atas arahan Robert.

Beliau kemudian sekali lagi mengikut arahan Robert dan meminta Malik memindahkan wang ke sebuah akaun bank di Hong Kong. Malik memindahkan AS$623,467 (S$591,000).

Amos kemudian memberitahu Robert bahawa dia akan mengambil komisennya dalam bentuk wang tunai kerana tidak mahu wang penipuan itu dikaitkan dengannya. Amos melakukan perjalanan ke Hong Kong untuk mengambil komisen berjumlah AS$300,000 (S$411,786).

Wang AS$669,509 (S$918,988) yang digubah ke Singapura dirampas daripada bank akaun relevan oleh Jabatan Ehwal Komersil dan dipulangkan kepada Citibank pada 2010.

Jumlah wang lain bernilai kira-kira S$35,000 sudahpun didapatkan semula dari Amos semasa siasatan dan dia sudah memulangkan S$100,000.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan