Warga Myanmar ingin perbaharui pasport beratur panjang luar Kedutaan di S'pura
(Gambar: U U Kyaw Ye/Facebook)
SINGAPURA: Dua warga Myanmar, yang hanya mahu dikenali sebagai Krystal dan Joy, sudah beratur di luar kedutaan Myanmar di St Martin's Drive selama hampir 12 jam apabila Mediacorp tiba ke lokasi tersebut sekitar pukul 5.00 petang pada Rabu (11 Mei). Kedua-dua wanita itu perlu memperbahrui pasport mereka.
Menurut kedutaan Myanmar, sistem tempahan onlinenya dibuka setiap Jumaat pada pukul 1.0 0 tengah hari. Ini membolehkan antara 350 hingga 400 orang untuk menempah slot janji temu bagi memperbaharui pasport mereka.
Namun, kebanyakan slot janji temu sudahpun ditempah dan slot tersedia yang seterusnya hanyalah pada 10 Jun.
Di bawah aturan sekarang, setiap hari, kedutaan Myanmar menerima antara 70 hingga 80 orang yang membuat tempahan janji temu secara online. Ia membenarkan 20 orang untuk memperbaharui pasport mereka tanpa membuat janji temu terlebih dahulu.
Mereka yang membuat permohonan pada sebelah pagi boleh mendapat pasport baru pada hari yang sama, menurut kedutaan itu kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa ia mengeluarkan antara 90 hingga 100 pasport setiap hari.
"Kami mengambil berat tentang rakyat kami dan sedang membantu mereka, terutama sekali pembantu rumah atau pekerja binaan yang sukar mendapat slot tempahan online," menurut kedutaan tersebut.
Kedutaan tersebut menambah ia memulakan aturan khas sedemikian pada Januari lalu untuk membenarkan rakyat Myanmar yang berpangkalan di Singapura memperbaharui pasport mereka tepat pada masanya.
Semakan di Facebook menunjukkan gambar-gambar orang ramai beratur panjang di luar kedutaan Myanmar sejak 11 April lalu. Dalam beberapa rakaman video, ada juga yang beratur dalam keadaan hujan pada waktu malam.
Krystal, yang bekerja sebagai seorang pembantu rumah, memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudah beberapa kali cuba untuk membuat tempahan slot online tetapi gagal.
"Saya tidak melakukannya lebih awal kerana kesuntukan masa. Namun sekarang, saya tiada pilihan lagi dan perlu datang ke sini dan tunggu kerana pasport saya sudah tamat tempoh dua hari yang lalu," katanya.
Sementara itu, Joy pula bimbang beliau akan diusir keluar dari Singapura kerana pasportnya akan tamat tempoh pada 2 Jun.
"Saya mesti memperbaharui pasport saya secepat mungkin, jadi saya merancang untuk menunggu di sini semalaman," ujarnya.
Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang bagaimana kedutaan Myanmar merancang untuk menangani tunggakan pada permintaan pasport, kedutaan itu menyatakan ia akan mula memberikan tiket kepada 30 orang untuk memperbaharui pasport tanpa janji temu, dan bukannya 20 orang seperti aturan sekarang, mulai 13 Mei.
Ini akan dilakukan sehari lebih awal, bermula jam 4.30 petang.
"Ini lebih baik kerana sekarang, mereka tidak memberitahu kami bila tiket akan diberikan, maka kami hanya perlu menunggu," kata Joy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.