Warga Myanmar tunjuk perasaan luar kedutaan S'pura di Washington
Sekumpulan warga Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Singapura di Washington DC pada Isnin (15 Jul) sebagai tanda sokongan kepada enam rakyat Myanmar yang baru-baru ini diberkas di Singapura dan dihantar pulang.
(Gambar: Twitter/Voice of Arakan)
WASHINGTON DC: Sekumpulan warga Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Singapura di Washington DC pada Isnin (15 Jul) sebagai tanda sokongan kepada enam rakyat Myanmar yang baru-baru ini diberkas di Singapura dan dihantar pulang.
Kumpulan lelaki yang ditahan itu didapati menggembleng sokongan bagi keganasan bersenjata terhadap pemerintah Myanmar, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MHA) minggu lalu.
Menurut kementerian tersebut, seorang daripada lelaki itu "mempunyai hubungan langsung" dengan seorang pemimpin utama kumpulan pemberontak Arakan Army (Tentera Arakan). Dia secara aktif menggembleng sokongan di kalangan masyarakat Arakan tempatan dan menyelaras usaha Arakan Army mengumpul dana di Singapura, menurut MHA lagi.
Menukil para penganjur tunjuk perasaan, Burma News International melaporkan perhimpunan itu bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap langkah yang diambil pemerintah Singapura.
Gambar-gambar di akaun Twitter kumpulan Voice of Arakan menunjukkan para penunjuk perasaan memegang sepanduk dengan nama-nama enam warga Myanmar yang dihantar pulang. Mereka turut menuduh Singapura sebagai "mengkhianati masyarakat Arakan kepada tentera Myanmar".
Satu lagi tunjuk perasaan diadakan di luar kedutaan Myanmar di Washington DC. Terdapat rancangan untuk menganjurkan tunjuk perasaan sedemikian di luar kedutaan Singapura di Tokyo pada Rabu.
Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Ehwal Luar bagi memberi komen.
Menurut MHA minggu lalu, warga Myanmar yang dihantar pulang menghulurkan sokongan kewangan kepada Arakan Army, dengan satu daripada mereka membuat sumbangan bulanan.
"Keramaian sosio-budaya masyarakat tempatan juga digunakan untuk menyebarkan perjuangan AA (Arakan Army) dan menggembeleng sokongan bagi 'tanah air' Rakhine," menurut kementerian itu.
Dalam satu acara baru-baru ini untuk merayakan ulang tahun ke-10 penubuhan AA dan sayap politiknya, Liga Bersatu Arakan (United League of Arakan, atau ULA), para peserta memaparkan serangan bersenjata AA ke atas tindakan Pasukan Bersenjata Myanmar di Rakhine, dengan para pelakon menggayakan seragam tentera dan replika senjata.
Kebanyakan daripada mereka yang dihantar pulang juga merupakan anggota Persatuan Arakan Singapura (AAS) yang disifatkan sebagai "organisasi kebajikan sosial yang menyalurkan bantuan dari Singapura kepada masyarakat Arakan yang terpinggir di utara Wilayah Rakhine".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.