Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga net tersentuh lihat keakraban jiran tetangga berbilang bangsa di Bedok ini

Anggaran Waktu Membaca:
Warga net tersentuh lihat keakraban jiran tetangga berbilang bangsa di Bedok ini

Gambar: shafiqgazali/TikTok, wekaypoh/TikTok

SINGAPURA: Beberapa video yang menggambarkan hubungan erat antara dua jiran yang berlainan bangsa di Bedok menyentuh hati bukan sahaja ramai pengguna media sosial warga Singapura, bahkan dari luar negara juga.

Encik Shafiq Gazali, yang berbangsa Melayu serta jirannya yang berbangsa Vietnam-Cina — Jenny Xin, 10 tahun, dan Elly Xin, lapan tahun — berjumpa dengan satu sama lain hampir setiap hari. Bahkan, mereka begitu selesa dengan satu sama lain sehingga akan memasuki rumah masing-masing secara bebas.

Lelaki berusia 32 tahun itu merakam detik-detik seharian mereka di platform TikTok, dari makan bersama-sama hingga menghabiskan masa di rumah masing-masing. Malah, beberapa videonya tular, sekali gus menarik komen daripada para penonton yang memuji jiran tetangga itu mencerminkan "semangat kampung yang sebenar".

Videonya yang tular baru-baru ini menunjukkan beliau keluar dari biliknya sambil melihat Elly makan di ruang makan dengan begitu selesa.
 
"Awak budak Melayu sekarang?" usik Encik Shafiq tatkala melihatnya makan sesuap nasi yang disertakan lauk ayam balado sementara menonton video di telefon bimbitnya.

Video tersebut, yang dimuat naik pada November tahun lalu, menarik sebanyak 2.2 juta tontonan dan lebih 80,000 tanda suka setakat Khamis (11 Jan).

Kebanyakan pengguna media sosial menyuarakan rasa teruja melihat budak perempuan itu menggunakan tangannya untuk makan, sementara yang lain memuji Encik Shafiq sebagai seorang jiran yang baik.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Shafiq mendedahkan bahawa beliau sudah mengenali budak-budak perempuan itu sejak merek dilahirkan dan mempunyai hubungan mesra dengan keluarga tersebut sejak mereka berpindah ke Bedok 12 tahun yang lalu.

Beliau turut menarik perhatian bahawa beliau mempunyai kunci rumah keluarga berbangsa Vietnam-Cina itu pada hari, di mana ibu bapa budak perempuan itu tidak berada di rumah disebabkan tuntutan tugas.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa budak-budak perempuan itu bahkan, kadang-kadang tidur di rumahnya.

Encik Shafiq percaya bahawa sebab beliau mendapat ramai peminat di akaun TikToknya adalah kerana penonton gemar melihat keakraban ketiga-tiga mereka dan "semangat kampung" sedemikian yang ditonjolkan amat jarang dilihat di Singapura moden sekarang.

"Sukar untuk melihat "semangat kampung" sekarang (apabila) menetap di flat HDB, tidak seperti waktu ibu bapa atau datuk nenek kita (dahulu) di mana mereka tinggal di kampung," ujar Encik Shafiq.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan