Warga net M'sia pertikai komen mantan menteri Kanada 'nasi lemak sarapan paling lazat di SG'

(Gambar: Twitter/cathmckenna)
SINGAPURA: Apabila menyentuh tentang topik makanan dan minuman, nampaknya para pencinta makanan dari Singapura dan Malaysia sama-sama bersemangat.
Mantan Menteri Sekitaran dan Perubahan Iklim Kanada, Catherin McKenna, nampaknya telah mencetuskan pertikaian setelah beliau menyifatkan nasi lemak sebagai "sarapan paling enak di Singapura" melalui akaun media sosialnya.
Dalam catatannya di Twitter pada Selasa (6 Jun), Cik McKenna berkongsi sarapan paginya: “Nasi lemak! Sarapan paling lazat di Singapura."
Beliau memuat naik gambar sepinggan nasi lemak yang dihidangkan dengan potongan ayam dan sekeping telur, ikan bilis dan keropok.
Warga net Malaysia dengan pantas membuat tuntutan ke atas hidangan itu dan mendakwa bahawa versi Malaysia lebih sedap, sebagai respons terhadap catatannya di Twitter yang telah menerima lebih 2.2 juta tontonan setakat Selasa (13 Jun).
Pertikaian sejak sekian lama berhubung makanan kedua-dua negara jiran itu tercetus semula selepas para netizen Malaysia menyindir hidangan nasi lemak yang dimuat naik oleh Cik McKenna.
Sesetengah netizen merasakan bahagian nasinya agak kecil, hidangannya pula kelihatan "hambar" dan sambalnya kelihatan seperti "sos tomato Heinz" atau "puri tomato".
Berkongsi gambar sepinggan nasi lemak yang dihidangkan bersama paha ayam panggang dan bahagian nasi yang lebih banyak, seorang netizen memuat naik catatan di Twitter: “Inilah nasi lemak, mate. Bukan apa yang anda makan di sana."
Catatan tersebut meraih 1.1 juta tontonan dan hampir 2,800 'retweet'.
Walaupun nasi lemak boleh didapati di beberapa negara Asia Tenggara dan bukan hanya di Malaysia, ia telah dilaporkan oleh pelbagai penerbitan sebagai hidangan kebangsaan Malaysia.
Sebagai responsnya terhadap komen bertubi-tubi netizen, Cik McKenna menjelaskan: “Nampaknya saya sudah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia yang mengatakan nasi lemak adalah masakan Melayu dan lebih sedap di sana. Saya bukan menyangkalnya — perlu pergi ke Kuala Lumpur tidak lama lagi dan mencubanya!”.
Beliau juga bersetuju bahawa "bahagiannya sangat kecil" dan "sambalnya tidak mencukupi".
Sesetengah netizen bagaimanapun merasakan bahawa reaksi warga net Malaysia terhadap catatan itu "tidak nasi-ssary".
Seorang netizen berkata: "Warga Malaysia, saya merayu kepada anda, sila bertenang. Perkara seperti ini tidak perlu dipertikaikan sehingga mencetuskan permusuhan."
Singapura dan Malaysia berkongsi sejarah yang turut melibatkan pertikaian mengenai makanan, didorong oleh minat kedua-dua negara terhadap makanan.
Pada tahun 2018, rencana CNN yang menyenaraikan cendol dari Singapura sebagai salah satu daripada 50 pencuci mulut terbaik dunia telah menimbulkan kemarahan netizen Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.