Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga net luah rasa tidak puas hati terhadap 'saiz lebih kecil' hidangan ekonomi SIA

Anggaran Waktu Membaca:
Warga net luah rasa tidak puas hati terhadap 'saiz lebih kecil' hidangan ekonomi SIA

Gambar: Reddit/throwawayaway539

SINGAPURA: Mutu makanan yang dihidangkan oleh Singapore Airlines (SIA) dipersoalkan baru-baru ini, selepas seorang pengguna media sosial memuat naik gambar hidangan bagi kelas ekonomi untuk penerbangan jarak sederhana dari Singapura ke Seoul di Korea Selatan.

Gambar yang dimuat naik ke forum online Reddit pada Selasa (18 April) menunjukkan nasi dengan dua hidangan sampingan seperti 'cai fan' (nasi campur), yang disediakan bersama sebungkus biskut tawar dan roti gulung.

Pengguna Reddit "throwawayaway539" mendakwa bahawa hidangan dari syarikat penerbangan itu dahulunya disajikan dengan kek, pencuci mulut dan buah-buahan segar, tetapi hidangan sampingan kali ini sudah digantikan dengan sekeping biskut dan sudu garfu plastik pakai buang "murah", lapor laman web Coconuts Singapore.

Dalam catatan yang sama, pengguna itu "kecewa" setelah mendapat tahu "syarikat penerbangan lain menawarkan pengalaman dalam pesawat yang lebih baik pada kos lebih rendah".

Menyusuli catatan itu, para pengguna Reddit membuat perbandingan antara hidangan dalam penerbangan dengan makanan dari rumah masak Perkhidmatan Negara (NS), makanan segera dari kedai serbaneka 7-Eleven dan makanan yang dihidangkan dalam penerbangan tambang murah.

Salah seorang netizen menulis, "Mereka (import) makanan dari kem tentera NS saya ke?", manakala ramai yang turut berkongsi sentimen yang sama dengan menyatakan bahawa hidangan itu seperti daripada rumah masak tentera.

Ada juga yang turut menulis tentang pengalaman kurang memuaskan berhubung makanan yang dihidangkan dalam penerbangan SIA.

Seorang netizen berkongsi bahawa syarikat penerbangan itu "mengecilkan saiz hidangan dengan ketara" dan beliau mendapati ia "tidak lagi mengenyangkan".

Seorang lagi pengguna mendapati hidangannya menjadi "lebih teruk" selepas pandemik COVID-19. “Sebelum ini, hidangan disediakan dengan lebih elok dan makanannya sama ada lebih bermutu atau sekurang-kurangnya lebih sedap mata memandang."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, syarikat penerbangan itu menjelaskan: "SIA bekerjasama rapat dengan rakan kongsi katering tempatan dan luar negara kami untuk memilih hidangan yang disajikan dalam penerbangan."

SIA menambah bahawa ia melakukan audit penuh pada permulaan setiap menu baru dan audit dijalankan secara kerap dengan rakan kongsi katering untuk memelihara kualiti makanan yang disajikan dalam penerbangan.

"Kami akan mengambil kira maklum balas pelanggan kami sedang kami menyesuaikan pilihan hidangan kami dan untuk khidmat hidangan dalam pesawat pada masa akan datang."
Sumber : Today/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan